NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlukah Selamatkan Pekebun Durian Haram?

Gambar : NST
RAUB, 6 Muharram 1442H, Selasa – Tindakan sekumpulan pekebun yang mengusahakan tanaman durian di atas tanah kerajaan secara haram, melakukan demonstrasi memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong untuk menyelesaikan isu itu menimbulkan pelbagai persoalan.

Demonstrasi itu disokong pula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Chow Yu Hui yang memfailkan permohonan mahkamah untuk membantah iklan Jawi di papan tanda pihak berkuasa tempatan (PBT) Pahang.

Pemerhati politik, Mohd Luttfi Abd Khalid mempersoalkan keperluan menyelamatkan mereka yang menceroboh tanah kerajaan dan mengaut keuntungan besar hasil menjual durian dengan mahal dari tanah ‘haram’ itu.
 
“Sedangkan sewaktu demonstrasi itu, mereka menjulang bendera Malaysia dan gambar Yang di-Pertuan Agong sebagai ‘sokongan’ bagi menuntut sesuatu yang bukan hak mereka.

“Hakikatnya bendera Malaysia yang dibawa mereka hanyalah hiasan dan gambar Yang di-Pertuan Agong sebagai satu alasan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, kumpulan yang menamakan diri mereka Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) memegang pelbagai sepanduk dan melaungkan slogan meminta kebun mereka ‘diselamatkan’.

Sebelum ini, wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Pahang menggesa kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap pekebun yang mengusahakan tanaman durian secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Di samping itu, mereka mahu pihak itu diberikan keutamaan sebagai penyewa sah berbanding memberikannya kepada pihak korporat dan syarikat swasta untuk diusahakan.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebenarnya bagi menyelesaikan masalah ladang durian haram di Raub, kerajaan Pahang telah mewujudkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV).

Beliau mendakwa, SPV akan menghalalkan ladang-ladang tersebut dengan berpakat dan berkongsi keuntungan dengan pemilik-pemilik ladang yang telah lama menanam durian jenis di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Namun, katanya, pemilik-pemilik ladang mendakwa syarat dan levi yang dikenakan syarikat SPV pada mereka adalah berat sebelah dan terlalu tinggi.

“Mereka mendakwa levi tahunan RM6,000 setiap ekar terlalu tinggi berbanding levi RM50 setiap ekar untuk ladang durian di atas tanah milik sendiri,” katanya.

Selain itu, mereka juga tak berpuas hati kerana permohonan untuk mendapat hak milik tanah ladang tersebut telah ditolak kerajaan Pahang.

“Harapan mereka bahawa kerajaan negeri akan menyerahkan tanah tersebut kepada mereka hanya kerana mereka telah lama menduduki tanah itu juga adalah salah. 

“Jika kerajaan negeri tunduk kepada permohonan mereka maka lagi ramai orang akan buat yang sama dan tidak sesiapa lagi yang akan menghormati tanah milik kerajaan,” kata Najib. - ismaweb

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo