oleh:Shamrahayu Aziz
Bagi menjawab soalan yang menjadi tajuk paparan saya pada kali ini, perlu saya nyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut secara harfiah tentang kuasa Parlimen untuk membuat undi percaya. Mengenai "kepercayaan" Perlembagaan hanya menyebut tentang kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang menentukan seseorang Ahli Dewan Rakyat mungkin mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan untuk baginda melantik beliau sebagai Perdana Menteri (Lihat Perkara 40(2) dan 43(2) Perlembagaan Persekutuan).
Namun begitu, undi percaya pernah berlaku dalam amalan Parlimen di Malaysia walaupun tidak disebut atau diwar-warkan dalam kalangan khalayak dengan nama "undi percaya". Ia dibuat apabila seseorang Perdana Menteri baru dilantik tanpa melalui pilihan raya umum. Amalan ini boleh dikatakan sebagai konvensyen, bukan pernyataan dalam bentuk undang-undang. Konvensyen dalam konteks ini bermaksud adat atau amalan. Ia bukan undang-undang. Oleh itu, dari kacamata undang-undang, ia tidak mengikat atau tidak mewajibkan Parlimen untuk menunjukkan kepercayaan atau membuat undi percaya kepada Perdana Menteri.
Respon saya kepada cadangan untuk membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri ada dalam laporan berita di Berita Harian semalam, 28 Jun 2020. Para pembaca boleh merujuk kepada pautan ini untuk ringkasan pandangan saya:
https://www.bharian.com.my/…/usul-undi-percaya-perdana-ment…
Saya juga pernah menulis pada ruang Muka Sepuluh Berita Harian tentang isu undi percaya pada 19 Januari 2020. Pembaca boleh merujuk kepada pautan ini:
https://www.bharian.com.my/…/undi-percaya-kepercayaan-kepad…
Apa pun, kenyataan saya yang dilaporkan itu hanya pandangan saya. Saya tidak pasti apa yang ada dalam minda atau anggapan para wakil rakyat atau para pemain politik. Adakah ia bertujuan meneruskan kesinambungan amalan Parlimen yang dibuat sebelum ini, atau ada apa sebenarnya.
Sebagai rakyat, saya nampak apa yang penting pada ketika ini ialah untuk kerajaan mendapatkan restu Parlimen bagi meluluskan segala macam Akta yang perlu disegerakan, termasuk RUU Covid-19 atau juga tambahan kepada Akta Perbekalan.
Sementara itu, pada ketika ini terdapat kewajaran untuk mempercayai bahawa Perdana Menteri mendapat kepercayaan majoriti kerana tiada laporan tentang mana-mana Ahli Dewan yang menyatakan mereka telah menukar kepercayaan atau telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri (atau ramai menggunakan istilah sokongan). Bahkan pembangkang kepada kerajaan juga tidak menunjukkan dengan tegas bahawa mereka mempunyai kepercayaan majoriti.
Oleh itu, kedudukan asal, iaitu Perdana mempunyai kepercayaan adalah kekal dan berterusan (the original presumption remains) sehingga dibuktikan sebaliknya.
Sekiranya dikatakan Perdana Menteri telah hilang kepercayaan, maka pihak yang menyatakan sebegitu (bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan) hendaklah membuktikan hilangnya kepercayaan tersebut.
Walaupun begitu, saya tidak nafikan mana-mana pihak, pada bila-bila masa, boleh menyatakan kepercayaan kepada Perdana Menteri. Penyataan kepercayaan ini tidak dihalang oleh mana-mana undang-undang. Ia juga adalah baik untuk dinyatakan kepercayaan kepada Perdana Menteri untuk menunjukkan sokongan dan menunjukkan sikap setia kawan dalam perikatan parti-parti yang membentuk kerajaan.
Namun untuk isu yang dibangkitkan saya belum pasti dalam bentuk bagaimanakah usul kepercayaan kepada Perdana Menteri hendak disuarakan dalam Dewan Parlimen nanti. Adakah ia cuma pernyataan sepintas lalu atau dalam bentuk satu usul yang dimasukkan dalam agenda dan akan diundi.
Walau apa pun, sekiranya ia suatu usul yang diundi, maka kejayaan mendapatkan undi percaya itu adalah suatu yang akan mendatangkan keyakinan dan kekuatan kepada kerajaan. Namun, andai perkara sebaliknya berlaku, maka ia akan mendatangkan persoalan besar kepada kerajaan; bahkan dari segi teori undang-undang (atau boleh dikatakan amalan - kerana tiada peruntukan khusus dalam Perlembagaan Persekutuan), ada kemungkinan ia akan mengesahkan kehilangan kepercayaan kepada Perdana Menteri. Ini kerana antara petanda seorang Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti ialah, apabila diminta kepercayaan kepada Perdana Menteri, tetapi kepercayaan tersebut gagal diperolehi, maka kegagalan mendapatkan undi percaya itu membawa maksud undi tidak percaya.
Bagi negara kita, keadaan seperti ini belum pernah berlaku pada peringkat Persekutuan, bahkan seingat saya, keadaan seperti ini juga tidak pernah berlaku di mana-mana negeri. Sukar juga untuk saya menentukan apa yang pasti akan berlaku. Namun yang pasti, sekiranya undi percaya tidak dapat diperoleh, kemungkinan Perdana Menteri akan hilang kepercayaan adalah antara pilihan tafsiran yang ada.
Saya alu-alukan komen dan pandangan para pembaca untuk kita membincangkan perkara ini secara lebih mendalam dengan aturan bicara bertertib dan bijaksana agar ia menjadi panduan kepada masyarakat dan rakyat.š
Sumber: https://www.facebook.com/112974777079782/posts/137133304663929
NOTIS:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment