NOTIS:
Pinda Akta Pembangunan Petroleum, punca CEO letak jawatan?
KUALA LUMPUR - Rancangan pemindaan Akta Pembangunan Petroleum yang dikaitkan dengan spekulasi terkini politik negeri Sabah dan Sarawak dikatakan menjadi punca peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Akhbar tempatan, The Edge melaporkan, beberapa sumber dipetik berkata, Wan Zulkiflee, 60, didakwa tidak bersetuju dengan rancangan pindaan akta itu di bawah pengawasannya.
Laporan itu turut mendakwa pindaan yang akan dibuat pada akta itu dijangka menguntungkan negeri Sabah dan Sarawak susulan dua negeri itu hanya menerima royalti minyak lima peratus daripada Petronas, walaupun menyumbang 60 peratus daripada hasil minyak dan gas asli.
Dakwaan itu sekali gus menghangatkan spekulasi kononnya inisiatif berkenaan merupakan usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memujuk kerajaan negeri Parti Warisan Sabah (Warisan) diketuai Ketua Menterinya, Datuk Seri Shafie Apdal agar meninggalkan Pakatan Harapan (PH) Plus ketika ini.
Memetik kenyataan seorang eksekutif tidak dinamakan, The Edge melaporkan, Wan Zulkiflee 'tidak menginginkan pindaan akta itu terjadi di bawah pengawasannya'.
Selain menarik sokongan kerajaan Warisan Sabah kepada kerajaan PN, pindaan akta itu juga dilihat sebagai 'umpan' pancing paling ampuh untuk mengekalkan sokongan Gabungan Parti Sarawak yang mempunyai 18 kerusi Parlimen.
Spekulasi itu dilihat berasas susulan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu diwawancara akhbar antarabangsa, South China Morning Post (SCMP) menegaskan usaha menumbangkan kerajaan PN sangat bergantung kepada sokongan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.
Bahkan, keadaan politik negeri Sabah pada ketika ini dilihat sangat genting dengan Shafie sebelum ini mengeluarkan kenyataan mendakwa terdapat usaha melobi wakil rakyat dari Warisan oleh mereka yang berkaitan dengan kerajaan PN.
Sementara itu, dalam ucapan perpisahan Wan Zulkiflee yang dimuat naik dalam laman sosial semalam, beliau turut menggesa rakan-rakannya agar sentiasa memegang prinsip mereka.
"Selalunya, jika memegang amanah, anda akan berdepan pilihan konflik dan keputusan yang sukar.
"Kadang-kala berpegang pada prinsip, anda mungkin terbukti tidak menarik dan benar-benar tidak popular. Ini adalah jalan sunyi yang mesti dilalui oleh pemimpin sejati.
"Pada akhirnya, melakukan perkara yang betul membolehkan anda memiliki ketenangan fikiran, kejelasan hati nurani setelah melaksanakan amanah, tanggungjawab anda dengan kejujuran dan kehormatan," ujarnya dalam video dikongsikan kepada rakan-rakannya itu.
The Edge turut melaporkan perpindahan Wan Zulkiflee ke syarikat Malaysia Airlines (MAS) di mana beliau akan menjadi pengerusi, sebenarnya atas permintaan beliau sendiri.
Peletakan jawatan Wan Zulkiflee sebagai CEO Petronas diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu dan beliau akan digantikan oleh Ketua Pegawai Kewangan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/87764/BERITA/Nasional/Pinda-Akta-Pembangunan-Petroleum-punca-CEO-letak-jawatan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment