Kemenangan BN di PRK DUN Chini dianggap sebagai hasil kerjasama baik antara gabungan parti dalam Muafakat Nasional dan PN.
MARANG: PAS belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding menggunakan logo baharu atau kekal dengan bulan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini tiada perbincangan berhubung perkara itu dilakukan pimpinan tertinggi parti.
"Setakat sekarang kita tak bincang lagi... dan kita tidak pernah merancang ke arah itu (tukar logo)... buat masa ini belum fikir untuk menggunakan lambang baharu dan sebagainya.
"Sebab kita ada pelbagai kaedah yang kita boleh guna bagi menghadapi (PRU-15) tapi kita yakin Muafakat Nasional adalah satu benda yang besar. Apa-apa isu berlaku, kita selesai melalui majlis perundingan kerana di situlah tempat penyelesaian," katanya di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang menolak penggunaan logo lain selain dacing yang digunakan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 nanti.
Terdahulu ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mengeluarkan kenyataan bahawa bukan mudah untuk BN menggunakan lambang lain walaupun pernah melalui pasang surut dalam politik.
Sumber: http://www.astroawani.com/berita-politik/pas-belum-bincang-tukar-logo-hadapi-pru-15-250065
No comments
Post a Comment