NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penyertaan Bersatu dalam MN bentuk gagasan 'Melayu Raya' kata Takiyuddin



PAS yakin gandingan parti itu dengan Umno dan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) akan mewujudkan suatu gagasan besar “Melayu raya”.

Bukan itu sahaja, malah Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan percaya langkah itu dapat memperkasa struktur masyarakat Malaysia.

Justeru katanya, parti itu menyokong penuh keputusan Bersatu menyertai MN.

"PAS yakin penyertaan Bersatu akan memantapkan lagi MN yang digagaskan atas dasar muafakat dalam hal-hal dan isu-isu berkaitan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu, Bumiputera dan kepentingan nasional secara umumnya.

"PAS juga yakin gandingan parti-parti Umno, PAS dan Bersatu bukan sahaja akan mewujudkan suatu gagasan besar 'Melayu raya' dan sekali gus memperkasakan struktur masyarakat Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya seperti termaktub dalam undang-undang teras Malaysia.

"Kerjasama yang digagaskan atas asas muafakat, persefahaman serta perpaduan ini pasti akan mewujudkan iklim yang harmoni, kondusif dan berwibawa ke arah membangunkan seluruh sektor masyarakat dan wilayah demi kepentingan negara dan seluruh rakyatnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bersatu diasaskan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan presidennya, Muhyiddin Yassin menerusi kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan berjaya menumbangkan kerajaan BN pimpinan Najib Razak pada pilihan raya umum ke-14.

Muafakat Nasional dimeterai antara Umno dan PAS susulan kekalahan BN pada pilihan raya itu.

Bagaimanapun kerajaan PH tidak bertahan lama apabila terjadi krisis politik pada Februari lalu yang menyaksikan Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri gabungan itu.

Tempatnya digantikan oleh Muhyiddin yang menubuhkan kerajaan melalui Perikatan Nasional (PN) dengan kerjasama Umno dan PAS.

Bagaimanapun PN bukanlah pakatan formal atau entiti politik berdaftar.

Umno sebelum ini mengumumkan bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan PN, sebaliknya mengajak Bersatu menyertai MN.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi parti itu telah memberi persetujuan untuk menyertai MN.

Dalam rakaman ucapan yang ditujukan buat ahli Bersatu, Muhyiddin berkata beliau percaya bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk Bersatu.

"​Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau the grand coalition.

"InsyaAllah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata beliau yakin gabungan tiga parti itu menjadi gandingan terbaik untuk menerajui PN.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo