Telah menyebut Imam Fariduddin ‘Attar :
نقل أنّ شخصا من أرباب الأموال بعث مالا كثيرا إلي مكّة, وأمر بصرفها إلي الفقراء, وجاؤوا إلي الشافعي رضي الله عنه ببعضٍ منه, قال: كيف قال صاحبه؟ قيل: إنه قال: إلي الفقراء المتّقين. قال الشافعي رضي الله عنه: أنا فقير غير متّقٍ. ولم يقبل.
Artinya :
"Telah dipindahkan sebuah riwayat sungguhnya seorang hartawan telah menghantar harta yang sangat banyak ke negeri Mekah dan telah menyuruh supaya harta-harta itu diberikan kepada sekelian orang faqir.
Dan orang yang menguruskan harta itu telah datang kepada Imam Syafie r.a. membawa sebahagian dari harta tersebut.
Lalu Imam Syafie berkata : Bagaimanakah pesanan tuan punya harta ini?
Dikatakan kepadanya bahawa harta tersebut hendaklah diberikan kepada orang faqir dari kalangan orang-orang yang bertaqwa.
Maka Imam Syafie pun berkata : Aku memang seorang yang faqir tetapi bukan dari kalangan orang yang bertaqwa. Dan Imam Syafie tidak menerima pemberian tersebut.” (kitab Tazkirah Al-Aulia’)
Kisah yang sungguh menginsafkan kita semua jika kita gunakan mata hati melihat diri kita dibandingkan dengan Imam Syafie yang diakui oleh seluruh ulamak sebagai orang yang sangat tinggi ketaqwaannya masih merendah diri dan tidak sekali-kali memuji diri.
Benarlah firman Allah Taala :
فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ
Artinya : “Maka jangan kamu sekelian menyucikan diri kamu sedangkan Allah lebih mengetahui dengan siapa yang sebenarnya bertaqwa.” (An-Najm : 32)
Telah berkata oleh Imam Al-Qurtubi berkenaan ayat di atas :
(فلا تزكوا أنفسكم) أي لا تمدحوها ولا تثنوا عليها، فإنه أبعد من الرياء وأقرب إلى الخشوع. (هو أعلم بمن اتقى) أي أخلص العمل واتقى عقوبة الله
Artinya : “”Bermula ayat ‘Maka jangan kamu sekelian menyucikan akan diri kamu sekelian’ itu artinya jangan kamu sekelian memuji diri kamu dan jangan kamu sekelian menyebut kebaikkan diri kamu maka sungguhnya sifat begini lebih menjauhkan daripada riak dan lebih menghampirkan kepada khusyuk. Dan ayat ‘Dialah Tuhan yang lebih mengetahui dengan siapa yang sebenarnya bertaqwa’ artinya orang yang mengikhlaskan amalan dan sangat takut dengan siksa Allah.” (Kitab Tafsir Al-Qurtubi)
Maka benarlah Imam Syafie sebenarnya seorang yang sangat taqwa sehingga tidak mahu mengaku sebagai orang yang taqwa.
Mudah-mudahan secebis kisah Imam Syafie ini dapat kita jadikan iktibar dan nasihat buat diri kita semua.
wallahua’lam
No comments
Post a Comment