oleh: Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam
Antara kepintaran orang-orang Melayu zaman dulu yang berkaitan dengan kimia ialah ilmu racun dan penawarnya. Mereka tahu tentang sumber-sumber racun dan penawar baginya. Mereka juga tahu tentang cara penggunaannya, dos-dos yang patut diambil tahap bahaya racun tersebut dan kesan penggunaannya terhadap pengguna.
Ada racun yang boleh membunuh dengan segera, ada racun yang membunuh secara perlahan, ada racun yang boleh mendatangkan penyakit gila, ada racun menyebabkan pengsan dan ada racun yang hanya memabukkan. Ilmu racun dan penawarnya ini diperolehi dari penerokaan, pemerhatian, pengalaman dan ajaran turun temurun.
Antara sumber-sumber racun seperti bisa haiwan seperti ular, katak dan kala jengking serta tumbuhan seperti ceraka merah, kecubung hitam, warangan (arsenik), pokok tuba, pokok ibol, pokok ipoh dan banyak lagi. Antara contoh sumber bagi penawar racun pula ialah pokok setawar, pokok sirih gading, pokok ekor ular, kunyit hitam dan banyak lagi.
Dalam catatan Portugis, tentera-tentera Melaka telah menggunakan racun pada senjata-senjata mereka. Antara racun-racun tersebut, ada yang menyebabkan penyakit ketumbuhan pada tentera Portugis dan ada yang mendatangkan penyakit gila. Portugis kebuntuan untuk merawat penyakit tersebut sehinggalah datang orang Melayu menunjukkan penawar-penawar bagi racun-racun tersebut.
Joao de Barros menulis:-
Kemudian orang-orang Melayu menunjukkan kepada orang Portugis sejenis herba tempatan yang merupakan penawar kepada racun tersebut yang akan memastikan bahawa seseorang yang terkena racun tersebut tidak akan mati jika dia mengunyah daun herba itu. Yang demikian itu adalah keajaiban alam, yang tidak meninggalkan apa-apa penyakit tanpa ubat. Bagi setiap racun itu ada penawarnya hanya jika ianya dikenal pasti.
Semasa saya di Siak, saya pernah ditunjukkan sebuah kolam racun yang dibuat oleh Raja Kecil dan para tenteranya. Racun-racun diambil dari pelbagai sumber lalu dimasukkan ke dalam kolam ini. Apabila Raja Kecil dan tenteranya pergi berperang, mereka akan mencelupkan semua senjata mereka ke dalam kolam ini. Ilmu racun dan penawar ini juga nampak sudah hilang di kalangan generasi pada hari ini.
No comments
Post a Comment