NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa Peguam Suka Caj "Mahal"?

home-loan-malaysia.
© galitskaya | Getty Images

Semalam saya uruskan penjualan sebuah rumah berharga lebih kurang RM700 ribu.

Pembeli bersetuju untuk beli rumah tersebut dan kami berbincang berkenaan struktur pembayaran yang diperlukan untuk transaksi pindahmilik rumah tersebut.

Berikut adalah perbualan ringkas berkenaan dengan kos guaman yang diperlukan:

Pembeli: "Berapa kos lawyer saya Encik Syakir?"

Saya: "Anggaran kos guaman tuan untuk urusan pindahmilik rumah ini adalah sekitar RM22k."

Pembeli: "Mahalnya peguam caj, tak boleh diskaun lagi ke?."

Saya: "Sebenarnya yuran guaman hanya lebih kurang enam ribu lebih saja tuan. Duti setem saja sudah lebih RM13k, selebihnya pula adalah bayaran-bayaran lain kepada pihak-pihak seperti pejabat tanah dan LHDN."

Pembeli: "Lawyer ni caj mahal sangat, padahal buat agreement copy paste je kut. Kalau saya buat 10 minit je boleh siap."

Ini satu salah tanggap masyarakat setiap kali sebut sahaja tentang caj guaman peguam: kerja peguam senang, siapkan surat perjanjian yang boleh diulang pakai dan kenakan bayaran tinggi kepada klien.

Penjualan rumah bukan selesai setakat sediakan perjanjian jual-beli sahaja.

Untuk memahami bagaimana seorang peguam mengenakan caj selayaknya kepada klien mereka dalam urusan pindahmilik rumah, kita harus kenalpasti jenis-jenis urusan, keperluan serta tempoh masa yang diperlukan oleh peguam untuk sempurnakan urusan satu-satu pindahmilik.

Peguam perlu berurusan dengan berbilang pihak selain daripada penjual & pembeli termasuklah pejabat tanah, bank, LHDN, mahkamah, majlis perbandaran, pihak-pihak berkuasa tempatan dan banyak lagi. Urusan-urusan ini memakan masa yang panjang dan melibatkan kerja-kerja dokumentasi yang rumit serta urusan-urusan kaunter yang kerap. Jadi kita bayar masa serta penat-lelah yang ditanggung oleh seorang peguam.

Sebagai pihak yang menguruskan transaksi pindahmilik hartanah, peguam juga perlu menguasai undang-undang yang terlibat termasuklah Kanun Tanah Negara, Akta Kontrak, Akta Setem dan beberapa akta lain. Selaku pihak yang dilantik atas kapasiti profesional untuk menguruskan urusan-urusan yang melibatkan kelayakan dalam kerja-kerja perundangan maka selayaknya seorang peguam mengenakan caj yang setimpal dengan kelayakan, pengetahuan dan pengalaman beliau. Senang hidup kita, tak perlu bertungkus-lumus untuk belajar undang-undang hanya kerana mahu beli sebuah rumah.

Begitu juga satu-satu urusan pindahmilik hartanah pasti melibatkan prosedur-prosedur yang rumit serta berbeza-beza sesuai dengan kemahuan setiap pihak yang mereka sedang berurusan. Sebagai contoh, setiap bank akan memiliki prosedur yang berbeza, begitu juga setiap pejabat tanah turut memiliki SOP mereka tersendiri. Jadi lebih senang sekiranya kita bayar penat-lelah seorang peguam yang terpaksa berhadapan dengan karenah-karenah birokrasi supaya kita sendiri tidak perlu bersusah-payah mengendalikannya.

Mungkin ramai di antara kita yang tidak sedar tetapi tahukah kita yang seorang peguam berhadapan dengan liabiliti terhadap setiap kes yang mereka kendalikan? Risiko yang mereka ambil menguruskan urusan yang melibatkan urusan undang-undang perlu dibayar dengan nilai yang setimpal. Tanya diri kita, beranikah kita berhadapan dengan risiko liabiliti perundangan sekiranya hanya dibayar dengan bayaran kecil yang nilainya ibarat "sisa yang terselit di celahan gigi"?

Bayangkan kesukaran-kesukaran yang perlu dilalui oleh seorang peguam yang terpaksa melalui semua perkara yang saya sebut di atas ini untuk satu jangka masa panjang selama lebih-kurang 6 bulan hingga satu tahun (adakalanya memakan masa bertahun-tahun untuk kes-kes yang rumit).

Jadi adalah tidak wajar sekiranya kita mempersoalkan bayaran yang selayaknya diterima oleh mereka. Apatah lagi caj yang mereka kenakan itu pula adalah sangat berpatutan dan berpadanan pula dengan skala yang telah ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan nilai hartanah yang diseliakan oleh mereka.

Itu belum lagi kita congak kos-kos logisitik yang perlu dikeluarkan oleh peguam seperti pengangkutan dan sebagainya. Perlu kepada duit, duit dan duit.

Adakah anda rasa peguam masih caj mahal? Fikirkan semula.

FB Syakir Zainol

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo