NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tambah Polis Atau Mafia Kuasai Malaysia



GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan sekurang-kurangnya 16,000 anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi membanteras penyalahgunaan dadah dilakukan lebih efektif di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ketika ini keanggotaan JSJN di seluruh negara kira-kira 5,000 orang atau hanya lima peratus berbanding anggota dan pegawai di jabatan PDRM lain.

Menurut beliau, akibat kekangan tersebut, seorang pegawai penyiasat JSJN perlu menguruskan secara purata 14 kertas siasatan sebulan yang disifatkan satu tanggungjawab dan bebanan tugas yang berat.

Sehubungan itu, jelasnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia bagi merayu supaya PDRM diberi kelonggaran dalam penambahan keanggotaan dan jawatan khususnya melibatkan JSJN.

“Kita juga akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat bagi melihat perkara-perkara dari sudut perundangan yang boleh diatasi dalam usaha kita membanteras penyalahgunaan dadah seperti dibangkitkan pegawai JSJN,” kata beliau selepas merasmikan mesyuarat Ketua JSJN Se-Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, Abdul Hamid memaklumkan, sepanjang tahun ini sehingga Julai lalu, JSJN melumpuhkan 144 sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di seluruh negara.

Kata beliau, kejayaan itu melebihi indeks petunjuk prestasi (KPI) JSJN iaitu melumpuhkan sebanyak 30 sindiket dadah yang disasarkan pada tahun ini.

Bagaimanapun, tegasnya, jumlah sindiket yang berjaya ditumpaskan itu juga mengambarkan ancaman pengedaran dan penyalahgunaan dadah adalah sesuatu yang serius.

“Sebab itu jika JSJN tidak dibekalkan dengan senjata dan keanggotaan mencukupi serta peruntukan undang-undang yang tegas, tidak mustahil kita akan berdepan dengan masalah seperti di Amerika Latin iaitu mafia atau ‘war lord’ menguasai negara kita.

“Di pihak PDRM, kita tidak akan berputus asa dalam berdepan ancaman sindiket dadah ini dan dengan bantuan serta kerjasama seperti kelulusan anggota oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kita akan berjaya dalam perang melawan dadah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo