NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menunggang agama mengikut kacamata Machiavelli



Oleh : Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil

[Pertama] Agama Itu Candu - Karl Marx

1) Sebelum ini saya ada menulis tentang pertembungan antara Realism dan Idealism. Antara yang saya selitkan juga ialah perselisihan antara Martin Luther tokoh Idealism dan juga Machiavelli tokoh Realism.

Kedua dua tokoh ini bertentangan dengan pembawaan gereja zaman kegelapan. Marthin Luther bangkit sebagai tokoh revolusi agama Kristian Katholik yang telah jauh tersesat daripada Kristian asal.

Manakala Machiavelli pula bertentangan dengan gereja dari sudut penguasaan gereja yang menggunakan agama sebagai kuda tunggangan bagi merealisasikan kebahagiaan kasta kasta paderi atau orang agama.

2) Sebelum pergi lebih khusus, suka untuk saya kemukakan pandangan Karl Marx tentang agama khususnya dalam buku yang bertajuk “Critique on Hegel’s Philosophy of Right” berkenaan kritikannya terhadap gurunya George Hegel.

Di dalam tulisan ini, menceritakan bagaimana agama itu diseleweng dan dicandukan. Karl Marx menyifatkan bahawa agama itu sepatutnya adalah satu protes melawan penderitaan, tetapi tidak sedemikian.

3) Beliau menyatakan agama dijadikan sebagai candu untuk mengubati kepedihan kaum yang tertindas dengan dijanjikan fantasi syurgawi. Ini menyebabkan penganut penganut agama tidak bangun menentang kezaliman,

Sekadar bersabar dan pasrah dengan apa jua bentuk penindasan terhadap mereka. Karl Marx menegaskan bahawa inilah yang dikatakan candu agama, yang diajar oleh para paderi.

4) Kita perlu sedar bahawa Karl Marx hidup di zaman yang penuh kerencaman. Penuh dengan penyelewengan agama Kristian. Agama dijadikan kuda tunggangan untuk kepentingan politik orang agama

Beliau mempunyai bukti dan sandaran untuk mengatakan bahawa agama adalah candu untuk melenakan para penganutnya daripada bangkit menentang kezaliman. Pasrah sahaja dengan kezaliman, sekadar menunggu hari perhitungan.

[Kedua] Pertentangan Dengan Gereja

1) Apa yang dilontarkan oleh Karl Marx yang hidup di penghujung zaman Reinassance, kita perlu meneliti susur galur tanggapan beliau terhadap agama, tanpa menafikan penyewengan yang wujud dalam Kristian.

Insya Allah dalam artikel ini akan menghuraikan tentang pemikiran Machiavelli yang berkaitan dengan dominasi agama Kristian di zaman kegelapan yang mengheret kepada keruntuhan sistem gereja.

Dengan harapan Islam hari ini tidak diterjemahkan oleh orang orang Islam sebagai agama semacam Kristian. Iaitu memelihara kejumudan dan mengekalkan taqlid membuta tuli.

2) Machiavelli pernah jadi orang kerajaan, dan pernah dilabel syaitan (Old Nick) kerana mengkritik Pope. Bahkan karya karyanya diharamkan oleh gereja Kristian Katholik.

Beliau yang beraliran Realism melihat bahawa realiti politik itu bermula rangkaian aksi bangsa-bangsa yang diwarnai dengan kepentingan masing-masing. Dalam konteks hubungan antarabangsa ia lebih luas.

Iaitu persaingan atau saling memanipulasi untuk tujuan-tujuan nasional bangsa masing masing. Hakikat ini boleh dikaji melalui realiti politik yang lebih bersikap pragmatis, atau makan keliling.

3) Realitinya, Machiavelli sangat mengagumi sejarah dan karya manusia. Beliau juga berminat pada agama, khususnya agama Romawi kuno yang mengurus kehidupan masyarakat dan memberi inspirasi bagi pasukan tentara Romawi.

Beliu menyatakan dalam bukunya “Discorsi” [Gambar 1] bahawa agama merupakan salah satu “karya manusia” yang patut mendapat pujian tertinggi. Dua orang yang patut dipuji ialah pemimpin dan agamawan.

[Ketiga] Agama Hanya Alat, Bukan Kebenaran - Machiavelli

1) Seperti yang saya nyatakan tadi, beliau menganggap “agama” yang dikaryakan oleh para agamawan adalah satu cara bentuk pembawaan yang mengagumkan dalam penguasaan.

Dalam buku “Filsafat Politik Machiavelli” karangan Dr J.H Rapar [Gambar 2], penulis menyatakan bahawa menurut Machiavelli, agama bukan hanya penting bagi masyarakat awam, tetapi juga bagi ketenteraan.

2) Penulis juga menyatakan antara yang paling penting mengikut Machiavelli ialah agama dapat membangun dan membentuk sikap manusia menjadi tulus, taat, setia, patuh dan bersatu. Justeru, memang agama dapat menjadi alat bantu bagi penguasa.

Sifat sifat ini sangat perlu bagi menjayakan agenda seorang yang berkuasa. Sebab itulah agama diperlukan, iaitu sebagai alat kepatuhan bukan kerana nilai nilai terkandung dalam agama.

3) Ahmad Suhelmi menyatakan dalam buku “Pemikiran Politik Barat” [Gambar 3] bahawa menurut Machiavelli, agama itu bermakna apabila ia dapat digunakan bagi kepentingan politik kekuasaan. Samada benar atau salah itu tak penting

Machiavelli juga tidak tertarik terhadap kebenaran suatu agama, asal usul agama itu dan adakah bersumberkan wahyu Tuhan atau rekaan manusia semata.

4) Bahasa mudahnya, kebenaran sesuatu agama itu tak penting pun menurut Machiavelli. Apa yang penting ialah apabila ia boleh digunakan untuk membina pengaruh.

Secara umumnya, dapat disimpulkan bahwa sejauh agama itu bermanfaat bagi kepentingan politik dan kekuasaan, maka agama tersebut harus dipertahankan dan didukung.

[Keempat] Agama Diperalat Untuk Pengaruh Politik

1) Dalam satu buku yang dikarang oleh F. Budi Hardiman yang bertajuk “Filsafat Modern : Dari Machiavelli Sampai Nietzche” [Gambar 4] menyatakan bahawa Machiavelli membuat kesimpulan tentang negara negara yang kuat

Machiavelli menyatakan bahawa negara menjadi besar dan berjaya kerana memelihara institusi-institusi agama. Manakala negara yang runtuh kerana tidak mempedulikan agama.

Ini kerana agama memiliki nilai nilai politik yang sangat penting dan berharga. Maka, agama harus berfungsi dan berperanan dalam kehidupan politik. Agama yang tak berfungsi untuk politik adalah tidak guna.

2) Antara lain, Machiaveli menganggap bahawa agama adalah faktor kesatuan yang menjadikan politik atau negara itu kukuh dan kuat. Kesatuan ini diperlukan bagi mengekang perpecahan yang meruntuhkan negara.

Iaitu agama perlu berperanan sebagai alat yang menyatukan rakyat dalam ketaatan dan kesetiaan terhadap penguasa demi kejayaan negara. Iaitu alat bagi menguatkan pengaruh sang penguasa

3) Antara yang dikatakan oleh Machiavelli dalam buku “Principe” [Gambar 5]

“Demi untuk mempertahankan kekuasaan negara, agama harus tunduk pada negara. Hal yang harus diutamakan oleh penguasa dalam bab agama, bukanlah hukum cinta kasih dan belas kasihan. Ini kerana dalam dimensi politik, hanya orang kuat yang tahan memerintah, manakala mereka yang tak kuat, harus mencari hiburan dalam bidang spiritual atau mencari rasional atas kelemahan-kelemahannya itu”

4) Ringkasnya, Machiavelli bukanlah mengatakan agama itu tidak penting. Walaupun hakikatnya beliau sendiri merasakan ajaran moral dan dogma-dogma agama pada dirinya tidaklah begitu penting.

Tetapi dalam sudut yang lain Machiavelli mengakui pentingnya agama sebagai alat untuk menguatkan negara. Machiavelli melihat agama memiliki nilai pragmatis untuk mengukuhkan negara.

[Kelima] Menunggang Agama Hari Ini

1) Apa yang dapat kita fahami, pemikiran Machiavelli tidak sama dengan pendekatan yang dibawa oleh ahli teologi di zaman pertengahan seperti Augustine, Thomas Aquinas dan lain lain

Machiavelli melihat agama dari sudut pandang pragmatisme dan kepentingan politik yang lebih praktikal. Pragmatis yang dimaksudkan ialah mempergunakan (menunggang) agama untuk kepentingan politik, bukan untuk diamalkan.

2) Dari sudut realiti hari ini, kita dapat fahami apa yang dimaksudkan oleh Machiavelli secara lebih praktikal. Apabila kita melihat negara negara Islam saling merebut kepentingan masing masing.

Dengan menjaja elemen agama seperti kesufian (sufism), membuatkan negara negara yang berkepentingan semakin diterima. Atau lebih mudah ia disebut sebagai Soft-Power.

3) Contoh yang lebih jelas Gulen (Turki) menggunakan elemen kesufian untuk meraih pengaruh politiknya. Dalam temubual, beliau bercakap sehingga menitis air mata membicarakan bab kesufian.

Sama juga dengan UAE, sebuah negara yang menggunakan elemen agama (sufism) bagi meraih pengaruh persaingannya dengan Arab Saudi. Boleh rujuk tulisan tulisan saya sebelum ini berkaitan dasar luar UAE [1] [2]

4) Contoh hari ini kita wajar berhati hati jika elemen agama itu diperkudakan untuk meraih pengaruh politik. Iaitu ketika di hadapan rakyat, menyajikan elemen elemen agama, bukan untuk menyampaikan Islam tetapi untuk menjaga pengaruh politiknya.

Bimbang penyakit ini merebak di kalangan ahli gerakan Islam, dan mengheret kepada realiti yang diteorikan oleh Machiavelli, yang terjadi di zaman kegelapan Kristian.

- Sabtu, 13 Jun 2020

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3887423331299398/?d=n
[2] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3915466085161789/?d=n

Sumber: https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1417595668433902

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo