KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan pihak yang menyertai Muafakat Nasional (MN) supaya memahami hasrat dan tujuan sebenar pakatan itu dalam perjuangan politik negara.
Menurut beliau, apabila tiga pihak iaitu PAS, UMNO dan Bersatu bersama-sama mendokong MN, yang menjadi keutamaan adalah kebersamaan sebagai rakan kongsi.
“Saya rasa kebersamaan semua pihak daripada ketiga-tiga parti dalam MN ini adalah sebagai ‘equal partner’ iaitu semua pihak haruslah faham dengan hasrat MN, dan tidak ada mana-mana pihak yang menjadi ‘abang long’.
“Jadi, sebagai rakan kongsi saranan atau nasihat itu boleh diberi namun masing-masing kena cermin diri supaya kita bersama-sama dapat mencapai objektif dalam MN, bukan menunjuk siapa yang kuat, senior, lebih ramai pengikut, dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) Kali Ke-45 di Dewan Utama SESMA, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan Barisan Nasional (BN) mahu mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan mereka agar ikhlas dan bersedia untuk menterjemahkannya dalam semua bentuk kerjasama.
Menurut Zahid, parti terbabit juga perlu bersedia untuk mengetepikan perbezaan pendapat, kerana kejujuran dan keikhlasan penting dalam perkongsian politik.
Samsuri berpendapat, sekiranya mana-mana parti menunjukkan sikap kurang enak dari awal, ia tidak akan mencapai objektif MN.
Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, Gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah mula berunding tentang pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang namun ia baru di peringkat permulaan dan masih lagi dalam proses.
“Insya-Allah semua itu masih lagi dalam proses. Kita ada banyak kerusi iaitu 222 dan bermacam kategori.
“Saya sangat optimis kita akan mencapai persetujuan di akhir perbincangan, soal orang itu nak ini dan macam-macam ‘wishlist’ (kehendak) itu perkara biasa.
“Bila kita duduk di meja perundingan kita kena ‘give and take’ dan tengok ‘plus minus’ setiap parti itu sendiri sebagai rakan kongsi dalam perbincangan,” ujarnya.
No comments
Post a Comment