NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengimbau Sejarah Sumbangan PAS Dalam Kemerdekaan Malaya


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Ulama dan agamawan Tanah Melayu yang berhimpun di Gunung Semanggol telah mengasaskan Hizbul Muslimin pada mac 1948, namun umur parti Islam pertama ini  sangat singkat dengan pengenalan Ordinan Darurat pada Jun 1948. British dalam mengekang kemaraan komunisme juga sekaligus mematikan perjuangan menuntut kemerdekaan tanahair. 

Ruang politik yang tidak kondusif di zaman darurat bermula pada tahun 1948 dengan penangkapan  massa secara rambang telah membentur kebangkitan rakyat. Segelintir ulama Hizbul Muslimin telah menyertai Biro Agama UMNO kerana hanya parti berhaluan kanan sahaja dibenarkan oleh British untuk bergerak dalam politik tanahair. Kelompok agamawan inilah yang  seterusnya telah menubuhkan Persatuan Ulama Semalaya pada 23 Ogos 1951 dan akhirnya bertukar dengan nama yang lebih inklusif iaitu Persatuan Islam se Tanah Melayu pada 24 November 1951.

Dasar perjuangan PAS ialah untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British dan menegakan sebuah pemerintahan Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis. Maka untuk mencapai matlamat itu, PAS telah berkerjasama dengan parti-parti yang lain di persekutuan Tanah Melayu untuk mendesak British memberikan hak pemerintahan sendiri dan merdeka. PAS telah menghantar tiga orang wakil iaitu Mohad Asri Hj. Muda, Tuan Haji Ahmad Tuan Hussien dan Ustaz Uthman Abdullah.

Dalam persidangan itu, PAS mempertahankan pendirian politiknya iaitu Persekutuan Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu. oleh kerana itu, PAS membawa usul bahawa apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kedudukan orang Melayu sebagai pemilik negeri ini yang asal dan sah tidak harus dilupakan. PAS telah meminta supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara secepat mungkin sebagai penganti bahasa Inggeris.

 PAS juga mendesak supaya agama Islam diletakkan di tempat yang penting di Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka nanti. PAS juga tidak menyokong cadangan UMNO-MCA untuk menjadikan prinsip Jus Soli sebagai syarat kelayakan mengundi bagi orang-orang asing. Bagi PAS, orang-orang asing tidak mempunyai hak untuk mengundi kerana mereka bukan rakyat negara itu. PAS juga menolak cadangan perikatan UMNO-MCA yang mahukan suruhanjaya bebas dilantik untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sungguhpun berbeza pendapat berhubung dengan corak kemerdekaan Tanah Melayu yang bakal merdeka, PAS tidak mengkhianati atau menghalang usaha-usaha parti Perikatan berhubung dengan tuntutan kemerdekaan. Tokoh-tokoh utama PAS seperti Dr Burhanudin al Helmi, Prof Zulkifli Mohamad antara sosok yang sentiasa meniupkan api kesedaran kepada rakyat untuk merdeka. Bahkan Dr Burhanuddin mendekam beberapa kali dalam penjara dizaman penjajahan kerana sifat anti kolonialnya yang sangat tinggi.

Musuh PAS beberapa dekad selepas merdeka telah memfitnah PAS sebagai parti penghalang kemerdekaan, sebuah parti yang tidak ingin kepada kemerdekaan dan dilahirkan oleh British. Sejarah pula menyaksikan ulamalah yang mengucur keringat dalam memperjuangkan kemerdekaan semenjak awal abad 20, dipenjara dan dibuang negeri oleh penjajah British.

PAS memberikan sokongan sepenuhnya terhadap rombongan Tunku Abdul Rahman, Yang Dipertua UMNO, ke London pada bulan September 1953 untuk.menyerahkan memorandum yang disusun oleh Jawatankuasa Persidangan Kebangsaan kepada kerajaan British bagi menuntut diadakan segera pilihan Raya di peringkat Persekutuan. Hasil desakan bersepadu daripada parti-parti politik itu, British bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 1955.

Pada bulan Ogos dan Oktober 1953, PAS menyertai persidangan kebangsaan tajaan perikatan UMNO-MCA bagi membahaskan cadangan untuk mendesak kerajaan British mengadakan Pilihan Raya Persekutuan 1954, iaitu sebagai langkah awal ke arah pemerintahan sendiri. Maknanya PAS melakukan apa sahaja bagi memastikan jalan kemerdekaan dapat diraih, pilihan raya yang pertama sangat penting bagi menyediakan rakyat Tanah Melayu untuk bekerajaan sendiri.

Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) kemudiannya didaftarkan dengan Pandaftar Persatuan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP) atau PAS (dua minggu) sebelum 31 Mei 1955 iaitu hari penamaan calon pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu yang telah berlangsung pada 27 Julai 1955. Nama Persatuan Islam Se-Malaya kemudiannya ditukar dalam persidangan pada 25-27 Disember 1971, ia ditukar sekali lagi menjadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kekal hingga ke hari ini.

BERSAMBUNG

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo