NOTIS:
Moratorium Terarah Sebagai Jalan Tengah - Syahir Sulaiman
Menjelang Oktober, pelaksanaan moratorium bayaran pinjaman yang diumumkan dalam Pakej Prihatin akan berakhir.
Sekiranya moratorium dilanjutkan secara menyeluruh, pihak pengguna dan peniaga akan mendapat kelegaan, namun sektor perbankan akan merasa tertekan.
Justeru 'moratorium terarah' adalah jalan tengah untuk meringankan beban kewangan peminjam yang terjejas terus akibat COVID-19, serta melindungi kedudukan kewangan sektor perbankan secara mampan.
Inilah pertimbangan yang perlu diambil oleh penggubal polisi, untuk mencari keseimbangan di antara keperluan dan kepentingan semua pihak secara saksama.
Sebagai contoh, jika kerajaan menaikkan paras gaji minima, segmen pekerja akan mendapat manfaat, namun pihak majikan akan tertekan, sehingga menyebabkan majikan mengurangkan pengambilan pekerja, seterusnya boleh meningkatkan kadar pengangguran.
Berbalik kepada isu moratorium, impak kepada ekonomi adalah amat signifikan dengan memastikan kuasa beli pengguna dan kelangsungan perniagaan dapat diteruskan, seterusnya merangsang permintaan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam hal ini, pertimbangan boleh diberikan oleh pihak bank kepada peminjam yang terjejas teruk akibat COVID-19, antaranya pekerja yang diberhentikan kerja, pekerja upah harian yang hilang pendapatan, serta pengusaha PKS dan usahawan yang berdepan dengan peningkatan kos operasi dan risiko penutupan perniagaan.
Selain itu, peminjam perlu jujur dan cermat dalam menilai kedudukan kewangan peribadi dan syarikat. Di sinilah pentingnya 'literasi kewangan' diterapkan dalam masyarakat di semua peringkat umur supaya isu keberhutangan yang tinggi dapat dielakkan, dan diuruskan mengikut keperluan dan kemampuan.
Menjengah ke hadapan, persekitaran ekonomi negara dijangka berdepan dengan tempoh sukar selepas bulan Oktober apabila moratorium pinjaman berakhir, pengangguran mencecah 1 juta, ketidaktentuan ekonomi global, serta kadar hutang dan defisit kerajaan yang terus meningkat.
Dengan pilihanraya mengejut (snap election) sudah mula dibayangkan, semua permasalahan ini akan menjadi pertimbangan kerana ekonomi dan politik tidak dapat dipisahkan.
- Syahir Sulaiman, 30 Jun 2020
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment