WASHINGTON: Kes jangkita COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) mencapai lima juta kes ketika Presidennya, Donald Trump didakwa mengetepikan perlembagaan dengan melanjutkan pakej bantuan secara unilateral
AS turut merekodkan lebih 162,000 kematian, iaitu tertinggi di dunia manakala Brazil, yang menjadi negara kedua mencatatkan lebih 100,000 kematian.
Jumlah kematian di seluruh dunia setakat ini ialah 727,288 orang sejak COVID-19 dikesan di China hujung Disember tahun lalu, berdasarkan kiraan daripada sumber rasmi yang dikumpulkan AFP.
Hampir 20 juta kes COVID-19 dicatatkan di seluruh dunia ketika ini, yang mana jumlah itu mungkin masih tidak menggambarkan kadar jangkitan sebenar.
Seperti kebanyakan negara di seluruh dunia, negara kecil di Afrika iaitu Malawi semalam, mengenakan sekatan sosial ketat bagi mengekang penularan virus itu dengan menutup bar dan gereja, manakala cuaca panas pada hujung minggu pula menyebabkan orang ramai berkumpul di pantai di Eropah.
Di Washington, pakej bantuan baharu virus itu yang diumumkan Trump kelmarin, selepas perbincangan antara penggubal undang-undang Republikan dan Demokrat gagal mencapai kata putus, tidak berperlembagaan, kata anggota Demokrat kanan, Nancy Pelosi kepada CNN.
Seorang lagi anggota Demokrat dan Senat, Chuck Schumer menerusi ABC, menyifatkan langkah Trump secara unilateral itu sebagai 'tidak akan berfungsi, lemah dan terlalu sempit'.
Bagaimanapun, memandangkan ekonomi negara itu masih dalam keadaan yang sukar, Demokrat dilihat teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pelaksanaan pakej bantuan itu, yang dikatakan sangat tidak mencukupi.
Empat arahan eksekutif yang ditandatangani Trump di kelab golf miliknya di Bedminster, New Jersey, antara lain mengetepikan cukai pendapatan dan menyediakan bantuan sementara kepada mereka yang tidak bekerja. - AFP
No comments
Post a Comment