NOTIS:
Sunway, Celcom, Huawei bekerjasama wujudkan bandar pintar
MODEL bandar raya lestari pintar Malaysia. Itu yang boleh diungkapkan bagi kerjasama tiga pihak dalam melengkapkan sistem bandar pintar dikuasakan dengan jaringan telekomunikasi generasi kelima atau 5G.
Bagi merealisasikan impian itu, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani Sunway Berhad (Sunway), Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Huawei Techologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei), hari ini.
MoU itu bertujuan meneroka kolaborasi pertama di Malaysia ke arah memajukan rumusan perbandaran pintar merangkumi Internet Benda (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dengan sambungan 5G.
Selain itu, MoU itu juga bertujuan meneroka potensi bagi Celcom dan Huawei untuk menjadi pemboleh teknologi 5G kepada Sunway Group dengan menjadikan Sunway City Kuala Lumpur sebagai tapak pelancaran perkongsian pertama.
Presiden Kumpulan Sunway Berhad, Datuk Chew Chee Kin berkata, kolaborasi tiga pihak itu membolehkan mereka saling memudah cara dan menyokong ekosistem digital bagi mempromosi penggunaan teknologi untuk memperkaya kehidupan orang ramai.
"Kami berbangga menjalin perkongsian bersama Celcom sebagai telco utama memiliki liputan rangkaian paling luas di negara ini dan Huawei sebagai satu daripada peneraju global dalam aplikasi 5G bagi memajukan teknologi 5G untuk Sunway City Kuala Lumpur.
"Kami membayangkan Sunway City Kuala Lumpur menjadi model bandar raya lestari pintar Malaysia di mana orang ramai tinggal, bekerja, bermain, belajar dalam persekitaran selamat, sihat dan disambungkan dengan internet," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Idham Nawawi berkata, kolaborasi itu meningkatkan kapasiti pembinaan teknologi dan potensi yang sangat luas dalam menyediakan produk serta perkhidmatan inovatif dan mencipta situasi menang-menang untuk memanfaatkan industri, rakyat dan mencapai aspirasi digital negara.
"Selepas lebih sedekad bekerjasama, kami berbangga untuk menganjak perkongsian dengan Sunway Group ini ke tahap seterusnya dan kolaborasi ini menjadi platform sempurna bagi Celcom mempamerkan bagaimana teknologi boleh menyediakan asas teguh bagi perbandaran pintar menyeluruh dan meningkatkan kehidupan masyarakat," katanya.
Katanya, sebagai pengendali telekomunikasi dengan liputan rangkaian paling luas, Celcom menguasai 93 peratus liputan populasi 4G bersama dengan 83 peratus bagi 4G LTE-A.
"Sejak mewakili ujian pertama 5G Malaysia pada 2017, rangkaian teras Celcom dan lebih 2,200 tapak 4G LTE-A kini bersedia untuk peralihan ke arah 5G dan membuka jalan untuk mencapai matlamat kolaborasi tiga pihak," katanya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan berkata, dunia kini bergerak pesat ke arah era digital dan disambung dengan internet sepenuhnya.
"Adalah penting konglomerat seperti Sunway Group memahami kepentingan transformasi digital dan terus melaksanakan peralihan digital.
"Sebagai peneraju dalam rumusan ICT, kami komited terhadap rakan dalam memberikan perkhidmatan terjamin bagi membantu dalam dunia pintar," katanya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/07/598072/sunway-celcom-huawei-bekerjasama-wujudkan-bandar-pintar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment