PETALING JAYA: Mukhriz Mahathir mengesahkan anak dan menantunya antara individu ditahan pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah pub di Jalan Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.
Bekas menteri besar Kedah itu berkata, beliau sendiri sudah memberi peringatan kepada seluruh anggota keluarganya, supaya sentiasa mematuhi perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang ditetapkan Putrajaya dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
“Saya sudah pesan kepada kaum keluarga, musim PKPP jangan langgar dan mesti tunjukkan contoh yang baik. Sebab itulah saya rasa kecewa apabila pelanggaran tetap berlaku dan memang patutlah kompaun dikenakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Bandar Felda Besout 3, Perak hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim menafikan pihaknya mengamalkan “double standard” terhadap mana-mana individu termasuk anak seorang kenamaan yang didapati melanggar PKPP, baru-baru ini.
Mazlan berkata, pihaknya terkesan isu yang ditularkan di media sosial berkaitan tangkapan anak seorang kenamaan yang didakwa melanggar PKPP tetapi terlepas daripada tindakan.
Menurut kenyataan, polis pada 22 Ogos lalu jam 1.20 pagi menjalankan serbuan di sebuah pub di Jalan Rahim Kajai 14, TTDI, Kuala Lumpur.
Hasil pemeriksaan, polis menahan seorang lelaki India berusia 37 tahun dipercayai pengurus premis, seorang lelaki warga Bangladesh dan 3 wanita Filipina disyaki pekerja di premis berkenaan. - FMT
No comments
Post a Comment