NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Barah fanatisme yang mereputkan nilai keluhuran beragama.


Abdul Mu'izz Muhammad
22 Ogos 2020.

Gejala fanatisme atau asabiyyah merupakan penyakit masyarakat sepanjang zaman. Ia amat akrab dengan kejahilan, samada dari aspek kejahilan ilmu atau aspek kejahilan hati. Justeru al-Quran menyenaraikannya sebagai salah satu dari bentuk jahiliyyah.

Mewarisi sifat manusia yang tidak sunyi dari kekurangan, ada kalanya gerakan Islam turut terpalit dengan gejala fanatisme. Terdapat beberapa kitab yang menyentuh akan permasalahan ini. Bahkan ia turut ditulis oleh tokoh-tokoh gerakan Islam sendiri sebagai muhasabah yang jujur.

Ilmuwan & pemikir Islam, iaitu Syeikh Abdul Rahman Habannakah al-Maidani tidak ketinggalan menyuarakan berkenaan gejala fanatisme yang dihidapi oleh kumpulan-kumpulan Islam. Kitab Basair Lil Muslim al-Mu'asir yang bermaksud Pencerahan Bagi Muslim Masakini sarat membahaskan pelbagai permasalahan. Antaranya soal fanatisme yang dihidapi oleh segelintir Islamis.

Mengapa Ia Ditulis?
Isteri Syeikh Abdul Rahman Habannakah al-Maidani, A'idah Raghib al-Jarrah menceritakan di dalam bukunya, bahawa kitab Basair Lil Muslim ditulis oleh suaminya sebagai reaksi kecelaruan yang berlarutan dalam usaha da'wah ketika itu. Fitnah yang berlaku adalah apabila ramai yang terlibat dalam perjuangan Islam, tanpa benar-benar memahami Islam yang sebenar.
Terkadang berlaku kesalahan dari sudut pendalilan, gagal memahami prinsip keadilan Islam & bahkan turut berlaku praktis-praktis yang tidak bertepatan dengan syara'. Lalu semata-mata dengan beralasankan niat yang baik, maka segala kesalahan yang berlaku cuba diwajarkan.
Senario itulah yang cukup meresahkan kerana dari kecelaruan sedemikian, Islam menjadi bahan fitnah orang ramai akibat tingkah laku pejuangnya. Maka kitab Basair Lil Muslim ditulis oleh Syeikh Abdul Rahman Habannakah & ia mula dicetak pada 1984.

Definisi.
Pernah suatu ketika seorang lelaki bertanya kepada Nabi, apakah maksud asabiyyah itu adalah sekadar apabila seseorang menyayangi kaumnya? Lantas Nabi menjawab:


Ł„َŲ§ ŁˆَŁ„َŁƒِŁ†ْ Ł…ِŁ†ْ Ų§Ł„ْŲ¹َŲµَŲØِŁŠَّŲ©ِ Ų£َŁ†ْ ŁŠُŲ¹ِŁŠŁ†َ Ų§Ł„Ų±َّŲ¬ُŁ„ُ Ł‚َŁˆْŁ…َŁ‡ُ Ų¹َŁ„َŁ‰ Ų§Ł„ŲøُّŁ„ْŁ…ِ
"Tidak, tetapi dari penyakit asabiyyah itu menyebabkan seseorang menolong kaumnya dalam perkara yang zalim" - hr Abu Daud.

Dalam hadith ini secara jelas Nabi mendefinisikan apakah itu asabiyyah. Ia bersifat sokongan membuta tuli sehingga terkadang menzahirkan perilaku sanggup menegakkan benang yang basah.
Penghidap penyakit asabiyyah juga kerap bersikap diskriminatif. Jika sesuatu kesalahan dilakukan oleh pihak lain, mereka akan tentang habis-habisan. Namun jika perkara yang sama dilakukan oleh pihak sendiri, mereka cuba sembunyikan & bahkan cuba mewajarkannya pula.

Sejarah Asabiyyah Yang Digantikan Dengan Wala'.

Dalam sebuah syarahan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkenaan wala', beliau menceritakan bagaimana doktrin politik jahiliyyah masyarakat Arab yang telah merosakkan keluhuran masyarakat mereka. Antara faktor utamanya adalah kerana penyakit asabiyyah.

Asalnya masyarakat jahiliyyah menganut cara hidup asabiyyah. Asabiyyah yang menyebabkan mereka terikat mesti bersama qabilah masing-masing, walau dalam kondisi apa pun. Samada benar atau salah, adil atau zalim, mereka mesti setia mendukung secara membuta tuli kerana mereka menganggap qabilah mereka sebagai parameter kebenaran.

Hingga terbudaya dalam kalangan mereka, jika apa-apa keputusan yang datang dari qabilah mereka, maka mereka dilarang sama sekali untuk bertanya justifikasi dan bukti sandaran. Hal ini digambarkan oleh syair-syair jahiliyyah yang menyuruh ikut sahaja apa yang diputuskan oleh ketua mereka tanpa soal bicara.

Lantas datangnya Islam, menghapuskan projek pembodohan tersebut. Islam merombak dasar berfikir manusia agar kembali menjadikan Allah, Rasul dan hujah orang beriman sebagai penentu kebenaran. Kebergantungan itulah yang dipanggil sebagai wala'.

Bermakna sikap mahu bersekutu atau mahu bermusuh, mahu menerima atau mahu menolak, semuanya ditentukan oleh nas Allah dan Rasul dengan pendalilan yang benar. Dari dua sumber yang maksum ini, merasionalkan daya berfikir umat agar sentiasa konsisten dengan keadilan.

Faktor yang mempengaruhi pemilihan keputusan, mestilah berdasarkan kepentingan Allah dan Rasul. Bukan bertitik tolak dari kepentingan selainnya seperti pertimbangan kebendaan, pengaruh orang tertentu atau dorongan oportunis ikut-ikutan secara pragmatik.

Maksud Wala'.
Wala' merupakan hubungan kesetiaan orang-orang beriman dengan Allah & RasulNya. Sementara hubungan wala' sesama manusia dalam konteks organisasi, ia berlangsung secara dua hala.

Bermaksud, orang bawahan perlu wala' dengan pimpinan & pimpinan turut perlu meletakkan keutamaan kepada orang bawahan. Di dalam nas-nas agama, bukan semata-mata ada suruhan agar para sahabat mentaati Nabi. Bahkan turut kelihatan ada teguran dari Allah, agar Nabi mengutamakan para sahabatnya ketika baginda mula disua dengan peluang-peluang politik yang ditawarkan oleh Quraisy.
Secara ringkas, wala' turut merangkumi maksud saling mendukung, saling menasihati & saling mengemukakan kritikan yang jujur. Ternyata wala' bukanlah seperti konsep asabiyyah, yang bermaksud perlu menuruti segala perkara tanpa boleh menyoal apatah lagi mengkritik.

Fanatisme Yang Disangka Kononnya Wala'.
Syeikh Abdul Rahman Habannakah al-Maidani menjelaskan terkadang berlaku sikap melampau atas nama wala'. Hingga melewati sempadan prinsip kebenaran ketika mendukung & menyokong. Malah wujud perilaku batil yang dangkal seperti pembohongan, kezaliman & pengkhianatan.

Sedangkan Islam merupakan agama murni yang sama sekali tidak memerlukan cara yang batil, untuk mencapai kemenangan. Hanya cita-cita batil yang memerlukan cara yang batil untuk menang.

Dari fanatisme tersebut, menyebabkan seseorang akan menyolek tokoh atau kumpulannya secara palsu, agar sentiasa dilihat serba sempurna. Sekalipun memang ada kesilapan dan kesalahan yang dilakukan, tetap wajib bela kononnya atas alasan demi menjaga imej Islam yang menjadi dasar perjuangannya.
Begitu juga dari fanatisme, membuatkan seseorang buta dalam menilai. Walaupun telah ternyata orang dari kumpulannya melakukan kesalahan, penipuan atau korup, namun dia tetap meletakkan kepercayaan secara membuta tuli.

Pada masa yang sama, fokus orang yang menghidapi penyakit fanatisme hanya ingin menghentam pihak yang tidak sehaluan dengan aspirasinya. Hal ini termasuklah sentiasa membesarkan kekurangan, menghalang potensi-potensi kebaikan yang boleh menyainginya & melebarkan fitnah bagi memburukkan saingannya.
Segala kebatilan-kebatilan itu cuba dijustifikasikan melalui dalil yang pendalilannya salah, bahawa peperangan itu adalah tipu daya. Gejala-gejala seperti ini telah menimpa umat terdahulu. Bahkan mereka telah ditimpa bala disebabkan fanatisme.

Mengampu Itu Menghancurkan.
Dalam muqaddimah kitab Basair Lil Muslim, Syeikh memulakannya dengan seruan yang beliau sifatkan dari lubuk hati penuh kesedihan:

"Janganlah kamu menganggap semua orang yang menyanggahimu kerana ingin memusuhimu. Dan jangan pula kamu anggap semua yang bersetuju denganmu kononnya sebagai teman setiamu. 

Ada kala yang menyanggahimu adalah insan yang paling menyayangimu, yang cuba memeliharamu dari bahaya, yang sangat bersungguh memastikan misi kebaikan tercapai. Ada kalanya juga yang sentiasa bersetuju denganmu & yang mengampu bertepuk tangan tanpa sebarang teguran adalah musuh yang sangat teringin melihat kamu hanyut. 

Penyokong seperti itu sebenarnya amat ternanti-nanti kamu ditimpa akibat yang menghancurkan. Yang demikian itu menyebabkan kamu rugi mengejar cita-cita yang tidak kesampaian"

Islam Memerangi Diskriminasi.
Sememangnya fitrah manusia sentiasa terdedah kepada kesilapan & kealpaan. Ia adalah normal. Disebabkan itu Islam mengagendakan budaya tegur menegur sebagai dasar beragama.
Ternyata fanatisme adalah penyakit yang menghinakan akal & mengkorupkan moral. Terdapat banyak nas-nas yang menegaskan betapa agama Islam melestarikan prinsip keadilan. Bahkan dengannya, menyebabkan ramai yang memeluk Islam.

ŁŠَŲ§ Ų£َŁŠُّŁ‡َŲ§ Ų§Ł„َّŲ°ِŁŠŁ†َ Ų¢Ł…َŁ†ُŁˆŲ§ ŁƒُŁˆŁ†ُŁˆŲ§ Ł‚َŁˆَّŲ§Ł…ِŁŠŁ†َ ŲØِŲ§Ł„ْŁ‚ِŲ³ْŲ·ِ Ų“ُŁ‡َŲÆَŲ§Ų”َ Ł„ِŁ„َّŁ‡ِ ŁˆَŁ„َŁˆْ Ų¹َŁ„َŁ‰ٰ Ų£َŁ†ŁُŲ³ِŁƒُŁ…ْ Ų£َŁˆِ Ų§Ł„ْŁˆَŲ§Ł„ِŲÆَŁŠْŁ†ِ ŁˆَŲ§Ł„ْŲ£َŁ‚ْŲ±َŲØِŁŠŁ†َ ۚ 

"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu sebagai golongan penegak keadilan kerana Allah. Walaupun terhadap dirimu sendiri, atau ibu bapamu & kaum terdekatmu" - al-Nisa' 135.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo