NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak afdal seorang Ketua Menteri mengeluarkan ancaman – Dr Jeffrey


oleh: Datuk Dr Jeffrey G Kitingan

Sebagai Presiden Parti Warisan, Shafie Apdal tidak seharusnya membuat ancaman terhadap lawan politiknya walaupun ada ura-ura beberapa rakannya mungkin akan melompat.

Seseorang yang memegang jawatan tinggi sebagai presiden sebuah parti, apatahlagi sebagai seorang Ketua Menteri tidak afdal bercakap seperti gangster jalanan dengan mengeluarkan ancaman dan peringatan untuk menakut-nakutkan lawannya.

Tindakan mengancam dan menekan pihak lawan itu membuktikan bahawa beliau sedang tertekan dan merasa tergugat sehingga bertindak balas dengan cara agresif ketika ditanya mengenai kemungkinan beberapa wakil rakyatnya akan meninggalkan pakatan Warisan-DAP-PKR-Upko.

Shafie dilaporkan berkata bahawa dia tidak akan mengalah dalam apa yang digambarkannya sebagai ‘rancangan besar’ Perikatan Nasional untuk meyakinkan wakil rakyatnya untuk bergabung dengan mereka.

Persoalannya, mengapakah dia begitu gelisah dan kelihatan marah jika benar orang-orangnya masih berdiri teguh di belakangnya?

Lebih menghairankan lagi, mengapa ada keperluan mengadakan perjumpaan solidariti sekiranya gabungan itu masih utuh?

Menjadi buah mulut akhir-akhir ini dikatakan bahawa Shafie memanggil ‘Panglima-panglimanya’-nya untuk ‘kupi-kupi’ sehingga larut malam.

Ada juga mengatakan bahawa terdapat beberapa ahli parlimen terpaksa diasingkan kerana takut ‘diculik’.

Adakah Shafie sedang dimakan oleh karma?

Mungkin ketakutan beliau ini terjadi apabila teringat perbuatannya 22bulan yang lalu. Ketika itu, dia menggunakan taktik seperti ini untuk memikat ADUN dan Ahli Parlimen dari Barisan Nasional untuk ‘melompat’ seterusnya menjatuhkan kerajaan negeri pada masa itu.

Petikan ucapan Shafie yang berbunyi, ” mana boleh kamu menyuap orang dengan jawatan dan habuan-habuan yang lain? Ini tidak seharusnya berlaku.”

Dia juga mengatakan bahawa dia tidak menjanjikan Madius Tangau (presiden UPKO) dan Ewon Benedick dengan jawatan (untuk menukar kesetiaan dari Barisan Nasional yang mereka telah memenangkan mereka, kepada Warisan) walaupun saya kemudian melantik mereka sebagai menteri. “

Melalui ucapan ini, adakah Shafie yakin dia masih boleh memperbodohkan rakyat ?

Setiap hari kita mendengar, ramai yang mahukan kebenaran tanpa berselindung dan kepura-puraan, jadi marilah kita berterus terang.

Madius Tangau tidak akan melompat sekiranya BN memenangi kerajaan Persekutuan pada PRU14 yang lalu. Dia sebenarnya hanya memenangi kerusi MP Tuaran dan tidak ada kedudukan di peringkat negeri.

Madius Tangau ‘bernilai / berharga’ apabila dia berjanji kepada Presiden Warisan untuk membawa 4 ADUN Upko yang lain meninggalkan BN.

Perkara yang sangat jelas ialah, Madius Tangau tidak akan bergabung dengan Shafie jika dia tidak dijanjikan jawatan sebagai ‘ADUN LANTIKAN’. Dengan jawatan dan kedudukan sebagai ‘ADUN DILANTIK’ Madius seteruanya layak dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Untuk makluman, sebagai Ahli Parlimen, Madius Tangau sebenarnya tidak ada ‘kedudukan’ dalam pentadbiran negeri Sabah, bahkan tidak layak dilantik sebagai Pembantu Menteri apatah lagi sebagai Timbalan Ketua Menteri. Namun, semuanya terjadi kerana Shafie telah memberikan jawatan ‘ADUN DILANTIK’ sebagai balasan atau imbuhan kepadanya.

Shafie juga dilaporkan menyelar dan mengutuk tekanan dan intimidasi politik terhadap orang-orangnya oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Dia mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan pengubahan wang haram terhadap Naib Presiden Warisan, Peter Anthony pada masa sekarang? Kenapa bukan dulu?

Ada kemungkinan Shafie hanya mengingat apa yang indah baginya, hal ini demikian kerana dia dengan senang hati melupakan bagaimana dia ‘menghidupkan’ kes tuduhan rasuah terhadap Musa Aman yang telah dibersihkan oleh pihak berkuasa Hong Kong dan Malaysia. Adakah dia pura -pura lupa bahawa kes yang sudah lama ditutup tiba-tiba muncul kembali ketika Pakatan Harapan berkuasa.

Lebih teruk lagi, pihak berkuasa atas arahannya menangkap dan mendakwa Musa Aman hanya dua hari sebelum keputusan kes Ketua Menteri Sabah yang sah akan diumumkan.

Rakyat harus ingat bahawa, setelah PH memerintah, banyak tuduhan terhadap Musa Aman muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan dan pada masa yang sama kes rasuah Shafie yang melibatkan RM1.5 bilion ketika dia menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar digugurkan serta merta kerana kekurangan bukti.

Kes rasuah Shafie harus dibuka semula sekarang dan sama-sama kita lihat, adakah masih tidak cukup bukti atau sebaliknya.

Siapa yang mendapat keuntungan dari rancangan yang dibuat dengan baik dan dilaksanakan dengan mantap ini? Tentunya beliau sendiri.

Oleh itu, Shafie harus sedar diri bahawa dia tidak berhak menyelar jahatnya tindakan ‘memujuk’ dengan menjanjikan bulan dan bintang. Shafie juga tidak layak mengutuk tindakan ‘menggunkan’ kuasa politik menyerang dan menekan seseorang kerana dalam hal ini, dia lah pakar.

Janganlah kata dulang paku serpih, mengata orang rupanya dia yang lebih.

Shafie juga tidak layak menasihatkan rakyat Sabah supaya tidak menjadi alat kepada kerajaan persekutuan. Hari ini, Shafie menghabiskan lebih banyak masa terlibat dalam politik Persekutuan daripada memberi tumpuan menghidupkan semula ekonomi Sabah dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Jadi, siapa alat di sini?

Akhirnya, rakyat tidak pernah lupa bahawa Musa Aman dilantik sebagai Ketua Menteri sehari selepas pilihan raya Mei 2018, tetapi digantikan oleh Shafie dua hari kemudian.

Shafie mengangkat sumpah setelah beberapa ADUN dari Umno dan Upko melompat kapal untuk menyokong Warisan.

Jika kita berterus terang dan berfikir dengan ikhlas, adalah jelas bahawa pembentukan kerajaan Warisan adalah pemerintahan pintu belakang. Kerajaan ini dibina atas kelicikan, penipuan, desakan dan tekanan kepada pihak lawan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo