oleh:Abdul Mu'izz Muhammad
18 Ogos 2020.
Soft power atau kuasa lunak merupakan daya pengaruh yang berkarektor inspirasional. Ia adalah sejenis strategi untuk menarik sokongan dengan sentimen atau emosi.
Pasca Arab Spring menyaksikan UAE adalah negara Teluk yang agak berjaya mengaplikasikan kuasa lunak. Ia dilakukan agar dasar luar pro Israel yang bakal mengundang kontroversi, dapat dilangsungkan tanpa banyak protes dari umat Islam sedunia.
Negara Arab yang kaya raya itu juga antara pelaksana utama dalam menjayakan perancangan jangka masa panjang Israel yang dikenali sebagai Deal of The Century. Aktor penting di sebalik langkah-langkah kontroversi UAE adalah putera mahkotanya, Bin Zayed.
Polisi Yang Mensabotaj Dunia Islam.
Sebagai rekod, UAE terlibat dalam agenda merosakkan keseimbangan politik umat Islam di rantau Arab. Antaranya:
• Bersama Saudi mendukung rampasan kuasa Mesir bagi menjatuhkan Mursi.
• Menyokong Haftar dalam konflik di Libya. Beliau juga memiliki rangkaian yang lama dengan CIA.
• Terlibat menaja konflik di Yaman bagi menguasai lokasi-lokasi strategik di sana.
• Membiarkan isu kemelaratan di Palestin & menunjukkan keakraban luar biasa dengan Israel.
Jalinan Strategik Dengan Israel.
Sebenarnya hubungan intim UAE-Israel bukanlah suatu perkara yang baharu. Bahkan ia telah menjadi rahsia terbuka sekian lama. Dua negara ini berkongsi kebimbangan yang sama, iaitu berusaha menyekat Islamisme bawaan gerakan Islam & menghalang pengaruh Iran khususnya di negara-negara Arab.
Sejak 2009, telah ada usaha rahsia perundingan strategik UAE-Israel. Pada 2012 Netanyahu telah bertemu dengan Bin Zayed di New York & mereka bersetuju dengan kebimbangan yang sama, iaitu Iran. Pada 2017, email kerjasama antara Saudi, UAE & Israel untuk menentang Iran telah pun terbocor.
Kronologi ringkas seperti itu menjelaskan bagaimana jalinan strategik termasuk perisikan UAE-Israel telah pun lama berlangsung. Dengan memiliki kekayaan yang luar biasa, ia menjadi akses utama dalam mempengaruhi pihak lain agar bersama dengan agenda mereka.
Pasca 9/11.
Tragedi 11 September 2001 menjadi picu utama yang meledakkan kempen Islamofobia secara besar-besaran. Arkitek utama agenda pemetaan semula Asia Barat, Bernard Lewis melontarkan kebimbangan bahawa AS ketika itu sedang berdepan dengan dilema mencari sekutu yang paling efektif.
Timbul persoalan, apakah AS lebih relevan memilih kelompok Wahhabi sebagai sekutu untuk mendepani situasi pasca 9/11? Atau mereka lebih wajar menjadikan kelompok sufi sebagai sekutu yang dilihat lebih ideal bagi menjayakan agenda Islamofobia mereka?
Dari persoalan tersebut, Bernard Lewis merumuskan bahawa betapa perlu AS memilih kelompok sufi sebagai sekutu mereka. Pandangan tersebut turut dikuatkan oleh Daniel Pipes, selaku presiden Middle East Forum yang bertindak sebagai badan pemikir konservatif AS.
Pada masa yang sama, Nixon Centre yang merupakan badan pemikir neo-konservatif AS telah mengadakan persidangannya di Washington. Hasilnya termetrai persepakatan rasmi antara AS & sufisme.
Pada 2002, badan pemikir AS iaitu Rand Corporation merumuskan bahawa AS perlu menggunakan sufisme bagi mendepani ancaman gerakan Islam yang mereka sifatkan sebagai pengganas. Rand telah mengeluarkan laporan bertajuk Civil Democratic Islam pada 2003 yang menjelaskan relasi antara agenda liberalisme AS dengan sufisme.
Rand mendapati bahawa kelompok modernis yang perlu menjalankan agenda pembaratan berdasarkan aspirasi AS terpaksa berdepan dengan kelompok-kelompok Islamis yang cukup berpengaruh. Maka mereka perlukan tandingan yang setara, yang turut mengatas-namakan agama, yang lunak & mampu membentuk sentimen agama yang berkesan.
Lantas mereka menyimpulkan bahawa kelompok sufilah yang paling sesuai dengan misi tersebut. Dengan naratif kesufian, mereka akan bawa fahaman toleransi secara selektif acuan Barat yang sudah semestinya sesuai dengan kepentingan AS.
Sufisme UAE.
Tidak dinafikan, topik ini agak sensitif kerana akan menjentik emosi serta sentimen kita. Sememangnya demikianlah kesan halus dari kuasa lunak yang telah diagendakan oleh UAE.
Sufisme di sini bukanlah merujuk secara pukal kepada semua aliran sufi. Jauh sekali menolak ilmu tasawwuf yang menjadi sebahagian dari bidang ilmu Islam.
Sebaliknya, sufisme UAE adalah agenda kempen politik yang disalut dengan persembahan kerohanian yang mengasyikkan. Ia menerapkan pemikiran toleransi dengan Barat, pada masa yang sama amat tajam dengan gerakan Islam.
Hubungan antara agama turut perlu dicairkan atas nama rahmat & kasih sayang, agar ia dapat mewajarkan logik pluralisme bawaan Barat. Persepakatan UAE-Israel yang termetrai baru-baru ini pun dinamakan sebagai Abraham Accord, sebagai simbol kesatuan beragama berdasarkan perspektif mereka. Sementara dengan aliran lain khususnya yang terkait dengan gerakan Islam, perlu dinyahkan sehabis-habisnya atas tuduhan kononnya Wahhabi, takfiri & khawarij.
Sedangkan UAE merupakan sekutu kuat Saudi yang sangat sinonim dengan aliran Wahhabi. Bahkan Bin Zayed (UAE) merupakan mentor kepada Bin Salman (Saudi). Bermakna, mereka hanya mengeksploit aliran-aliran di dalam Islam demi kepentingan politik pakatan mereka. Untuk tugas tersebut, UAE menubuhkan Tabah Foundation pada 2005.
Pertubuhan tersebut membariskan tokoh-tokoh yang berpengaruh dalam dunia Islam. Antara yang paling menonjol adalah Habib Ali al-Jufri & Syeikh Dr Ali Jum'ah. Begitu juga UAE menubuhkan Majlis Hukama' yang melibatkan Syeikh Dr Ahmad Tayyib & Syeikh Bin Bayyah. Syeikh Hamzah Yusuf turut berperanan dalam forum Promoting Peace in Muslim Societies yang turut berpengkalan di UAE.
Semua itu merupakan badan-badan tajaan UAE untuk memasarkan idea keterbukaan yang sesuai dengan aspirasi Barat & falsafah pemikiran sufisme UAE. Farah Syarif dalam kajian akademiknya menimbulkan persoalan-persoalan di sebalik pembawaan sufisme UAE-AS:
• Forum mereka banyak berkisar berkenaan topik damai, tetapi tidak membicarakan soal agenda mencari keadilan yang saksama untuk umat Islam.
• Wacana mereka hanya bercakap berkenaan keharmonian secara selektif, tetapi tidak membahaskan soal faktor utama kemarahan kolektif umat Islam yang berpunca dari penjajahan & penindasan.
• Tokoh-tokoh yang telah ditaja oleh UAE melalui badan-badan seperti yang telah dinyatakan di atas, hanya bereaksi sesuai dengan kepentingan politik penaung mereka. Sementara umat tidak rasa terbela dengan pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh mereka.
Implikasi.
Dari pembawaan & pemikiran sufisme UAE, menyebabkan umat Islam khususnya di negara-negara Arab hilang daya untuk mencari keadilan & pembelaan atas nama Islam. Mereka berterus-terusan dituduh sebagai pengganas. Pada masa yang sama terus disumbat dengan doktrin kononnya perlu berdamai termasuk bersama Israel.
Aspirasi-aspirasi penentangan terhadap kepentingan zionis akan dituduh sebagai gerakan takfiri, khawarij & wahhabi. Stigma tersebut mudah diproses menjadi tindakan bersepadu lantas menekan gerakan kebangkitan Islam.
Maka inilah jawapan utama mengapa UAE amat tergamak mengisytiharkan proses normalisasi terhadap Israel, tanpa memikirkan soal sensitiviti umat. Dasar luar kontroversi mereka telah dibentengi oleh tokoh-tokoh agamawan yang cukup berkarismatik dalam melaksanakan kuasa lunak UAE.
Bahkan berkenaan pelan damai UAE dengan Israel baru-baru ini pun, mendapat dukungan dari majlis fatwa UAE yang turut dianggotai oleh Syeikh Bin Bayyah. Sudah pasti ini merupakan perkembangan yang mengejutkan. Namun umat seakan-akan tidak mampu bereaksi kerana telah diperangkap dengan kuasa lunak UAE.
Kesan Yang Menjalar.
'Trend' normalisasi Israel dilihat akan merebak ke negara-negara Arab yang lain khususnya & dunia Islam umumnya. Di samping mainan media sosial yang cuba menghubungkan budaya Arab & Israel, generasi baharu umat Islam semakin tidak mewarisi kebimbangan terhadap bahaya zionisme. Kealpaan ini berpunca akibat tidak terbudaya dengan pengetahuan wahyu & kesedaran sejarah.
Di negara kita, ramai yang masih memiliki sensitiviti & menunjukkan rasa marah terhadap sikap UAE yang amat pro dengan Israel. Tetapi pada masa yang sama, ramai juga masih larut dengan polemik Sufi vs Wahhabi yang merupakan sebahagian dari rebakan pengaruh kuasa lunak UAE. Jika terus tenggelam dengan polemik khilafiyyah seumpama itu, kita hanya menjayakan apa yang telah direncanakan.
Mesir telah mengalami bahana yang cukup tidak berperikemanusiaan dari propaganda ini. Apabila tuduhan berterusan ke atas Ikhwan Muslimin kononnya gerakan Islam itu sebagai Wahhabi-Khawarij, lalu ia menjadi legitimasi kepada rampasan kuasa, sekaligus mencetuskan tragedi berdarah Raba'ah.
Ternyata apa yang telah berlangsung hanya membuatkan Israel semakin selesa dengan perancangan Deal of The Century mereka. Kedudukan negara zionis itu semakin kukuh di tengah-tengah negara arab yang sakit & khianat. Benarlah apa yang diingatkan oleh Nabi:
ŁَŁْŁٌ ŁŁŲ¹Ų±َŲØِ Ł
ِŁْ Ų“َŲ±ٍّ ŁŲÆِ Ų£ٌŁŲŖŲ±َŲØَ
"Celakalah Arab dari bencana yang sedang menghampiri" - Muttafaq Alaih.
Sumber: https://www.facebook.com/abdulmuizz.muhammad.5/posts/3454507387913346
No comments
Post a Comment