Willie Mongin dan Ali Biju adalah antara 10 bekas ahli PKR yang menyertai PPBM. |
PETALING JAYA: Dua ahli Parlimen yang keluar PKR untuk menyertai PPBM tersilap langkah kerana PPBM tidak memperjuangkan komuniti Dayak, kata pembantu seorang pemimpin DAP hari ini.
Brolin Nicholson berkata, 2 bekas pemimpin PKR itu merupakan minoriti dalam parti berasaskan orang Melayu tersebut dan “perjuangan untuk komuniti Dayak bukan matlamat utama PPBM”.
Dua bekas pemimpin PKR itu ialah Willie Mongin yang merupakan ahli Parlimen Puncak Borneo dan Ali Biju yang mewakili Parlimen Saratok.
Mereka adalah antara 10 ahli Parlimen yang menyertai PPBM secara rasmi hujung minggu ini.
“Menyertai PPBM adalah langkah salah bagi seorang pemimpin komuniti Dayak yang terkenal, yang sebelum ini memperjuangkan hak tanah adat (NCR) dan mahu membawa perubahan ke Sarawak,” kata Nicholson.
Mongin dan Ali dihormati oleh komuniti Bidayuh dan Iban kerana lantang bersuara berhubung beberapa isu, termasuk hak tanah adat penduduk pribumi.
Nicholson, yang merupakan pembantu khas pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen berkata, beliau tidak menjangka kepimpinan PPBM akan mendengar suara komuniti Dayak, selain menambah bahawa parti itu dilihat sebagai “Umno 2.0” oleh penduduk luar bandar.
Katanya, dengan menyertai PPBM, Mongin dan Ali akan mengabaikan perjuangan perubahan, terutamanya dalam menghadapi Gabungan Parti Sarawak yang memerintah. - FMT
No comments
Post a Comment