NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sektor pelancongan & pendidikan di bachok perlu perhatian wajar


Saya menggesa Kerajaan memberikan perhatian yang teliti untuk membangunkan sektor pendidikan dan pelancongan di Bachok. Dua sektor ini merupakan antara teras utama pembangunan setempat yang perlu dipandang serius bagi memastikan kemajuan rakyat Bachok dapat terus dipacu pada masa ini.

Dalam sesi perbahasan Titah Diraja semalam, saya telah membangkitkan mengenai perkembangan projek pembinaan Kolej Komuniti Bachok. Penubuhan Kolej Komuniti Bachok ini telah pun dirasmikan pada awal 2018 oleh Menteri Pendidikan pada masa itu. Walau bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan adalah mengapa ia didiamkan dan tidak diteruskan perlaksanaannya selepas PRU14 yang lalu.

Justeru saya amat berharap agar kerajaan baru Perikatan Nasional dapat meneruskan usaha yang amat murni ini secepat mungkin.

Manakala, dalam konteks pelancongan pula adalah berkenaan pelancongan pantai persisiran dari Pantai Senok sehingga Pantai Aur, terus ke pelabuhan Tok Bali di Daerah Pasir Puteh. Pembangunan pelancongan di kawasan ini sewajarnya dirancakkan sebagai suatu galakan kepada peningkatan pelancongan domestik.

Di antara lokasi-lokasi menarik yang perlu dibangunkan dan dinaik taraf pra sarana pelancongannya dengan sempurna adalah Pantai Nami-Senok, Pantai Irama dan Pantai Melawi.

Saya juga berharap Kerajaan dapat membantu puluhan para pengusaha chalet dan resort tempatan di sepanjang persisiran pantai Bachok untuk menarik taraf kemudahan pelancongan di lokasi masing-masing.

Oleh itu, saya mengharapkan agar kedua-dua sektor pendidikan dan pelancongan di Parlimen Bachok ini tidak dikesampingkan oleh Kerajaan.

Sekian, terima kasih.

"Islam Memimpin Perpaduan"

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz,
Ahli Parlimen Bachok.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo