PELANTIKAN Muhammad Sanusi Md Nor, sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14 menandakan kembalinya PAS ke negeri Jelapang Padi. Wartawan M HIFZUDDIN IKHSAN, NOORAZURA ABDUL RAHMAN dan IZZALI ISMAIL menemu bual Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu yang berkongsi misi dan hala tuju beliau untuk Kedah.
S: Boleh Yang Amat Berhormat (YAB) kongsi latar belakang diri dan keluarga?
J: Saya dilahirkan di Kampung Sungai Pauh di Sik. Saya anak ketujuh daripada 13 beradik dan ayah cuma bekerja kampung. Seperti kata Allahyarham Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, bahawa Sik kaya dengan kemiskinan, begitulah keluarga saya kerana ayah dan emak melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mencari petai, menoreh getah, memukul padi, memunggar tanah dan menanam ubi.
Ada rakan ayah menyatakan kami 13 beradik membesar dalam keadaan berebut rezeki dengan kera dan lutong di hutan, kerana jika ayah terlewat ambil petai atau buah tampoi, hasil hutan itu menjadi habuan kera dan lutong. Ketika kakak saya mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, keluarga terpaksa jual lembu dan dibantu tauke Cina, Ah Neo. Begitulah susah keluarga kami sehingga ayah terpaksa ke Singapura untuk bekerja pada 1978 hingga awal 80-an.
Walaupun susah, keluarga kami tidak melarat. Jika orang lain telur sebiji dibelah dua, kami adik beradik akan belah lapan atau makan nasi berlauk minyak goreng ikan atau belalang goreng.
S: Bagaimana pula dengan pendidikan?
J: Saya mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lima, Sik. Saya mendapat keputusan cemerlang 5A dalam penilaian darjah lima di sekolah rendah dan menyambung pengajian di Sekolah Menengah Sains (SMS) Sultan Mohamad Jiwa di Sungai Petani. Itu kali pertama saya ke Sungai Petani menaiki bas tiga kali dari kampung.
Saya kemudian kembali ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sik sebelum mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di SMK Derma, Kangar dan menyambung pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pengajian Pembangunan.
Saya mempunyai dua watak iaitu baik dan nakal selain sangat aktif ketika zaman sekolah. Saya bermain bola sepak, ragbi, kriket, takraw dan saya turut menjadi penyanyi utama kumpulan nasyid, selain turut mewakili Perlis pada pertandingan Forum Remaja. Habis belajar di USM, saya bekerja bersama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), banyak susah senang saya sudah lalui.
S: Bagaimana YAB melihat kedudukan sebagai Menteri Besar Kedah?
J: Saya anggap ini pencapaian luar biasa, tetapi jawatan ini hak orang ramai. Banyak sejarah menunjukkan jika pemerintah daripada kelompok tertentu, maka yang senang kelompoknya. Jika tuan tanah atau borjuis memerintah mereka mendapat faedah.
Saya tidak mahu sesiapa ketinggalan di Kedah. Dalam Islam tugas pemerintah adalah 'mengambil' daripada orang kaya untuk diberi kepada orang miskin. Ia bukan mencuri tetapi dalam kekayaan itu ada hak orang miskin seperti zakat, derma, sedekah dan fidyah. Ini akan membuatkan orang miskin tidak dengki pada orang kaya kerana mereka tahu sumbangan diterima datang daripada orang kaya dan orang kaya pula, faham hak orang lain dalam kekayaan mereka.
Kerajaan baharu ini tidak akan menjadikan program membantu orang miskin sekadar kosmetik, tetapi program perdana sehingga Kedah menjadi tempat orang kaya berbakti dan orang miskin dapat berteduh.
S: Ada menyamakan gaya YAB dengan pentadbiran bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak?
J: Mungkin gaya saya dan ustaz (Azizan) ada persamaan kerana saya pernah menjadi Setiausaha Politik arwah, malah saya belajar mengenal kerajaan dan pentadbiran daripada arwah selain watak saya adalah golongan muda. Banyak perkara baik di Kedah diasaskan ustaz ketika beliau menjadi Menteri Besar, malah ia diteruskan kerajaan negeri selepas itu termasuk ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Apa yang ustaz buat tidak mendatangkan bencana kepada negeri, malah ada yang diteruskan hingga kini.
Walaupun ada pihak tidak faham termasuk dalam kalangan pemimpin PAS sehingga mereka meninggalkan parti, saya faham semua jasa dan apa yang dilakukan ustaz. Cuma zaman ustaz agak susah kerana PAS menjadi pembangkang, tetapi kini kita bersama Perikatan Nasional (PN) membentuk Kerajaan Pusat. Saya akan ikut keputusan Presiden PAS dalam membuat keputusan dan kita jangka keadaan akan lebih mudah selepas ini.
S: Apa boleh YAB kongsi mengenai pendekatan Ustaz Azizan?
J: Salah satu rahsia zaman ustaz adalah kepantasan, ketika itu kita dapat lihat bagaimana perancangan pembinaan Aman Central, Hotel Adya dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) dapat diputuskan dan siap dibina kini. Saya akan cuba membawa kepantasan dalam pentadbiran baharu termasuk mengelak timbul masalah bersama Perkhidmatan Awam Kedah (KCS).
Namun perlu diingatkan parti yang memutus dan memilih saya menjadi Menteri Besar dan saya akan ikut keputusan parti bagi menyesuaikan keadaan mengikut situasi Kedah. PAS sangat fleksibel dalam hal ini. Lebih baik kita buang perkara negatif, sama-sama bekerja dan duduk bermesyuarat selesaikan masalah rakyat.
S: Bagaimana dengan status projek ikonik negeri, apakah akan diteruskan?
J: Salah satu projek utama adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), perkara ini kami sokong sejak saya menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah lagi. Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS sokong ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir membentangkannya dan kami mahu ia dilaksanakan.
Saya sendiri akan berusaha memastikan KXP dilaksana cepat. Kita maklum projek diumumkan Mukhriz ketika beliau menjadi Menteri Besar kali pertama, namun tidak dapat dilaksana. Jadi kali ini saya akan gunakan masa sebaik mungkin untuk pecut dan realisasikan projek ini sebagai pencetus kebangkitan ekonomi Kedah. Begitu juga Kedah Rubber City (KRC) serta Taman Sains dan Teknologi Bukit Kayu Hitam, juga akan dipercepat bagi menggalak pelaburan asing terus masuk.
Mengenai nilai pelaburan Kedah yang dikatakan mencecah RM14.7 bilion, saya ucapkan terima kasih kepada pentadbiran lalu, walaupun mungkin ada pertindihan kepada jumlah diumumkan berkenaan. Selepas ini, saya akan pastikan setiap pelaburan dilaksana, bukan sekadar diumumkan sahaja.
Apabila pelaburan asing masuk, syarikat luar dapat membina kilang dan rakyat kita dapat bekerja, sekali gus mengelak mereka keluar mencari kerja di tempat lain. Anak-anak akan dapat menjaga orang tua di kampung dan sama-sama membangunkan negeri. Ini yang kita mahu lakukan. Apa yang menarik pelabur terus datang ke Kedah adalah keadaan politiknya yang stabil, pentadbirannya berjalan baik serta kita mempunyai banyak kawasan boleh dibangunkan seperti Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang kini memasuki fasa keempat.
Satu lagi perkhidmatan kritikal yang perlu diambil perhatian serius adalah berkaitan bekalan air di bawah Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang memerlukan ia dinaik taraf segera. Masalah ini kita sudah bangkitkan di DUN Kedah sejak 2010 apabila SADA ditubuhkan. Sebenarnya SADA sudah memberi perkhidmatan terbaik, cuma ia perlu ditambah baik.
S: Apa rancangan YAB mengenai padi, getah dan sawit agar petani dapat hidup selesa?
J: Minggu lalu, saya ada hadir mesyuarat di Kuala Lumpur dan bangkitkan tentang banyak kawasan tanah di Kedah kita guna untuk pertanian dan aktiviti ini mendatangkan faedah besar kepada negara terutama aspek keselamatan makanan dan kita sumbang 40 peratus beras kepada negara.
Namun padi bukan satu sektor yang boleh menyumbang banyak kepada pembangunan ekonomi dan kebanyakan pesawah masih hidup di bawah paras kemiskinan. Jadi saya bangkitkan untuk perhatian Kerajaan Pusat bahawa Kedah sudah berkorban tanah begitu banyak termasuk hutan untuk jadi kawasan tadahan air, bukit untuk jadi empangan, tetapi Kedah kekal miskin sedangkan kita menyuap banyak pihak.
Saya minta Kerajaan Pusat tidak abaikan kita. Ada konsep di Jepun misalnya petani hanya mengeluarkan satu peratus modal dan 99 peratus bakinya datang dari kerajaan kerana kerajaan negara berkenaan sedar pentingnya makanan. Apabila kita hadapi bencana seperti COVID-19, kita mula sedar Vietnam tidak mahu eksport beras kerana perlu simpan untuk kegunaan domestik dan kita pening mencari stok beras untuk kegunaan rakyat tempatan. Kita kena balik kepada asas, sektor pertanian perlu dimajukan bagi pengeluaran makanan dan petani dibantu kerajaan. Sekaya mana pun negara jika rakyatnya tidak dapat makan akan berlaku masalah.
Kerajaan Kedah akan melaksanakan inisiatif memulihkan sektor pelancongan di Langkawi yang terjejas akibat penularan CVOVID-19. - Foto hiasan
Kerajaan Kedah akan melaksanakan inisiatif memulihkan sektor pelancongan di Langkawi yang terjejas akibat penularan CVOVID-19. - Foto hiasan
Saya yakin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan beri perhatian segera kerana perkara ini sudah dibangkitkan lama dan Kerajaan Pusat sedar perkara ini bakal membantu Kedah.
Untuk getah, Kedah adalah negeri kedua pengeluar utama getah. Bagi merealisasikan Kedah Rubber City (KRC) kita perlu banyak getah jenis lateks berbanding getah lain kerana industri berkaitan getah banyak menggunakan lateks bagi pengeluaran seperti pembuatan sarung tangan. Disebabkan itu, penoreh getah perlu berubah dan tidak bergantung kepada menoreh pada waktu pagi sahaja.
Mereka perlu mula menghasilkan lateks kerana apabila ada ladang yang menghasilkan lateks, kita dapat bina banyak infrastruktur lain bagi memasarkan getah. Pekebun kecil boleh tumpang pasarkan lateks bagi kegunaan tempatan dan rantau ini dan tingkatkan pengeluaran lateks negara. Harga lateks juga boleh naik kerana ketika ini industri menggunakan lateks dibawa dari Ivory Coast untuk menghasilkan sarung tangan, padahal kita ada banyak pokok getah. Kita perlu 500,000 tan lateks setahun, tetapi pengeluaran tempatan hanya mampu bekalkan 10 peratus, jadi kita perlu capai 50 peratus penghasilan tempatan.
S: Apa langkah bakal diambil bagi memulihkan sektor pelancongan di Langkawi?
J: Saya ada berbincang bersama pemain industri bagaimana seluruh dunia menghadapi senario sama apabila pelancong tidak dapat bergerak dan keadaan ini mungkin berlarutan sehingga tahun depan apabila penerbangan juga tidak dapat beroperasi.
Dalam keadaan ini, yang terjejas teruk adalah sektor perhotelan, pemandu pelancong dan ejen pelancongan yang tenat ketika ini. Kita perlu ada pelan induk pelancongan baharu dan Kerajaan Pusat perlu bantu bukan sahaja di Kedah, tetapi juga negeri lain.
Orang Langkawi sudah mula hubungi saya dan memaklumkan pulau itu umpama dilanda garuda. Saya faham keadaan itu, tetapi untuk keselamatan kita perlu bersabar dan tahun depan kita akan perkenal insentif baharu untuk industri dan keutamaan diberi kepada Langkawi khususnya.
S: Pembalakan di Ulu Muda yang dihentikan sebelum ini, adakah kerajaan negeri akan teruskan dasar ini?
J: Kita sokong dasar untuk pemuliharaan alam sekitar dan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) juga ada opsyen kepada pemuliharaan alam sekitar. Dunia sedang bergerak ke arah mengelak industri yang merosakkan bumi, jadi ekonomi dunia perlu diubah bagi memulihara tanah, tetapi kita perlu faham pembalakan adalah salah satu sumber kerajaan.
Kerajaan terdahulu sudah meluluskan dalam mesyuarat EXCO bahawa tiada penambahan kawasan pembalakan baharu dan ada yang diwarta sebagai taman negeri serta kawasan tadahan yang tidak boleh diganggu. Bagaimanapun, ada kawasan luar Ulu Muda boleh dibuat pembalakan berdasarkan peraturan sedia ada yang dikuatkuasakan Jabatan Perhutanan Semanjung Malaysia (JPSM), selagi pembalakan kita mematuhi peraturan.
Kita tak akan benarkan pembalakan dalam kawasan sensitif berhampiran tasik atau empangan yang akan mengakibatkan pencemaran sehingga mengganggu penduduk. Kita tidak boleh berkompromi dalam isu ini.
Kita akan tengok cadangan JPSM terlebih dahulu kerana ini di bawah bidang kuasa mereka. Saya juga perlu lihat tuntutan pembalakan daripada syarikat konsesi lama yang agak besar membabitkan 40 konsesi dibatalkan dan membuat tuntutan kira-kira RM1 bilion kepada kerajaan negeri sebelum ini.
Jumlah RM1 bilion memang kita tidak mampu bayar, jadi kita tengok kalau boleh diganti tempat yang tidak menjejaskan alam sekitar, tidak datang kerosakan kepada orang ramai kerana itu tanggungjawab kerajaan. Saya tidak boleh lari daripada keputusan kerajaan dahulu kerana ia sudah ada ikatan dan dibalut undang-undang.
Jika sudah ada kelulusan dan syarikat membayar premium, tetapi mereka tidak dibenar menebang selepas modal dikeluarkan, itu dikira tidak adil. Kita mungkin perlu pertimbang untuk ganti mengikut undang-udang dan saya rasa ia boleh diselesaikan dan yang penting rakyat selesa selamat dan tidak terancam.
S: Apa pandangan YAB mengenai imej kerajaan tebuk atap dan pintu belakang di Kedah?
J: Itu andaian mereka dan jika lihat komen netizen, mereka boleh terima perubahan ini. Tebuk atap atau pintu belakang adalah terma orang kecewa kerana mereka jatuh akibat perbuatan sendiri. Dalam politik tidak boleh cakap begitu, kita bukan rampas kuasa. Perubahan ini berlaku kerana peralihan sokongan yang dibenarkan dalam sistem demokrasi dan yang beralih sokongan itu adalah PH bukan PAS atau Muafakat Nasional. Mengenai kerajaan luar mandat, setahu saya mandat rakyat diberi melalui peti undi. Rakyat mengundi dan memilih wakil rakyat. Rakyat memilih kerajaan di kertas undi, kita memilih calon. Jadi bila calon menang, dia jadi wakil rakyat dan dia tentukan sokongan.
Jadi tentang mandat rakyat sudah selesai, tunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika mahu mandat. Proses berikutnya adalah parti yang akan ambil pendirian sama ada mahu PH atau PN. Saya simpati pada PH kerana rakyat tolak mereka dan menerima perubahan ini dengan baik.
S: Ada mempersoal kelayakan YAB sebagai Menteri Besar. Apa komen anda?
J: Layak atau tidak bukan saya untuk menilainya. Saya sertai politik bukan bercita-cita menjadi Menteri Besar. Pada saya jika orang masuk politik untuk mengejar jawatan, saya rasa dia akan rebah kerana banyak kawan masuk politik akhirnya kecewa.
Saya tidak ada kejar jawatan apa-apa, saya dalam parti sendiri jarang bertanding untuk menang. Saya lebih banyak bergantung kepada pemimpin, pemimpin kata saya layak, beliau pilih dan saya ikut. Jika beliau kata saya tak layak, saya tiada masalah. Jika orang kata saya tidak layak, saya terima dan boleh kaji balik apa kelemahan kekurangan dan kita boleh baiki.
Terakhir kita serah kepada Allah yang menaik dan menurunkan kita. Jika berhimpun satu dunia mahu menaikkan kita, Allah tidak izin maka tidak jadi. Cuma dalam PAS disiplin kita tidak boleh merebut jawatan kerana politik terikat dengan dosa pahala. Nabi Muhammad SAW sendiri larang sahabat minta jawatan dan kita kena patuh jangan meminta jawatan.
Setiap kerja kita buat sebagai pemimpin, Allah nanti akan tanya di akhirat, lagi besar jawatan kita, lagi berat soalan dan itu paling saya takut dan risau. Saya tidak risau penilaian manusia selagi kita berada di landasan Allah.
S: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pertukaran kerajaan Kedah mampu menjadi model kepada pemerintahan PAS. Apa pandangan YAB?
J: PAS sudah membuktikannya pada 2008 hingga 2013 dan rakyat nampak apa yang PAS mampu buat. Pada masa itu, tiada kelompok kita pinggirkan baik masyarakat Cina, India atau Siam semuanya ada bahagian masing-masing.
Model yang kita bentuk ini disulam apabila semua rakyat dapat hidup selamat dan aman. Itu model dimaksudkan Tok Guru kerana dalam sejarah manusia apabila datangnya kerajaan Islam, kaum lain boleh hidup aman. Dalam sejarah tamadun manusia juga bila ada kuasa bukan Islam jadi kerajaan, belum tentu orang sama boleh hidup dengan aman. Tengoklah apa yang berlaku di Andalusia, Palestin dan di Burma apabila berlaku penindasan kepada orang Islam.
Presiden PAS dan saya bersedia melaksanakan pemerintahan adil dan masyarakat lain tidak perlu bimbang.
S: Apa perancangan YAB untuk Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)?
J: Bola sepak ini sudah menjadi sukan rakyat di Kedah, saya harap Kedah mampu jadi juara Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA selepas ini. Namun, saya perlu sokongan rakyat untuk angkat lagi sukan ini. Apabila melangkah ke peringkat ini, faktor paling penting dalam sukan adalah kewangan. Setiap hari kita memerlukan RM66,000 sebagai sumber pendapatan KFA dan ia banyak datang dari penaja skuad Lang Merah.
Persatuan tidak boleh jadi lubuk kepada orang untuk bergayut atau melepak. Saya fikir apabila persatuan menjadi terlalu besar ia mengganggu kewangan apabila ada orang lain menumpang. Jika mereka membawa duit tidak mengapa, tetapi mereka juga ambil duit persatuan sehingga runtuh.
Sesiapa selepas ini pegang persatuan perlu bawa duit kerana kita perlu jaga pemain, melatih pasukan. Insya-Allah jika ada pencalonan, saya sahut cabaran dan pegang jawatan Presiden KFA kerana saya juga sama seperti rakyat mahu bola sepak Kedah terus maju.
Tetapi saya perlu tengok semua perkara, KFA memerlukan sumber kewangan. Orang yang pegang jawatan perlu bawa masuk duit kerana kerajaan negeri ada kekangan untuk terus menyokong pasukan. Kita perlu lihat semula kontrak ditandatangani dahulu, yang mana membebankan kita tidak boleh teruskan dan kita akan kaji semula.
Pada masa sama, kerajaan negeri akan terus bantu sukan lain, kita perlu cungkil bakat baharu di daerah dan beri galakan pada anak muda dalam bidang sukan dan tidak ada sekatan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk bergerak selepas ini.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/694687/sebiji-telur-belah-lapan
NOTIS:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment