NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

17 Ogos Yang Terlupakan

Sang Saka Merah Putih yang menjadi bendera Indonesia adalah teraspirasi dari bendera Alam Melayu sejak berzaman. Majapahit menggunakan bendera Merah Putih, kemudian menjadi warna bendera Malaysia, Thailand, Singapura dan Filipina. Di Malaysia, bendera PAS dan Umno juga berasaskan bendera ini, cuma bendera Umno mempunyai keris bersilang, sedangkan PAS mempunyai bulatan hijau ditepi atasnya.

Tarikh 17 Ogos seolah-oleh tidak bermakna bagi Malaysia. Walhal ia mempunyai catatan sejarah yang sangat besar. Malang sekali, hegemoni regim yang berkuasa sering membuatkan sejarah diwarnakan mengikut selera pemerintah. Mari saya beritahu tuan-tuan semua tentang 17 Ogos yang terlupakan ini...

Pada 12 Ogos 1945, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ibrahim Haji Yaakob telah bertemu dengan Sukarno dan Hatta di Taiping, Perak. Mereka mewakili Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS) untuk membincangkan tarikh kemerdekaan serentak Indonesia dan Tanah Melayu. Sukarno dan Hatta dalam perjalanan ke Saigon untuk mendapatkan pengesahan tarikh kemerdekaan bersama yang ditetapkan pada 17 Ogos 1945.

Sebelum itu, Dr Burhanuddin al-Helmy selaku Penasihat Adat Istiadat Melayu di Markaz Tentera Jepun di Taiping telah menggubal satu draf Perlembagaan Malaya Merdeka yang dikenali sebagai PIAGAM TAIPING untuk dikuatkuasakan mulai hari perisytiharan kemerdekaan tersebut. KRIS juga telah membuat persiapan untuk proklamasi serentak dengan Indonesia dan telah mencalonkan Dr Burhanuddin al-Helmy sebagai Perdana Menteri Tanah Melayu merdeka.

Malangnya, ketika semua rancangan tersebut siap diatur, pada 6 dan 9 Ogos 1945, Hiroshima dan Nagasaki telah dibom oleh Amerika Syarikat dengan bom atom. Akibatnya, Jepun yang telah bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan Indonesia telah menyerah kalah pada 14 Ogos 1945. Di Tanah Melayu, musuh-musuh Jepun telah menguasai negara yang menyebab proses perisytiharan tersebut gagal, dan Tanah Melayu dikuasai oleh Bintang Tiga. Tetapi, Sukarno berjaya berbuat demikian di Jakarta pada 17 Ogos 1945. British kemudian menguasai semula Tanah Melayu dengan menubuhkan British Military Administration (BMA).

Hari ini, Indonesia telah 75 tahun merdeka. Dirgahayu!!! Malaysia pula berhadapan dengan krisis dan mengalami keliru identiti kerana perbuatan pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab. 
Persoalan kita di sini:

I. Di manakah letaknya draf PIAGAM TAIPING itu sekarang ini. Kenapa ia tidak tercatat langsung di dalam sejarah rasmi negara?

II. Ketokohan Dr Burhanuddin al-Helmy sebagai Bapa Kemerdekaan Negara tidak diiktiraf semata-mata kerana beliau adalah pemimpin tertinggi PAS. Apakah Dr Burhanuddin al-Helmy tidak berjasa kepada negara? 

III. Kenapa semua parti politik, bahkan Jalur Gemilang juga menggunakan warna merah dan  putih? Asasnya adalah Sang Saka Merah Putih yang diangkat menjadi bendera Republik Indonesia hari ini.

IV. Sebahagian besar konflik politik yang berlaku pada hari ini adalah akibat kesombongan pemimpin politik nasionalis sebelum merdeka yang menolak pandangan futuristik Dr Burhanuddin al-Helmy. Wajarkah mereka dipertanggungjawabkan oleh anak-cucu di atas konflik yang ditanggung hari ini?

Di atas runtuhan Kota Melaka
Kita bina jiwa merdeka
Bersatulah wahai setiap baka
Membela hak keadilan pusaka
(Dr Burhanuddin al-Helmy, 1946)

 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo