NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harmoni : Nasihat Umum Berkaitan Kes Imam Muda Syed Faris


NASIHAT UMUM BERKAITAN KES IMAM MUDA SYED FARIS

PENGENALAN

Beberapa hari yang lalu, berlaku kekecohan di dalam rata-rata platform media sosial mengenai pergaduhan di antara Imam Muda Syed Faris dengan Nur Hidayu Rosly (kini bekas isteri) lantaran perceraian di antara mereka.

Nur Hidayu membuat pendedahan selepas Syed Faris menceraikannya dan berkahwin kali kedua secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 18 Mac lalu.

Mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 28 Mei lalu iaitu dua hari selepas menyambut ulang tahun ke-13 perkahwinan.

Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (HARMONI) sebenarnya tidak berminat untuk mencampuri urusan rumahtangga pasangan ini namun setelah HARMONI membaca komen-komen netizen di media sosial, HARMONI merasakan adalah penting untuk menasihati beberapa perkara berikut:

(1) NASIHAT UMUM BUAT WARTAWAN/ PETUGAS MEDIA/ BLOGGER/ NETIZEN.

(A) HARMONI ingin menyeru kepada para wartawan/ petugas media/ blogger/ netizen agar mengamalkan kerja-kerja kewartawanan yang beretika khususnya dalam menyiarkan berita-berita berkaitan dengan perkahwinan mahupun perceraian seseorang. 

(B) HARMONI berpendapat bahawa berita-berita mengenai perkahwinan dan perceraian seseorang tidaklah perlu disensasikan dan ditulis secara terperinci seolah-olah ia sedang diceritakan kepada Hakim Mahkamah Syariah, pegawai agama atau mana-mana orang yang lebih berautoriti. Media massa/ sosial bukanlah tempat yang sesuai untuk menghakimi sesuatu permasalahan individu. Bayangkan jika orang lain turut membuka/ menyebarkan aib diri kita di media massa/ media sosial, pastilah kita sendiri pun rasa amat malu dan merasakan ia tindakan yang tidak wajar.

(C) HARMONI berpendapat bahawa sudah tiba masanya tindakan menyebarkan aib seseorang di media massa/ sosial (khususnya berkaitan dengan perkahwinan/ perceraian mana-mana individu) ini dihentikan. Ini adalah untuk mengelakkan daripada kisah-kisah rumahtangga seperti yang berlaku kepada Daie Farhan, Imam Muda Syed Faris dan seumpamanya ini disensasikan lagi.

(2) NASIHAT UMUM BUAT IMAM MUDA SYED FARIS, ISTERI DAN BEKAS ISTERI.

(A) Tutup/ berhenti menyebarkan aib di media massa/ sosial.

Sudah terdapat banyak dalil agama yang melarang kita dalam membuka aib seseorang di khalayak ramai. 

Bahkan dari segi logik akal sekalipun, apabila kita membuka aib satu pihak maka pihak yang diaibkan akan membuat tindakan balas dengan membuka aib kita pula bagi mempertahankan dirinya. 

Semakin banyak aib dihebohkan maka sesuatu permasalahan akan menjadi semakin besar dan semakin kompleks untuk diselesaikan. 

Permasalahan akan menjadi semakin kompleks apabila fakta bercampur-baur dengan fitnah, emosi dan ego. Kesannya, satu pihak yang dimalukan akan menjadi semakin malu manakala di satu pihak lagi akan menjadi semakin ego kerana berjaya memalukan lawan. Akibat dari semua ini ialah semakin kuranglah potensi sesebuah perkahwinan berjaya diselamatkan.

(B) Jangan biar kelakuan diri merosakkan imej ikon dakwah, tarbiyah dan islah.

HARMONI memohon agar semua selebriti agama di dalam media massa/ sosial agar dapat menjaga kelakuan diri dan keluarga. Hal ini adalah kerana masyarakat sentiasa memerhatikan dan mengambil para agamawan sebagai 'role model'. 

HARMONI bimbang sekiranya permasalahan peribadi selebriti agama ini disensasikan, masyarakat akan memandang rendah kepada para agamawan manakala program-program realiti agama akan menjadi tidak dihormati serta hilang signifikannya. 

Janganlah kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Janganlah kerana kelakuan beberapa kerat para agamawan, habis para selebriti agama yang lain turut terpalit kesannya.

(C) Jangan biarkan kelakuan diri merosakkan lagi imej syariat poligami yang sudah sekian lama terfitnah.

HARMONI juga turut bimbang sekiranya kelakuan beberapa selebriti agama yang ingin/ sedang berpoligami menambah lagi kesan buruk ke atas imej syariat poligami yang sudah sekian lama terfitnah.

Sebagai salah satu pertubuhan yang memperjuangkan amalan poligami harmoni, HARMONI berharap agar para selebriti agama dapat mengambil langkah tindakan yang bijak dalam menyelesaikan kemelut peribadi masing-masing. Elakkanlah penggunaan media sebagai medium penyelesaian masalah sebaliknya perbanyakkanlah musyawarah sebagaimana yang dianjurkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. 

(D) Berkahwin (monogami/ poligami) secara baik, maka bercerai juga biarlah secara baik.

HARMONI dengan tegas menyarankan agar semua pihak kembali kepada penyelesaian yang disebut di dalam al-Quran dan As-Sunnah iaitu dengan mengadakan majlis sulh dengan melantik hakam (wakil keluarga) yang kompeten bagi menyelesaikan sebarang pertikaian yang timbul.

Janganlah menggunakan elemen mengugut atau memperkecilkan pasangan masing-masing semata-mata mahu menang dari segi emosi dan egoisme kendiri.

PENUTUP

HARMONI berharap segala pertikaian di antara Imam Muda Syed Faris, isteri, bekas isteri dan ahli keluarga masing-masing dapat diselesaikan dengan penuh hikmah tanpa campurtangan mana-mana pihak termasuklah pihak media dan netizen. 

Wallahualam. 

Kenyataan Media ini dikeluarkan oleh:
Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (HARMONI),

Tarikh: 02-08-2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo