NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Panduan Politik Islam dalam Surah Al-Hajj

Minggu lalu sebilangan kecil saudara-saudara kita yang menunaikan ibadah haji telah melaksanakan salah satu rukun daripada ibadah haji iaitu wuquf di Arafah dengan suasana yang sangat berbeza samasekali. 

Tidak seperti kebiasaan ketika musim haji di mana kita melihat ratusan ribu umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah haji, kali ini akibat daripada wabak pandemik Covid-19 jumlahnya dihadkan dalam bilangan kecil untuk mengelakkan daripada berlakunya penularan wabak tersebut.

Saya cukup tertarik apabila membaca surah Al-Hajj di dalam Al-Quran. Ianya satu-satunya surah yang dinamakan dengan nama ibadah yang terdapat di dalam rukun Islam iaitu ibadah haji.

Allah SWT memulakan firmanNya di dalam surah ini dengan mengingatkan kita akan perihal dahsyatnya apabila berlakunya Hari Qiamat sehinggakan memperumpamakannya dengan ibu yang menyusukan anak melupainya dan ibu yang mengandung gugur kandungannya kerana terlalu dahsyat peristiwa tersebut.

Kedahsyatan Hari Qiamat ini digambarkan sebahagiannya di dalam ibadah haji khususnya ketika wuquf di Arafah. Ketika wuquf di Arafah kita melihat lautan manusia berhimpun dengan banyaknya sementara menunggu untuk bergerak ke Mudzalifah.

Begitulah keadaan manusia kelak apabila dibangkitkan di Padang Mahsyar sementara menunggu untuk dihisab di hadapan Allah SWT. Lautan manusia memenuhi di Padang Mahsyar kelak dari seawal - awal kejadian hingga yang terakhir menunggu penghakiman Allah SWT.

Di dalam ayat 41 surah Al-Haj, Allah SWT menyebut pula berkaitan dengan politik atau siasah. Allah SWT menerangkan tentang ciri - ciri pemerintah yang diredhai olehNya iaitu pemerintah yang menjaga hubungannya dengan Allah SWT dan menjaga kebajikan rakyat yang berada di bawah pemerintahannya.

Allah SWT juga menyebut bukan sekadar itu malah secara jelas turut menyebut bahawa pemerintah perlu melaksanakan peraturan yang menggalakkan rakyat melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Di sini jelas menunjukkan bahawa politik adalah sebahagian daripada Islam bahkan ianya adalah satu ibadah yang mendapat pahala jika sekiranya mengikut lunas-lunas syara’ dan bukannya menjadikan hawa nafsu sebagai asas.

Di Hari Qiamat kelak bukan sahaja orang yang solat, berpuasa, menunaikan zakat dan haji akan dimasukkan ke dalam syurga bahkan juga pemimpin dan ahli politik yang mengikut landasan agama akan beroleh ganjaran yang sama bahkan lebih daripada itu lagi. 

Pemimpin yang adil adalah golongan pertama yang akan berada di bawah naungan Allah SWT di Padang Mahsyar kelak sebagaimana yang tsabit di dalam hadis yang sahih.

Falsafah ibadah haji bukan hanya untuk mendekatkan diri kita dengan Allah SWT bahkan juga untuk kepentingan penyatuan umat Islam yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, bangsa dan warna kulit. 

Saat ini kita melihat pelbagai ujian dan cabaran yang dihadapi oleh dunia dan umat Islam namun sebenarnya sebahagian besar daripadanya adalah berpunca dari umat Islam itu sendiri yang sanggup setia dengan musuh - musuh Islam dan dalam masa yang sama sanggup bermusuh sesama Islam.

Sesungguhnya disaat terlalu banyak ujian dan cabaran yang melanda dunia dan umat Islam kini, kita seharusnya melihat dan menilai kembali pesanan dan gesaan Allah SWT dalam surah Al - Hajj serta meninjau kembali maksud dan peranan ibadah haji kepada kita umat Islam.

Penyatuan, ciri - ciri kepimpinan dan politik Islam yang tersirat dalam surah Al -Hajj patut kita ambil dan realisasikan sebagai sebahagian daripada asas dan modul sebuah negara Islam yang dinamik dan di redhai Allah SWT.

Manakala kisah kegerunan dan kedahsyatan Hari Qiamat pula perlu kita ambil sebagai iktibar dan sempadan agar kita tidak tergolong dalam golongan orang yang kufur dan dimurkai Allah SWT kerana pembalasan mahupun nikmat yang dikurniakan Allah SWT selepas kita dibangkitkan semula benar belaka.

Namun apabila berbicara tentang Hari Qiamat usah kita lupa pula kepada tanda - tanda hampirnya Qiamat. Beribadah dan lakukanlah kebaikan ketika kudrat masih ada dan selagi bernyawa kerana apabila tibanya Hari Qiamat mahupun setelah dicabut nyawa, semuanya sudah terlambat.

Itulah hubung kait yang menghubung dan menjalinkan ketiga-tiga perkara yang menjadi asas yang sangat penting di dalam agama Islam ini.

Perbanyakkan doa dan istighfar, tingkatkan ibadah dan ketaatan di masa yang penuh dengan keberkatan ini.

Semoga kita memperolehi kejayaan di dunia mahupun akhirat.

Islam Memimpin Perpaduan.


YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Adun Batu Buruk.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3132264616829029&id=526079594114224




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo