DARIPADA Nukman bin Basyir berkata, aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: “Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati”.
Pada 4 Julai depan, Pahang bakal mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chini, berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Dato’ Seri Abu Bakar Harun, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung di Bangsar, 7 Mei lalu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Azhar Azizan Harun, telah memaklumkan bahawa hari penamaan calonnya pada 20 Jun dan tarikh pengundian awal pula pada 30 Jun.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Allahyarham Abu Bakar mewakili calon Barisan Nasional (BN) memperolehi 10,027 undi, menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) undi, dan calon Parti KeADILan Rakyat (PKR), Mohamad Razali Ithnain yang hanya mendapat 1,065 undi.
Justeru, adakah calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) ada ‘berani’ menghulurkan lehernya untuk ‘disembelih’ sekali lagi pada siri-siri PRK, yang sebelum ini menyaksikan satu persatu hulubalangnya terkorban?
PAS sudah tentunya akan membantu calon BN itu atas dasar Kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang telah dimeterainya dengan Umno tahun lalu. Kini, Umno-BN akan bertambah kuat di Dun Chini itu dengan sokongan PAS, Insya’Allah.
Sesungguhnya, PRK Chini, Pahang ini merupakan pilihan raya ke-11 bakal diadakan selepas PRU14. PRK pertama diadakan ialah Dun Sungai Kandis, Selangor pada 4 Ogos 2018. PRK ke-2 dan ke-3 di Dun Balakong dan Dun Seri Setia, Selangor diadakan serentak pada 18 September 2018.
PRK ke-4, di Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan ini diadakan berikutan penyandangnya Laksamana Muda Dato’ Danyal Balagopal Abdullah (B) (PKR) telah meletak jawatan pada 12 September 2018 lalu bagi memberi laluan kepada ‘bakal’ PM, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Ahli Parlimen Port Dickson. PRK ke-5 pula berlaku tahun baharu 2019 di Parlimen Cameron Highlands pada 29 Januari 2019, yang menjadi titik hitam permulaan PH kalah, BN menang.
Pada PRK ke-6 di Dun Semenyih, Selangor diadakan pada 2 Mac 2019 yang menyaksikan PH kalah dan BN menang. PRK ke-7 berlaku di Dun Rantau, Negeri Sembilan juga menjadi pukulan maut PH kalah dan BN menang pada 13 April 2019. Selepas itu, datang pula PRK ke-8 Parlimen Sandakan di Sabah pada 11 Mei 2019 yang menyelamatkan maruah PH tetapi bukan ditangan BN.
PRK ke-9 seterusnya berlaku di Parlimen Tanjung Piai, Johor pada 16 November 2019, menyaksikan PH kalah dan BN menang lagi. Manakala, PRK ke-10 telah berlaku di Parlimen Kimanis, Sabah pada tahun baharu 2020 iaitu 18 Januari dan sekali lagi calon PH terkorban ditangan BN-Umno Sabah.
Pihak SPR turut memaklumkan, kos keseluruhan bagi PRK di Dun Chini, Pahang ini dianggarkan berjumlah RM4.3 juta, dengan seramai 832 petugas akan dilantik mengendalikan proses PRK itu. Manakala, 14 Pusat Mengundi yang mengandungi 66 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.
Daftar Pemilih yang akan digunakan bagi PRK berkenaan adalah Daftar Pemilih Induk 2019 yang dikemaskini sehingga 7 Mei 2020 lalu, mengandungi 20,990 pengundi terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.
Untuk rekodnya, Pada PRU 2018, Allahyarham (Abu Bakar) mewakili calon BN berjaya mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru bersama PAS dan PKR ketika itu dengan kelebihan majoritinya 7,675 undi.
Dewan Undangan Negeri (Dun) Chini berada dalam kawasan Parlimen Pekan yang diwakili oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak bersama Dun Pulau Manis, Dun Peramu Jaya dan Dun Bebar.
PRN Johor?
KEMELUT politik di Johor semakin ‘hangat’ dan ‘tegang’ sejak kebelakangan ini. Sehinggakan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melahirkan rasa dukacita dan kecewa baginda dengan kemelut politik yang berlaku di Johor khususnya, ekoran berlaku lagi perebutan kuasa dan jawatan di kalangan parti-parti politik.
Bahkan, baginda memberi amaran kepada semua wakil-wakil rakyat bahawa baginda bersedia untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan lebih awal.
Luahan rasa dukacita itu dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi baginda sendiri yang bertitah dengan tegas, ada di kalangan pemimpin yang sedang ‘gila kuasa’ untuk berebut jawatan demi kepentingan diri dan parti politik tertentu.
Untuk rekod, Perkara 23 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan Perkara 23 (2) menyebut baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri pada peringkat pertengahan, walaupun Dun belum berakhir, tetapi atas nasihat dan ini tertakluk kepada Perkara 7(1).
Maknanya, Menteri Besar Johor ke-18 (sekarang), Dato’ Hasni Mohammad boleh menasihati Tuanku Sultan Ibrahim, untuk membubarkan Dun Johor lebih awal mengikut peraturan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
Ini kerana, Pakatan Harapan (PH) Johor, yang terdiri daripada parti DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR mendakwa bahawa mereka mempunyai sejumlah Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang mencukupi untuk ‘merampas’ semula negeri itu setelah Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pada bulan Februari lalu.
Spekulasi itu kerana ‘ura-ura’ ada di kalangan Adun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu yang pro-Tun Mahathir ingin kembali dan meninggalkan kerajaan PN.
PN mempunyai 29 kerusi Dun di Johor dan PH pula ada 27 kerusinya. Jika ditakdirkan berlaku pembelotan seorang sahaja daripada Adun PN yang pro-PH sudah cukup untuk menyaksikan Dun Johor tergantung.
Justeru itu, melalui satu catatan di Facebook, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda tidak akan membiarkan Johor ‘dikucar-kacirkan’ oleh mana-mana pemimpin yang gila kuasa.
Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil-wakil rakyat dalam mana-mana parti, baginda akan membubarkan Dewan Negeri Johor serta merta. Ini suatu ‘amaran’ keras, yang pastinya gabungan PH kecut perut dengan perkembangan politik semasa ini.
Sebenarnya hubungan baginda dengan MB Johor ke-18, Dato’ Hasni Mohammad, selaku Adun Benut dan Pengerusi Perhubungan Umno Johor, yang baharu dilantik itu tiada masalah buat masa ini.
Beliau menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari parti Bersatu yang dilantik sebagai MB ke-17, daripada PH pada 14 April, 2019 lalu. Dato’ Hasni juga merupakan Menteri Besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang dari tiga tahun selepas PRU ke-14, pada 9 Mei 2018.
Agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ketika ini terdiri daripada parti Umno 14 kerusi, DAP (14), Bersatu (11), PAN (9), PKR (5), MIC (2) dan PAS satu kerusi.
Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2020/06/06/prk-chini-dan-mungkin-prn-johor/
Industri lega kuota NEM Rakyat kembali dibuka
2 hours ago
No comments
Post a Comment