NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19: Gelombang kedua ancam Eropah

(Photo:Reuters)

LONDON: Warga Britain yang pulang bercuti dari beberapa bahagian Eropah mula menjalani kuarantin pada Sabtu (15 Ogos) dibawah sekatan baru, sedang gelombang kedua jangkitan COVID-19 semakin mengancam lebih banyak gangguan dan huru-hara ekonomi di benua tersebut.

United Kingdom memilih mengeluarkanPerancis, negeri Belanda, Malta dan beberapa negara lain dari senarai negara yang dikecualikan kuarantin, menyebabkan warga Britain berebut membeli tiket pesawat, kereta api dan feri dengan harapan dapat pulang sebelum jam 4 pagi hari ini waktu tempatan, sebelum dikenakan tempoh kuarantin 14 hari.

Semua pelawat dari tiga negara itu termasuk Monaco dan kepulauan di Caribbean Turks & Caicos dan Aruba selepas waktu itu harus menjalani kuarantin 14 hari.

Jerman menambah sebilangan besar bandar Sepanyol yang jumlah kes jangkitan COVID-19 melonjak baru-baru ini, di senarai kawasan yang mana pelawat harus menunjukkan keputusan ujian negatif COVID-19.

Austria pula menggesa rakyatnya pulang dari Croatia sebelum peraturan serupa dikuat kuasakan pada Isnin manakala Serbia mewajibkan ujian kepada pelancong dari empat negara jiran.

Ribuan orang di Albania beratur sejauh 20 kilometer di dalam kereta selama lebih tiga hari di sempadan Greece dengan harapan dapat melintasi dan kembali bekerja sebelum syarat kemasukan yang lebih ketat.

Sementara itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat berkata, pihaknya melanjutkan tempoh larangan perjalanan tidak penting melalui sempadan antara Kanada dan Mexico sepanjang bulan September untuk menyekat penyebaran virus itu.

Sejumlah data menunjukkan kesan virus terhadap ekonomi dan sekatan pergerakan dengan Hungary, Bulgaria, Romania, Belanda, Finland dan Denmark terkesan teruk berdasarkan angka Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pada bulan April-Jun.

Seluruh dunia kini berharap kepada penemuan vaksin di mana Britain mengatakan pada Jumaat bahawa negaranya sudah mendapat akses kepada 90 juta dos dua calon vaksin.

Vietnam pula ingin membeli sejumlah besar vaksin 'Sputnik' Rusia, walaupun saintis Barat menyatakan kebimbangan mengenai kepantasan penghasilan vaksin itu.

Washington pula berkata, akan mengedarkan vaksin yang terbukti berkesan kepada semua rakyat negara itu secara percuma, manakala Mexico dan Argentina juga berharap dapat memiliki vaksin untuk Amerika Latin yang terjejas teruk pada awal tahun depan menerusi perjanjian pengeluaran dengan gergasi ubatan, AstraZeneca.  - MediaCorp

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo