NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rampas hak Palestin, Jordan beri amaran kepada Israel


AMMAN, 11 Syawal 1441H, Rabu – Jordan pada Selasa memberi amaran hubungan dengan Tel Aviv mungkin akan terjejas andai Israel meneruskan tindakannya merampas atau mengambil hak milik sebahagian kawasan Tebing Barat dan Lembah Jordan, lapor agensi berita Anadolu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, menterinya Ayman Safadi berkata demikian semasa mesyuarat dengan Jawatankuasa Perhubungan Ad Hoc untuk bantuan kepada rakyat Palestin yang diadakan melalui persidangan video.

Safadi berkata, mencegah perbuatan rejim Israel itu bermakna melindungi keamanan.

"Mesej kami jelas. Keputusan Israel itu tidak akan disokong. Jika keputusan merampas atau mengambil hak milik itu diteruskan, konflik ganas akan tercetus dan pilihan penyelesaian damai dua negara tidak mungkin dapat dicapai. Peluang untuk perdamaian menyeluruh akan hancur," katanya.

Israel dijangka melaksanakan tindakan itu pada 1 Julai seperti yang dipersetujui antara Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Benny Gantz, ketua parti Biru Putih.

Rancangan itu diatur sebagai sebahagian apa yang digelar "Perjanjian Abad Ini", diumum Presiden Donald Trump pada 28 Januari.

Pegawai Palestin berkata menerusi rancangan AS itu Israel akan merampas 30-40 peratus wilayah Tebing Barat, termasuk seluruh Baitulmaqdis Timur. – Bernama


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo