NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sayangi Tabung Haji – Syahir Sulaiman

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil" (An-Nisa': 58)

Tertarik mengikuti ucapan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Paling dinantikan adalah penjelasan beliau terhadap persoalan yang dibangkitkan sekalian Ahli Parlimen tentang Tabung Haji, sehingga YB Kulim Bandar Baharu dan YB Parit Buntar meminta YB Menteri meringkaskan ucapan dan segera menyentuh isu Tabung Haji dalam tempoh masa berucap yang berbaki.

YB Menteri menyatakan, “Isu Tabung Haji amat penting untuk kita lihat dan fahami dengan sebaiknya. Semua Ahli Yang Berhormat suka dengan Tabung Haji, sokong Tabung Haji, suka tengok Tabung Haji naik ke depan dan cuba untuk meleraikan semua masalah berkaitan Tabung Haji”.

Justeru bagi merungkai segala persoalan dan tuduhan yang dibangkitkan, YB Menteri memberikan komitmen,

“Kerajaan amat memahami bahawa dalam meneliti dan menilai segala transaksi yang dilakukan Tabung Haji perlunya ada satu badan bebas dan berautoriti. Mesyuarat Menteri dalam masa terdekat akan membincangkan sedalam-dalamnya berkenaan isu Tabung Haji, termasuk cadangan dan kewajaran penubuhan RCI”.

Siasatan bebas.

Keputusan kerajaan Perikatan Nasional untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan bebas Diraja (RCI) adalah amat bertepatan, bagi menilai secara menyeluruh setiap pertikaian yang dibangkitkan melibatkan aspek pengurusan, pelaburan dan tadbir urus Tabung Haji.

Ini adalah penting kerana keyakinan rakyat dan pendeposit sedikit terhakis apabila timbul polemik yang tidak berkesudahan, antaranya isu integriti, perlanggaran Akta Tabung Haji, pemberian hibah dan pengiraan keuntungan di bawah kerajaan BN, di samping isu penstrukturan Tabung Haji, jaminan sukuk, pemindahan aset, penjualan ekuiti, dan penjualan ladang di bawah kerajaan PH.

Selain dapat merungkai setiap pertuduhan yang dibangkitkan, siasatan bebas RCI yang pernah dicadangkan oleh Presiden PAS sejak 2018 dilihat boleh mengembalikan keyakinan pendeposit dan umat Islam terhadap Tabung Haji, seterusnya memastikan Tabung Haji dapat bergerak berdasarkan matlamat asal penubuhannya.

Terpenting adalah keyakinan terhadap integriti dan profesionalisma di pihak Tabung Haji, sebagai tanda sayangnya kita kepada institusi terpenting ekonomi umat Islam di negara ini.

- Syahir Sulaiman, 11 Ogos 2020

- Bangunan Parlimen

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo