GEORGE TOWN: Hospital Adventist Pulau Pinang ditutup 2 hari bermula hari ini bagi tujuan pembersihan serta pembasmian kuman berikutan terdapat pesakit yang hadir di situ dijangkiti Covid-19.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hospital itu, hanya Jabatan Kemalangan dan Kecemasan hospital berkenaan beroperasi seperti biasa.
“Tindakan ini diambil untuk menjamin keselamatan semua kakitangan, pesakit dan pengunjung kami,” menurut kenyataan itu.
Media semalam melaporkan seorang pesakit wanita berusia 56 tahun yang dimasukkan ke hospital itu sejak 7 Ogos lepas kerana jangkitan luka pada kaki dikenal pasti merupakan kontak rapat kepada salah satu kes positif Covid-19 di Kedah oleh Jabatan Kesihatan negeri itu pada 12 Ogos.
Laporan itu menyebut, wanita warga tempatan itu kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan ujian yang dijalankan di HPP turut mendapati wanita itu positif Covid-19. - FMT
No comments
Post a Comment