NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sejarah perang para Ulama Banten menentang Belanda


oleh:Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Boleh dikatakan rata-ratanya perjuangan jihad menentang penjajah di Alam Melayu digerakkan oleh para ulama. Dalam banyak sejarah jihad menetang penjajah di Alam Melayu, salah satunya ialah perang yang dipimpin oleh para ulama Banten dan Jawa Barat menentang Belanda yang dikenali sebagai Perang Cilegon 1888.

Pemimpin utama perang ini ialah Kyai Haji Wasyid, seorang ulama besar Banten. Beliau mendapat pendidikan di Mekah. Antara gurunya ialah Syeikh Nawawi al-Bantani.

Setelah terhapusnya Kesultanan Banten pada tahun 1813, gerakan jihad menentang penjajah di Banten dilihat terbantut seketika. Namun, apabila Kyai Haji Wasyid pulang dari Mekah, beliau telah mengumpulkan para ulama Banten dan Jawa Barat untuk membentuk satu angkatan jihad bagi menentang Belanda.

Antara ulama yang menyahut seruan jihad Kiyai Haji Wasyid ialah Kyai Haji Abdul Karim, Kayi Haji Tubagus Ismail, Kyai Haji Asnawi, Kyai Haji Abdul Ghani, Kyai Haji Uthman, Kyai Haji Nasiman, Kyai Haji Abu Bakar Pontang, Kyai Haji Marzuki dan ramai lagi.

Malah apabila sampainya berita tentang pembentukan gerakan jihad di Banten ini, maka ulama-ulama dan pelajar agama dari Banten yang berada di Mekah bergegas pulang ke Banten untuk menyertai angkatan jihad tersebut.

Disebabkan gerakan jihad ini diketuai oleh para ulama, maka rakyat jelata berbondong-bondong menyertainya kerana penghormatan dan kepercayaan yang diletakkan pada para ulama. Dengan itu, Kyai Haji Wasyid berjaya membentuk dan menggerakkan para ulama dan rakyat jelata untuk bersatu menentang Belanda.

Oleh kerana para ulama di Banten rata-ratanya adalah pengamal tarekat Qadiriyah termasuk Kyai Haji Wasyid dan Kyai Abdul Karim yang merupakan mursyid tarekat Qadiriyah, maka tempat majlis-majlis zikir dijadikan sebagai markas mereka merancang strategi dan taktik perang.

Apabila tercetusnya perang Cilegon pada bulan Julai 1888, gerakan jihad ulama Banten ini dapat menawan dan menguasai beberapa bangunan pentadbiran Belanda.

Betapa kuatnya gerakan jihad di Banten ini sehinggakan perang ini memberi kesan yang besar dan serius kepada Belanda. Hal ini diakui oleh Snouck Hurgronje Dengan itu, Belanda meningkatkan kekuatan tenteranya di Banten dan meningkatkan serangan ke atas gerakan ulama Banten ini.

Dengan itu, sebahagian dari para ulama Banten menemui syahid. Antaranya ialah Kyai Haji Wasyid dan Kyai Abdul Karim sendiri. Sebahagian yang lain berundur ke dalam hutan, sebahagian lagi ditangkap dan sebahagian yang lain melarikan diri ke tempat-tempat lain termasuk ke Mekah.

Mereka yang ditangkap sebahagiannya dihukum gantung sampai mati dan sebahagian yang lain dibuang daerah. Selepas perang Cilegon itu, Belanda mula memburu para ulama. Mereka menghantar mata-mata mereka hingga ke Mekah.

Di samping itu, Belanda turut melarang pengajaran kitab dan pengamalan tarekat kerana gerakan-gerakan tarekat ini bakal menumbuhkan gerakan jihad yang mengancam dan menentang Belanda.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo