NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kekeliruan Program Kakak Kondom


Oleh : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

1. Kakak Kondom merupakan sebuah rancangan khas berkenaan pendidikan seksual yang dianjurkan oleh Yayasan Aids Malaysia dengan kerjasama One Condom MY. Walaupun mempunyai tujuan yang baik, saya kira kaedah penyampaiannya agak mengelirukan.

2. Kekeliruan yang paling jelas adalah apabila Kakak Kondom dilihat seakan membiasakan (neutralisasi) pandangan masyakarat tentang seks bebas sehingga pelajar Universiti seronok untuk datang kepada program ini untuk mendapatkan kondom percuma. Perhatikan ayat Kakak Kondom ini: 

“When they see me on campus, they would ask me which faculty I’d be talking to that day and if they can come and watch because they know that they can get free condoms from me.” (Apabila mereka (pelajar) melihat saya di kampus, mereka akan bertanya dimana fakulti mana saya akan menyampaikan pembentangan kerana sekiranya mereka tahu, mereka akan datang kerana ingin mendapatkan kondom percuma dari saya.”) Laporan MalayMail.

3. Malah lebih jelas lagi penerangan yang diucapkan sendiri oleh Pengerusi Yayasan Aids Malaysia bahawa program ini bertujuan memahamkan remaja tentang seks yang selamat (safe sex). Kata beliau:

“Kakak Kondom is a timely initiative to emphasise the importance of safe sex amongst young people.” (Kakak Kondom adalah sebuah inisiatif yang menekankan tentang kepentingan seks yang selamat dikalangan anak muda).

4. Timbul persoalan disini, apakah rancangan Kakak Kondom ini bertujuan membiasakan (neutralisasi) anak muda tentang seks yang selamat (safe sex) dengan menggunakan kondom? Bukankah ini seakan memberikan signal kepada anak muda tentang perlakuan seks ketika muda (sebelum berkahwin)?

5. Menurut Pengerusi Yayasan Aids lagi, berdasarkan statistik tahun 2015, jumlah kes anak muda yang mengandung meningkat kepada purata 18000 kes dan ini  berupaya mengakibatkan kes buang bayi. Bagi mengelakkan kes mengandung luar nikah dan pembuangan bayi, mereka seakan mencadangkan kempen Kakak Kondom sebagai jalan penyelesaian. 

6. Idea mempromosi safe sex atau kempen Kakak Kondom ini walau bagaimanapun sebenarnya tidak juga menjamin menyelesaikan masalah pembuangan bayi. Isu pembuangan bayi kebanyakannya berpunca dari perbuatan seks sebelum nikah atau zina. Sekiranya mereka sudah berkahwin secara sah, amat jauh kebarangkalian untuk mereka membuang zuriat yang diperolehi itu.

7. Malah penyampaian umum program ini turut mengelirukan. Sekiranya mereka mensasarkan golongan tertentu, mengapa program Kakak Kondom dilakukan di Universiti secara terbuka bahkan memberikan kondom percuma kepada pelajar? Bukankah ini boleh memberikan mesej yang salah kepada pelajar?

8. Pada hakikatnya akar tunjang permasalahan ini ialah isu mengamalkan seks sebelum nikah atau zina. Dengan sebab itu Rasulullah mengingatkan pemuda di zaman Baginda agar menjauhi zina. 

8.1 Rasulullah menggunakan pendekatan pendidikan yang rasional bagi memahamkan anak muda tentang implikasi zina. Apabila seorang pemuda datang meminta izin untuk berzina, Rasulullah dengan tenang bertanya kepada pemuda tersebut: “Apakah engkau suka sekiranya seorang lelaki berzina dengan ibu kamu?” Tersentak pemuda tersebut. Secara fitrahnya manusia menolak perlakuan ini. Sukakah kita jika ibu atau kakak kita berzina?

8.2 Perhatikan juga bagaimana Rasulullah bertanya berkali-kali kepada pemuda ini tentang akibat zina. Ia seakan memberikan kita petunjuk bahawa remaja atau anak muda mesti diingatkan berkali-kali tentang bahaya zina sehingga ia benar-benar meresap ke dalam jiwa mereka. Jangan pula kita yang mengalah dan memberikan mereka kondom!

9. Baginda juga membayangkan kepada para pemuda bahawa perlakuan zina adalah perbuatan orang yang tidak beriman. Apabila perkara ini sentiasa diterapkan di dalam jiwa pemuda melalui Quran dan hadis, mereka sedikit sebanyak akan terkesan dari aspek membina pendirian yang jelas berhubung perkara ini.

10. Malah Rasulullah juga menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang zina. Sehingga kini, kita masih lagi tidak bertegas dalam hukuman pelaku zina. Lebih malang lagi apabila kita sendiri mensuakan kondom kepada mereka dengan alasan safe sex. Andai undang-undang boleh diaplikasikan, ia sedikit sebanyak memberikan kesan kepada psikologi manusia.

11. Kempen safe sex anjuran barat ini adalah tidak sesuai untuk diamalkan dalam norma dan budaya masyarakat setempat. Kita mempunyai budaya dan agama yang berbeza yang berupaya menangani isu ini dengan pendekatan kita tersendiri.

12. Kaedah yang Islam bawa lebih menjurus kepada bagaimana Muslim mengawal kehendak seks mereka. Remaja ditekankan supaya menjaga pandangan, berpuasa sunat, pemilihan kawan yang baik, mencegah kemungkaran dan banyak lagi pendekatan yang membina jatidiri remaja Muslim. 

13. Rasulullah dilihat sangat cermat dalam menangani isu ini. Masyarakat jahiliyyah yang sudah terbiasa dengan isu zina dan kebejatan sosial dapat ditangani dan dibangunkan semula. Mereka yang pernah berzina boleh datang dan mengaku kepada Rasulullah secara sukarela tanpa dipaksa bukan buang bayi dan menyorok. Ini berpunca dari pemahaman yang diterapkan serta keimanan yang ditanamkan oleh Rasulullah.

13. Adalah tidak dinafikan bahawa anak muda harus diberikan pendidikan tentang seks. Namun penyampaian umum seperti yang direncanakan melalui program Kakak Kondom ini sangat longgar dan mengelirukan.

14. Dan satu lagi, berdasarkan laporan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender merupakan kelompok tertinggi dijangkiti HIV yang mewakili 50 peratus kes baharu dilaporkan sepanjang 2017. Adalah besar harapan saya agar Yayasan Aids Malaysia turut melakukan kempen agresif melarang perlakuan songsang lesbian dan gay kerana mereka juga adalah penyumbang penyakit HIV tertinggi berdasarkan statistik kini.

Semoga Allah membimbing kita.

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo