Oleh: Abdul Muein Abadi
1. Siapa sangka di saat Turki diserang hebat dari segi politik, disekat hebat dari segi ekonomi, dan diperangi dahsyat dari segi ketenteraan – kerana pendirian Islamis di pentas antarabangsa – hari ini Allah s.w.t membuktikan janji Dia akan membantu hamba yang memperjuangkan agama-Nya itu benar.
2. Turki baru sahaja mengumumkan penemuan gas terbesar di Laut Hitam dalam sejarah kuasa Islam itu yang bakal menamatkan kebergantungan kepada import tenaga asing.
3. Penemuan ini cukup kritikal kerana Turki saat ini berada dalam pelbagai tekanan antarabangsa kerana pendirian Islamis kerajaan pimpinan Erdogan ini, antaranya ialah mengembalikan status Ayasofya warisan Sultan Muhammad al-Fatih sebagai masjid serta menentang tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel.
4. Mata wang Lira Turki juga berada dalam keadaan tekanan khususnya selepas Amerika Syarikat mengenakan beberapa sekatan ke atas Turki.
5. Malah, Turki juga disingkir daripada projek pesawat pejuang F-35 dari Amerika hingga kerugian tidak kurang setengah juta USD semata-mata kerana membeli sistem pertahanan udara S-400 dari Rusia.
6. Segala sekatan dan tekanan ini tidak menghalang Turki pimpinan Erdogan untuk terus memelihara 3 juta pelarian Syria di dalam negaranya.
7. Segala sekatan dan tekanan ini juga tidak menghalang Turki daripada terus menaja pelbagai biasiswa pelbagai peringkat pendidikan kepada warga bukan Turki termasuklah rakyat Malaysia dan negara-negara Islam dan bukan Islam lain.
8. Paling penting, segala sekatan dan tekanan antarabangsa ini tidak sama sekali mengendurkan semangat Erdogan untuk menegakkan syiar Islam di dalam dan luar Turki.
9. Lebih simbolik, penemuan 320 bilion meter padu gas di Laut Hitam itu dilakukan oleh kapal bernama ‘Fatih’ – sempena gelaran nama penguasa Uthmaniyyah yang menakluki Constantinople, Sultan Muhammad al-Fatih.
10. Sebelum ini Turki bergantung pada bekalan dari Rusia dan Iran di mana tahun lalu sahaja import tenaga Turki adalah bernilai sebanyak USD41 bilion.
11. Penemuan gas ini bakal memberi impak besar bukan sahaja ke atas trajektori kuasa ekonomi, tetapi juga kuasa politik dan ketenteraan Turki.
12. Jika rancangan projek pesawat pejuang generasi kelima Turki ingin diteruskan selepas disingkir Amerika daripada F-35, Turki kini berpeluang menggunakan pendapatan tambahan ini dengan menyertai projek Sukhoi SU-57 bersama Rusia.
13. Penemuan simpanan gas yang bakal melonjakkan kuasa ekonomi Turki dalam keadaan Turki berdepan tekanan antarabangsa kerana pendirian Islamis ini benar-benar membuktikan kebenaran janji Allah dalam Surah al-‘Imraan:
“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri”.
***Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.
No comments
Post a Comment