NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tak perlu PRU15 masa terdekat demi maslahat rakyat - ISMA


BANGI, 3 Zulkaedah 1441H, Khamis – Sebaiknya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak diadakan dalam masa terdekat demi maslahat dan kepentingan rakyat, apatah lagi ketika negara masih belum sembuh sepenuhnya daripada pandemik COVID-19.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, kesihatan dan keselamatan rakyat akan terjejas sekiranya Parlimen dibubar dan PRU diadakan dalam masa terdekat.

Beliau tidak menolak kemungkinan besar berlaku gelombang kedua berikutan pergerakan dan percampuran rakyat yang sukar dikawal sepanjang proses pilihan raya diadakan.

“Pembaziran duit kerajaan akan berlaku kerana kos yang diperlukan untuk mengadakan PRU mencecah jumlah RM500 juta.

“Fokus membangunkan kembali ekonomi domestik akan sedikit terjejas dengan banyak tenaga, masa dan fikiran para pimpinan negara akan tertumpu kepada PRU,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Muhammad Lukman berkata, pergeseran dalaman kebanyakan parti politik negara juga akan semakin meruncing bagi merebut tempat bertanding dan pergelutan juga memuncak untuk merebut pakatan terbaik bagi memenangi bilangan kerusi terbanyak.

“Gabungan Perikatan Nasional (PN) yang didominasi UMNO dan PAS secara atas kertas kemungkinan besar akan memenangi bilangan majoriti kerusi Parlimen, bahkan mungkin lebih banyak berbanding apa yang diperolehi mereka dalam PRU14 lalu.

“Akhirnya, gabungan PN akan memerintah semula negara. Berdasarkan hujah itu, saya cenderung untuk tidak diadakan PRU15 dalam masa terdekat.

“Namun, politik adalah sesuatu yang amat sukar dijangka. Kita harus bersedia menerima sebarang kemungkinan yang ada,” katanya.

Sumber: https://ismaweb.net/2020/06/25/tak-perlu-pru15-masa-terdekat-demi-maslahat-rakyat/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo