NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terowong Masa (II)

Image may contain: text that says 'MAHATHIR Dalam Dilema MELAYU ZAKRY ABADI'
Zakry Abady mencatatkan bagaimana orang Melayu menghadapi dilema dengan tindakan politik Mahathir selepas Umno Baru ditubuhkan.

Politik Melayu berada dalam dilema untuk satu tempoh yang panjang kerana adanya watak Dr Mahathir. Dia seorang negarawan! Begitulah ungkapan yang terpacul di mulut rakyat Malaysia 20 tahun dahulu. Tetapi hari ini, tiada siapa pun yang menggelarkannya sebagai negarawan, tetapi banyak budak-budak berkata, dia adalah "orang tua yang tak ketahuan."

Dah ramai orang lupa, dulu dia menulis 'Dilema Melayu' saat dia menggempur Tunku Abdul Rahman Putra pada 1969. Bapa Malaysia itu jatuh, dan dia dipecat dari Umno. Tun Razak mengambilnya semula kemudiannya. Bila Tun Razak meninggal pada 1975, nama Ghafar Baba dan Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) lebih popular untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri, tetapi Hussein Onn memilih dia. Selang lima tahun, Hussein Onn tergugat kerana politik progresifnya bersama Musa Hitam. Akhirnya, pada 1981, Hussein Onn terpaksa berundur.

Image may contain: 1 person, text that says 'YAHAYA ISMAIL DILEMA MAHATHIR Ī±'
Pak Yahya Ismail menganalisis dilema yang dihadapi oleh Mahathir setelah Umno berpecah kerana krisis dia dengan Ku Li dan Umno diharamkan pada 1988.

Sejak menjadi Perdana Menteri, empat Timbalan terpaksa menghadapi karenahnya:

I. Musa Hitam. Tokoh muda yang progresif. Terpaksa meletak jawatan selepas Tragedi Memali pada 1985. Musa dituduh bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut, dan meletak jawatan pada 1986. Pada 1987, Musa menentang Ghafar Baba bagi pihak Team B.

II. Ghafar Baba. Tokoh yang tak banyak karenah, tetapi Mahathir menaja Anwar Ibrahim melalui sokongan Dollah Kok Lanas. Ghafar terpaksa berundur pada 1994 setelah tidak mampu bertahan lagi sebagai Timbalan Presiden Umno.

III. Anwar Ibrahim, tokoh muda yang dianggap insan kamil oleh pentaksubnya. Beliau mengambil langkah reformasi dengan mencanang isu korupsi, kronisme dan nepotisme untuk menentang Dr Mahathir. Pada 1998, dituduh meliwat pemandunya dan dipecat dari jawatan kerana salah laku.

IV. Abdullah Badawi. Terkenal sebagai Mr Clean. Disebab sikapnya yang tidak menekan, pada 2003 Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepadanya.

Sepanjang tempoh 21 tahun menjadi pemimpin utama negara dan juga Umno, Dr Mahathir telah bertembung dengan banyak pihak dan Umno dua kali berpecah. Pada 1988, Umno diharamkan selepas pertembungan Team A (Mahathir) dan Team B (Ku Li). Team B membentuk parti Semangat 46, manakala Team A menubuhkan Umno Baru. Pada 1996, Ku Li menyertai semula Umno, kemudian Dr Mahathir bertempur pula dengan Anwar Ibrahim. Pada 1998, Umno berpecah lagi. Pengikut Anwar Ibrahim menubuhkan Parti Keadilan Nasional (PKN - kini PKR).

Kepemimpinan baru negara di bawah Pak Lah hanya aman seketika. Apabila kroni-kroni dan anak-anak Dr Mahathir tidak mendapat projek, Dr Mahathir mendakwa ia adalah berpunca dari Tingkat 4 yang dikuasai Khairy Jamaluddin, menantu Pak Lah. Dr Mahathir keluar Umno dan menyerang Pak Lah. Dr Mahathir mahu Najib Razak menjadi PM. Akhirnya, pada 2009, Pak Lah menyerahkan kuasa kepada Najib Razak. Tiba-tiba Najib Razak pula menyekat projek kroni-kroni dan anak-anak Dr Mahathir. Mahathir keluar Umno lagi, dan mahu Muhyuddin Yassin menjadi PM. Akibatnya, Muhyiddin Yassin dipecat oleh Najib dan Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadikan Timbalan Perdana Menteri.

Dr Mahathir berpakat dengan Muhyiddin Yassin untuk tubuh parti baru, Bersatu. Mereka berpakat dengan parti pembangkang untuk menubuhkan Pakatan Harapan (PH) pada 2015. Apabila mereka berhasil menumbangkan BN pada 2018, Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri. Tetapi 22 bukan kemudian, setelah didesak oleh Anwar Ibrahim untuk peralihan kuasa, dia meletak jawatan dan Kerajaan PH pun runtuh. Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri yang baru.

Dr Mahathir tidak berpuas hati lagi. Dia membantah Muhyiddin Yassin dan memimpin team Bersatu Blackout untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin pula. Setelah dia tidak diterima lagi dalam PH dan keahliannya dalam Bersatu juga berakhir, kini Dr Mahathir cuba menubuhkan sebuah parti politik lain yang baru. Parti Apaaa Nama tak tau.

Image may contain: 2 people
Pak Yahya Ismail mencerakin dilema pertama Dr Mahathir setelah dia bergaduh dengan Musa Hitam pada 1986.

Sepanjang sejarah ini, Dr Mahathir yang aktif dengan Seberkas pada 1945, telah menyertai Umno sejak awal lagi. Kemudian dia bergaduh dengan bossnya, Tunku (1969) dan Hussein Onn (1981). Selepas berkuasa, dia bergaduh dengan saingannya, Musa Hitam (1986), Ku Li (1987), Ghafar Baba (1994) dan Anwar Ibrahim (1998). Bila tidak berkuasa, dia mencabar pemimpin yang tidak mengikut telunjuknya iaitu Pak Lah (2009), Najib (2018) dan kini, Muhyiddin Yassin (2020).

Ketika Dr Mahathir bergaduh dengan Ku Li, Umno diharamkan, dia menubuh Umno Baru. Pada zaman Pak Lah dan Najib, dua kali dia keluar Umno Baru. Kemudian, dia tubuhkan Bersatu bersama Muhyuddin Yassin. Bila Muhyuddin Yassin tidak mengikut cakapnya, dja tubuh lagi Bersatu Blackout. Parti barunya belum diberi nama, menunggu hari aqiqah minggu depan, sambil bercukur akan diberikan nama apakala genap 7 hari usianya.

Apa yang kita dapat rumuskan, politik Mahathir memang penuh dilema. Dari Dilema Melayu hingga Dilema Mahathir. Dulu orang Melayu dalam dilema kerana tidak pasti ke arah mana politik Melayu akan dibawa oleh Dr Mahathir. Kini, Dr Mahathir pula dalam dilema, bagaimana nak menjadikan anaknya pemimpin nombor satu. Tubuh parti baru, dia menjadi Pengerusi, anaknya menjadi Presiden. Selesai!


FB Mohd Fadhli Ghani adalah Pengarah di Institut al-Balaghul Mubin

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo