Foto Bernama |
KUALA LUMPUR: Harga siling runcit baru RM1 bagi sekeping pelitup muka 3 lapisan akan dikuat kuasa Sabtu ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, harga berkenaan ditetapkan selepas pihaknya mendapati bekalan pelitup muka jenis berkenaan mencukupi untuk menampung permintaan seluruh negara.
“Memandangkan harga siling RM1.50 selama ini telah sekian lama (ditetapkan) dan bekalan pelitup muka di pasaran adalah mencukupi hasil pemeriksaan dan pemantauan kementerian dan libat urus bersama pihak industri, pengilang dan juga peruncit yang menjualnya.
“Didapati juga walaupun harga siling sebelum ini RM1.50, ada yang menjual rendah daripada harga itu, maka memang benar bekalan pelitup muka ini mencukupi di pasaran.
“Oleh itu kementerian mengambil tindakan untuk menyemak semula (harga siling),” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.
Isnin lepas, pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, Nanta mengumumkan kerajaan bersetuju menetapkan harga siling baru berkenaan bagi mengurangkan beban orang ramai susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak mulai 1 Ogos lepas.
Nanta berkata, pihaknya memberi komitmen untuk terus menyemak harga dan menurunkan lagi harga siling runcit pelitup muka sekiranya keadaan membolehkan.
“Ia bergantung kepada bekalan, itu yang penting, sebab tak guna kita turunkan (harga) tapi (bekalan) tak dapat di pasaran. Kenapa tak dapat? Kalau harga pengeluaran masih tinggi maka orang mungkin tak dapat jual.
“Kita melihat kepada situasi dahulu, walaupun 80 sen tetapi nak beli pun tak ada. Kenapa? Ia kerana pengilang tempatan tak dapat tampung permintaan, jadi kita perlu import,” katanya.
Mengenai penguatkuasaan, Nanta berkata, sesiapa yang didapati menjual lebih tinggi daripada harga siling, tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.
“Buat masa sekarang …dari segi pemantauan mungkin tidaklah (jual lebih tinggi dari harga siling) sebab kita tak buat secara mengejut. Berita ini (turun harga siling pelitup muka) saya dah umum hampir seminggu lepas di Parlimen, jadi memang penjual, peruncit, pemborong sudah mengetahui kita (kerajaan) akan turunkan harga siling,” katanya.
Sementara itu, KPDNHEP dalam satu kenyataan turut memaklumkan harga siling borong bagi pelitup muka jenis 3 lapisan juga diturunkan daripada RM1.45 seunit ke 95 sen.
Menurut kenyataan itu, dari 29 Jan sehingga Isnin lepas, sebanyak 47,703 pemantauan terhadap harga dan bekalan pelitup muka dijalankan yang menyaksikan 55 kes dibuka dengan nilai rampasan sebanyak RM536,951.40 dan jumlah kompaun RM392,400.
No comments
Post a Comment