Oleh KAM
KUALA TERENGGANU: 12 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, tampil membuat laporan polis berkait dakwaan rasuah RM500,000 yang ditular di media sosial.
Kata beliau, tujuan laporan itu dibuat agar pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menfitnahnya.
Dalam laporan polis itu, katanya ketika dalam perjalanan ke Wisma Darul Iman Kuala Terengganu, beliau terbaca sebaran ‘print screen’ yang mengaitkan dirinya dengan permintaan wang sebanyak RM500,000 dari seorang kontraktor.
“Saya tidak ada sebarang pengetahuan dan tidak terlibat dengan permintaan yang didakwa. Saya tidak pernah secara peribadi atau melalui mana-mana wakil saya meminta sebarang imbuhan sepertimana didakwa.
“Saya dengan ini memohon pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan ke atas fitnah ini, dan seterusnya mengambil apa-apa tindakan yang perlu mengikut semua peruntukan undang-undang yang ada,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika membuat satu laporan polis di IPD Polis Kuala Terengganu, selepas Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Menurut Ir Saiful, isu fitnah yang dikaitkan dengan dirinya dalam perbuatan rasuah berjumlah RM500,000 bagi kelulusan projek pasir telah memberi kesan sangat besar.
Katanya, kesan dari fitnah itu secara langsung terhadap dirinya, keluarga dan masyarakat sebagai wakil rakyat.
“Hari ini saya hadir ke Balai Polis IPD (Ibu Pejabat Daerah) Kuala Terengganu, untuk membuat laporan fitnah ke atas diri saya, yang dibuat di laman media sosial (fecebook).
“Saya mohon pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut atas perkara yang difitnahkan itu.
“Isu (fitnah) ini memberikan kesan yang sangat besar kepada diri saya, termasuk keluarga dan masyarakat yang berkait rapat dengan saya (wakil rakyat).
“Ianya, benar-benar memberikan kesan yang sangat besar kepada saya. Apatah lagi ianya satu fitnah. Saya hadir bersama peguam dan ‘report’ (laporan) ini untuk saya sahaja,” ujarnya.
Semalam, beliau telah menafikan penglibatannya seperti ditular di media sosial facebook dakwaan kononnya, terdapat perbualan di aplikasi ‘WhatsApp’ antara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI), Nurul Islam Mohamed Yusoff dengan seorang individu dipercayai kontraktor.
Sementara itu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengesahkan sedang menyiasat kes dakwaan rasuah berjumlah RM500,000 tersebut.
Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Amad dilaporkan sedang mengumpul maklumat dan bukti berhubung dakwaan rasuah bagi projek pasir, yang dikaitkan dengan seorang ADUN di negeri ini. - BuletinOnline
No comments
Post a Comment