Dalam masa beberapa hari sahaja lagi, kita sebagai rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke 63. Setiap rakyat Malaysia tentu sahaja akan mengingati laungan “ Merdeka, Merdeka, Merdeka “ yang diucapkan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Al - Hajj, bapa kemerdekaan negara di kaca televisyen setiap kali tibanya hari kemerdekaan negara.
Merdeka adalah pengertian yang cukup bermakna bagi rakyat sesebuah negara, maka wajarlah kita memahami dan menghayati makna kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar. Laungan “ Merdeka “ semata – mata tidak mampu merungkai pengertian kemerdekaan yang tulen mahupun hakiki.
Tidak hanya cukup dengan memaparkan semangat patriotik seperti mengibarkan “ Jalur Gemilang “, namun kita perlu mendalami kisah, sejarah mahupun pengorbanan perjuang – pejuang kemerdekaan terdahulu yang berkorban hingga titisan darah terakhir mereka untuk memerdekakan negara daripada penjajah.
Tanpa itu semua terutamanya penghayatan dan pengertian kisah, sejarah mahupun pengorbanan orang – orang terdahulu, kita tidak akan mampu mengerti apakah makna “ Kemerdekaan “ yang sebenar kerana kita akan alpa, leka dan dibuai keseronokan akibat kehidupan yang tidak tidak kenal erti perit, susah dan terseksa sebagaimana orang – orang terdahulu.
Kemerdekaan itu terlalu mahal dan tidak ternilai, ia tidak boleh dibeli mahupun dijual malah ramai yang sanggup berkorban untuk memperolehinya kerana ia tidak datang bergolek mahupun boleh diperolehi dengan mudah.
Kita rakyat Malaysia amat beruntung kerana hidup dalam sebuah negara yang merdeka. Kita bebas dalam menentukan masa depan dan hala tuju kita sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara.
Malaysia juga boleh dikategorikan di antara negara Islam yang maju, moden dan berdaya saing namun hakikatnya masih ada lagi negara – negara Islam yang masih lagi dijajah mahupun tidak menikmati kemerdekaan yang sebenar.
Pengalaman saya berada di luar negara samada ketika menuntut ilmu mahupun ketika menjalankan tugasan telah banyak mengajar saya erti kemerdekaan sebenar yang tidak terhingga nilainya. Sebagai contoh ketika sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 58, saya berada di Algeria yang digelar negara sejuta setengah syahid.
Mungkin ada tertanya mengapa diberi gelaran sebegitu kepada Algeria. Ini adalah kerana untuk mencapai kemerdekaan daripada Perancis yang menjajah Algeria satu ketika dahulu, lebih daripada sejuta rakyatnya terkorban menentang penjajahan Perancis demi untuk mencapai kemerdekaan.
Umat mahupun Dunia Islam telah melalui zaman kegelapan sejak kejatuhan Khilafah Islamiyyah di Turki, bermula daripada kelemahan umat Islam sendiri kerana meninggalkan agama yang telah menjadikan mereka contoh dan teladan kepada umat manusia dari pelbagai bidang dan aspek kehidupan.
Racun asabiyyah perkauman dan mazhab yang dititik oleh penjajah kepada umat dan Dunia Islam ditelan bulat – bulat sehingga menjadi porak – peranda, malah ada yang sanggup menjadi alat mahupun tali barut kepada penjajah Barat menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyyah.
Almarhum As-Syeikh Muhammad Al-Ghazali, seorang alim dan pemikir Islam telah memberikan komentar terhadap situasi umat Islam pada ketika itu:
"Umat Islam berdepan dengan kezaliman orang-orang Turki dan kebodohan orang-orang Arab."
Yang bermaksud kezaliman orang-orang Turki terhadap bangsa dan kaum lain walaupun seagama dengan mereka manakala kebodohan orang-orang Arab kerana sanggup menjadi alat mahupun talibarut kepada penjajah untuk memecahkan kerajaan Islam serta umat Islam.
Akibatnya setelah kejatuhan Khilafah Islamiyyah Uthmaniyyah, maka negara-negara umat Islam telah dibahagi-bahagikan mengikut kehendak penjajah melalui Perjanjian Pangkor, Sykes Picot, Balfour dan lain-lain perjanjian lagi. Buat pertama kali dalam sejarah ketamdunan Islam, umat mahupun Dunia Islam telah hilang tempat bergantung.
Algeria ditakluk oleh penjajah Perancis sejak dari tahun 1830 sehingga kemerdekaan dicapai pada tahun 1964. Bukan sahaja kekayaannya dikaut dan dirompak kerana begitulah lazimnya tabiat penjajah, bahkan jatidiri rakyatnya juga turut mahu dicabut supaya tidak ada lagi jatidiri sebagai bangsa Arab Muslim.
Para ulama ditangkap dan dipenjara dan sekolah-sekolah agama ditutup. Bahasa Arab dilarang untuk diajar, jatidiri Islam dicabut dan gerakan kristianisasi dikembangkan. Penjajah Perancis memberikan tanah dan bangunan kepada bangsa Perancis dan konco-konconya. Rakyat Algeria dihalau dan dihambat ke pendalaman, sama seperti yang dilakukan oleh Zionis Yahudi terhadap umat Islam Palestin.
Gerakan menentang penjajah dimulakan oleh para alim ulama dan pejuang-pejuang yang menentang penjajahan Perancis. Pada tahun 1832, Al-Amir Abdel Qader telah memulakan gerakan Jihad menentang penjajah Perancis yang mempunyai pelbagai kelengkapan canggih dan tersusun dengan taktik peperangan gerila. Perancis menanganinya dengan pelbagai bentuk kekerasan dan kekejaman sehingga mereka berjaya menahan Al-Amir Abdel Qader pada tahun 1847.
Gerakan jihad tidak mampu dipadamkan dan perjuangan diteruskan oleh generasi seterusnya hinggalah pada tahun 1931, muncul seorang tokoh ulama dan pejuang Abdel Hamid bin Badis yang mengambil pendekatan membangunkan anak-anak muda dengan tarbiyah Islam dan meniupkan semangat jihad ke dalam diri mereka untuk menentang penjajahan Perancis.
Slogannya yang masyhur dan dikenang sehingga ke hari ini adalah :
“Islam adalah agama kami, bahasa Arab adalah bahasa kami dan Algeria adalah watan kami.”
Hasil daripada tarbiyah yang panjang ini sehinggalah mampu melahirkan kesedaran yang menyeluruh, maka tercetuslah revolusi pada tahun 1954 sehingga kemerdekaan dicapai pada tahun 1962. Perjuangan yang panjang dan berliku ini mengorbankan lebih daripada sejuta rakyat Algeria. Ternyata mereka sekali-kali tidak tunduk, mengalah mahupun mengikut telunjuk penjajah.
Saya cukup terkesan dan merasai betapa tingginya nilai pengorbanan yang dilakukan oleh rakyat Algeria untuk mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan bukan semata-mata menghalau penjajah daripada bumi yang dijajah bahkan kemerdekaan sebenar ialah memerdekakan roh, jasad dan pemikiran daripada agenda mahupun perancangan penjajah.
Rakyat Algeria, bukan sahaja tanahair mereka dijajah bahkan mereka juga tidak rela roh dan jiwa Islam mereka disentap oleh penjajah. Begitu ramai nyawa yang terkorban semata – mata untuk menikmati dan merasai erti kemerdekaan yang sebenar.
Erti kemerdekaan yang diucapkan oleh Rub'i bin A'amir kepada Rustum, panglima tentera Parsi:
"Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa yang mahu keluar daripada pengabdian sesama hamba kepada pengabdian kepada Tuhan yang Maha Esa. Daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."
Mungkin Algeria, tanah air tercinta kita Malaysia mahupun banyak lagi negara – negara Islam telah merdeka dan berjaya menghalau penjajah keluar dari tanah air masing – masing, namun usah kita lupa bahawa masih terdapat lagi bumi umat Islam yang masih lagi dijajah seperti Palestin. Mereka diseksa, dizalimi malah dihalau dari rumah dan tanah air mereka sendiri.
Di Xinjiang, bangsa Uighur ditindas, dizalimi, dipenjara malah ada yang dihalau dari rumah dan tanah air mereka sendiri. Begitu juga umat Islam di Kashmir, bangsa Rohingya di Rakhine, Myanmar dan tidak lupa juga nasib umat Islam di Syria, Yemen, Iraq, Afghanistan dan beberapa tempat lagi.
Mungkin dibeberapa tempat berlakunya pergolakan politik dan perang saudara yang tidak ditakrifkan sebagai penjajahan namun nasib rakyat negara – negara tersebut adakalanya lebih teruk daripada dijajah oleh penjajah. Buminya mungkin merdeka nanum sikap pemimpin mahupun negara jirannya yang seperti penjajah menyebabkan sebenarnya bumi dan diri mereka tidak merdeka.
Justeru itu perjuangan untuk memerdekakan bumi umat Islam masih lagi belum selesai dan perjalanannya mungkin amat panjang. Namun jika kita umat dan Dunia Islam bersatu padu dan berkerjasama, segala yang sukar dan menjadi onak mahupun duri dalam perjuangan memerdekakan bumi umat Islam akan mampu diatasi.
Kali ini kita akan menyambut Hari Kemerdekaan kali yang ke 63. Ini bermakna sudah 63 tahun penjajah telah meninggalkan negara kita yang tercinta ini. Adakah kita benar-benar merdeka dan menjiwainya dalam erti kata yang sebenar?
Ini adalah persoalan yang perlu difikirkan dengan mendalam dan bertanyakan pada diri kita sendiri, adakah kita benar – benar merdeka ataupun tidak. Jangan semata-mata kita hanya melaungkan kata keramat “Merdeka” saban tahun, namun negara kita masih lagi dibelengu oleh sistem peninggalan penjajah yang digunapakai hingga ke saat ini.
Tidak dinafikan bukan semua yang ditinggalkan oleh penjajah itu buruk dan tidak elok. Islam mengajar kepada kita bahawasanya “Hikmah kebijaksanaan itu adalah barang tercicir kepada orang mukmin yang boleh diambil manfaatnya jika tidak bercanggah dengan hukum syarak.”
Maka oleh itu ada perkara-perkara baik ditinggalkan oleh penjajah yang wajar dikekalkan namun terdapat juga perkara-perkara mesti dibuang demi untuk memerdekakan jiwa kita daripada belenggu penjajah.
Sistem perundangan adalah contoh yang paling jelas bahawa negara kita masih lagi belum merdeka secara keseluruhannya. Perundangan Islam hanya berlegar pada aspek kekeluargaan dan muamalat semata - mata sedangkan undang-undang jenayah masih lagi mengekalkan undang-undang peninggalan penjajah.
Walaupun penjajah telah meninggalkan tanahair kita akan tetapi amalan penjajah masih lagi diamalkan. Di zaman penjajah kekayaan watan dirompak dan dibawa pulang ke negara mereka. Di zaman penjajah cukai diambil dari rakyat hingga menjadi miskin, melarat dan tergadai. Di zaman penjajah tanah rampas dan dimonopoli oleh penjajah. Selepas merdeka, sepatutnya kita sudah bebas namun masih ada lagi yang bersikap seperti penjajah.
Walaupun negara kita tidak mengorbankan sejuta setengah syahid untuk mencapai kemerdekaan sebagaimana Algeria, akan tetapi jasa dan pengorbanan mereka yang memperjuangkan kemerdekaan jangan sesekali dilupakan. Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Hajj dan rakan-rakannya telah banyak mencurahkan jasa dan baktinya untuk kemerdekaan negara yang tercinta ini.
Bahkan terdapat juga nama-nama yang seringkali dilupakan daripada lipatan sejarah kemerdekaan negara walaupun jasa mereka amat besar kepada tanahair tercinta ini. Mereka juga adalah wira dan tokoh kemerdekaan negara yang wajar diangkat dan diingati oleh setiap warganegara.
Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdurrahman Limbong, Dato Maharajalela, Mat Kilau, Dato Bahaman, Rosli Dhoby, Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan ramai lagi pejuang kemerdekaan adalah di antara tokoh-tokoh yang telah amat besar jasanya dan berkorban demi untuk kemerdekaan ini.
Kemerdekaan itu adalah satu nikmat, maka syukurilah nikmat ini dengan mengembalikan erti kemerdekaan yang sebenar dan hakiki di dalam diri setiap anak watan .
Moga Allah SWT memelihara setiap rakyat Malaysia dan tanah air bertuah yang tercinta ini.
Islam Memimpin Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
https://www.facebook.com/526079594114224/posts/3194512670604223/?extid=RfxXVhhbmNqKlLaM&d=n
No comments
Post a Comment