NOTIS:
Anifah terajui Parti Cinta Sabah
Bekas menteri luar negeri Anifah Aman mungkin sudah tidak mempunyai parti selama hampir dua tahun tetapi beliau tidak berhasrat untuk memegang peranan yang tidak penting dalam politik Sabah, selepas diumumkan sebagai presiden Parti Cinta Sabah (PCS) yang baru.
Ia berfungsi sebagai tempat baru bagi penyokongnya termasuk peguam Ansari Abdullah.
Anifah menang tanpa bertanding sebagai presiden PCS semasa Mesyuarat Agung Dwi Tahunan parti di Kota Kinabalu hari ini, menurut The Borneo Post.
Malaysiakini telah cuba menghubungi bekas anggota Parlimen Kimanis itu untuk mendapatkan komen beliau.
Ansari, pada hantaran di Facebook beliau mengenai kepemimpinan baru yang disandang Anifah, berkata PCS akan kekal sebagai alternatif kepada Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan dan sekutunya.
Ansari memberitahu Malaysiakini, dirinya dan Anifah menyertai PCS pada awal bulan ini dan keahlian mereka telah diluluskan oleh majlis tertinggi parti pada 11 Julai.
Anifah keluar dari Umno pada September 2018, ketika Umno beberapa bulan selepas parti itu kalah dalam pilihan raya ke-14 dan juga kehilangan kuasa di Sabah.
Selepas rampasan kuasa yang meruntuhkan kerajaan PH, BN kembali mengusai Putrajaya di bawah gabungan PN.
Pengaruh cukup besar
Walaupun tidak berparti sehingga baru-baru ini dan tanpa kerusi untuk diwakili, Anifah terus memainkan peranan penting dalam politik Sabah di tengah-tengah laporan mengenai usaha yang dijalankan oleh abangnya Musa Aman, yang merupakan bekas ketua menteri Sabah, untuk mendapatkan semula kuasa di kerajaan negeri.
Pada Jun, Ketua Menteri Sabah dan presiden Warisan Shafie Apdal mendakwa Anifah telah mencuba tiga kali untuk memujuk ahli parlimen Warisan dari Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi untuk berpaling arah.
Pada minggu lalu, Adun Sabah juga membuat laporan polis terhadap dakwaan terdapat pihak yang mendekati mereka di rumah, meminta mereka untuk keluar dari gabungan kerajaan negeri yang terdiri dari Warisan,
Pakatan Harapan dan Upko.
Ketiga-tiga anak lelaki Anifah juga dilaporkan telah mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Adun Kapayan dari parti DAP,Jannie Lasimbang dan portal berita Borneo Today, berhubung dakwaan yang mengatakan mereka terlibat dalam usaha untuk menarik Adun keluar dari gabungan yang dipimpin Warisan.
Mereka menuntut penarikan balik tuduhan yang dibuat terhadap mereka dan juga menuntut permohonan maaf.
Laporan itu menyebut peguam-peguam untuk tiga adik beradik itu berkata mereka menafikan "terlibat dengan sebarang cara sekali pun".
Anifah kehilangan kerusi parlimen Kimanis pada tahun 2019 apabila Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu mengisytiharkan kerusi parlimen Kimanis yang dimenangi olehnya pada PRU14 adalah terbatal dan tidak sah.
Keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.
Bagaimanapun, tuduhan rasuah dan amalan rasuah oleh Anifah ditolak oleh mahkamah.
Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Kimanis yang diadakan berikutnya tetapi telah menyokong calon dari BN Mohamad Alamin yang juga telah menangi kerusi tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment