NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tuntutan Filipina isu sensitif, kenapa Shafie berdiam diri, soal Anifah



KOTA KINABALU: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman berkata, Shafie Apdal sepatutnya tidak mengambil sikap berdiam diri apabila timbul isu tuntutan Filipina ke atas Sabah, baru-baru ini.

Katanya, Shafie mungkin boleh mendakwa beliau sudah melakukan tindakan terhadap perkara sensitif itu, namun apa yang bermain di fikiran rakyat Sabah adalah mengapa beliau selaku ketua menteri, tidak segera memberi respons terhadap isu berkenaan.

“Apa yang orang Sabah mahu tahu kenapa Shafie berdiam diri selepas tuntutan terbaharu dibuat setiausaha perhubungan luar Filipina, Teodoro Locsin Jr menerusi Twitter beliau.

“Sebaliknya, Shafie hanya membiarkan bekas menteri undang-undang, VK Liew memberi respons terhadap tuntutan itu. Saya tidak berminat untuk mendengar apa yang kamu (Shafie) dan kerajaan kamu telah lakukan terhadap isu itu, apa yang saya katakan kenapa senyap? Apa yang kamu takutkan?

“Sebagai pemimpin tertinggi di Sabah, kamu harus memberi respons kerana kenyataan Locsin itu membuatkan orang Sabah marah, kamu berhutang penjelasan dengan orang Sabah kerana hanya berdiam diri sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anifah mengulas kenyataan Shafie yang mendakwa bekas menteri luar itu tidak melakukan apa-apa terhadap isu tuntutan Filipina ke atas Sabah.

“Tolong jangan mula beritahu kamu telah lakukan ini dan itu terhadap isu ini, apa yang orang mahu tahu kenapa berdiam diri pada masa itu dan kenapa harus VK Liew yang memberi respons,” katanya.

Sementara itu, Anifah berkata ketika masih menjadi menteri luar, beliau melakukan segalanya untuk menghentikan sebarang bentuk tuntutan dan ugutan termasuk tuntutan Filipina ke atas Sabah.

“Sebagai menteri luar, saya beberapa kali berjumpa dengan rakan sejawat di Filipina dan saya juga beberapa kali membangkitkan isu ini.

“Walaupun saya telah melakukan apa yang diperlukan untuk menanganinya setiap kali isu ini timbul, saya tidak pernah melupakan kenyataan yang Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina itu,” katanya.

Beliau berkata, mungkin ada dalam kalangan pemimpin Filipina termasuk pemimpin tertinggi mereka yang membuat kenyataan mengenai tuntutan ke atas Sabah tetapi ia tidak semestinya menjadi pendirian rasmi negara itu.

Pada 2018, Anifah dilaporkan membuat kenyataan tuntutan Filipina ke atas Sabah hanya sebagai agenda politik oleh beberapa pemimpin di negara itu bagi mendapatkan sokongan rakyatnya.

Bagaimanapun, beliau kemudian mendapat pengesahan daripada setiausaha perhubungan luar Filipina ketika itu, Alan Peter Cayetano yang menyatakan perkara itu bukan pendirian rasmi negara itu.

“Rakyat Malaysia juga tertanya-tanya apabila Shafie ketika dalam sidang Parlimen pada 2016 menyuarakan mengenai isu itu dan mahukan ia diselesaikan.

“Apa yang mahu diselesaikan kerana pada dasarnya negara ini tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina itu, adakah Shafie sendiri memperakuinya (tuntutan Filipina)? ini semua tercatat dalam hansard,” katanya.

Beliau juga menempelak kenyataan Shafie yang berkata kepada media bahawa isu itu bukan keutamaan ketika ini kerana beliau sedang sibuk menghadapi pilihan raya.

“Jika kedaulatan Sabah pun bukan menjadi keutamaan Shafie dan setiap pendirian yang dituntut dianggap sebagai propaganda maka Shafie tidak layak untuk menjadi ketua menteri kerana mana-mana ketua menteri pasti akan menjadi orang pertama yang membuat kenyataan apabila isu seperti tuntutan Filipina itu timbul,” katanya.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/08/18/tuntutan-filipina-isu-sensitif-kenapa-shafie-berdiam-diri-soal-anifah/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo