NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RCI kes Adib, Tabung Haji wajar, kata Najib


PETALING JAYA: Najib Razak berkata suruhanjaya siasatan diraja wajar ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, seorang anggota bomba yang meninggal dunia selepas cedera dalam tunjuk perasaan berdekatan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield yang tercetus pada November 2018.

Bekas perdana menteri itu juga menyokong RCI ke atas dakwaan berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan Lembaga Tabung Haji TH.

“Kalau tidak kita tidak tahu kesahihannya. Kalau ada RCI ditubuhkan, maka kita akan dapat tahu kebenaran, sama ada tuduhan berasas atau fitnah. Rakyat tidak puas hati,” katanya dalam siaran Umno Online sempena pilihan raya kecil DUN Chini.

Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Adib mengumumkan pada September 2019 bahawa punca kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh 2 atau lebih individu yang tidak dikenali. Pengumuman itu berdasarkan keterangan 30 saksi dan 137 bahan bukti yang dikemukakan sepanjang 41 hari ia bersidang bermula Februari tahun sama.

Adib cedera selepas dia dan anggota pasukan bomba Subang Jaya lain digerakkan ke lokasi tunjuk perasaan di Subang Jaya. Beliau meninggal dunia pada Disember 2018.

Najib turut mengulas mengenai isu sokongan di Dewan Rakyat kepada kerajaan semasa, mengatakan jalan terbaik bagi menyelesaikan pertikaian mengenai sokongan majoriti adalah mendapatkan mandat lebih besar melalui pilihan raya umum.

Beliau berkata sukar untuk kerajaan mentadbir dengan majoriti tipis.

“Misalnya nak bentang bajet. Setiap kementerian kena lulus dan undi, jadi setiap ahli Parlimen tidak boleh kemana-mana, menteri tidak boleh keluar negara, perdana menteri tidak boleh keluar. Jadi bagi saya nak mentadbir kerajaan dengan majoriti tipis itu boleh tapi kesukaran akan berlaku,” katanya.

Najib bagaimanapun menyerahkan perkara itu kebijaksanaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Mungkin perdana menteri ada perkiraan, juga melihat kepada masa yang sesuai. Mungkin beliau nak tengok dulu sejauh mana pakej Penjara yang dibentang,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo