NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Undi Percaya, Undi Tak Percaya: Apa Muslihat Mahathir?

1. Sekiranya usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Mahathir itu diluluskan Dewan Rakyat, perkara pertama yang akan berlaku ialah Muhyiddin dan jemaah menterinya perlu meletakkan jawatan selaras dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.‬

2. Perdana menteri yang baru hilang kepercayaan itu kemudiannya mempunyai pilihan untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.‬

‪3. Dalam situasi demikian, terserah kepada YDP Agong untuk memutuskannya. Menurut Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan, baginda boleh bertindak menurut budibicaranya tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen. ‬

4. Tetapi jika YDP Agong tidak mempersetujui membubarkan Parlimen, Agong perlu menjalankan fungsinya menurut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan bagi melantik Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.‬ Baginda boleh melantik sebagai Perdana Menteri seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.‬

5. Perkara terakhir inilah yang wajar direnungi. Dalam situasi sekarang, ketika mana negara berhadapan dengan pandamik Covid-19, mengadakan pilihan raya umum mungkin bukan pilihan yang betul. Jadi penggunaan budi bicara YDP Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat akan merupakan solusi terbaik.

6. Jika itu berlaku dan jika membabitkan tiga calon iaitu Mahathir, Anwar dan Muhyiddin, maka, berdasarkan senario semasa, kemenangan akan lebih mudah berpihak pada Muhyiddin yang disokong oleh sebahagian besar Bersatu, UMNO, PAS, MCA, MIC dan GPS. Anwar bersama PH minus Mahathir serta serpihan Bersatu dan Warisan tidak akan berupaya memberi cabaran, apatah lagi setelah sejumlah Ahli Parlimen PKR telah dibawa 'lari' oleh DS Azmin Ali.

7. Mahathir sendiri mungkin menjadi pilihan tercorot. Maka timbul persoalan, bodoh sangatkah dia sehingga mengorbankan politiknya sendiri hanya kerana hendak menyekat Anwar dan membuka laluan kepada Muhyiddin? Di mana logiknya?


8. Soalan lain yang mungkin timbul ialah, jika hendak memenangkan Muhyiddin kenapa Mahathir perlu bersusah payah mengusulkan undi tidak percaya kepada presiden partinya itu? Kenapa tidak secara terbuka mengisytiharkan sokongan dan pada masa yang sama memutuskan terus ikatannya dengan PH?

9. Dia boleh melakukannya. Tetapi dia tidak melakukannya kerana dengan berbuat demikian dia akan hilang kawalan sama sekali terhadap PH - khususnya ke atas Anwar. Dalam keadaan sekarang, walaupun kedudukannya sudah ibarat gelandangan politik, Mahathir masih menyimpan sekeping dua kad yang menyebabkan PH dan Anwar tidak boleh mengambil mudah terhadap kewujudannya. Jika dia secara terbuka menyokong Muhyiddin dan dengan rasmi menjadi musuh pakatan yang pernah diterajuinya, dia akan lebih terdedah pada serangan terbuka.

10. Berlakon adalah tugas utama ahli politik dan sejak dahulu Mahathir menyerlah sebagai pelakon yang sukar dicari bandingan. Sebab itu apabila berhadapan dengannya, jangan terus percaya. Ingat seperkara bahawa politik bukanlah apa yang boleh dilihat, tetapi apa yang tidak dapat dilihat.

11. Sebab itulah juga, jika dilihat daripada sisi yang berbeza penulis percaya usaha membawa usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin adalah suatu cara Mahathir untuk mengukuhkan kedudukan Ahli Parlimen Pagoh itu. Selama ini, sejak tertubuhnya PN, Muhyiddin berada dalam kedudukan goyah. Jumlah sokongan yang diperolehinya terus dipersoalkan. Sesuatu perlu dilakukan untuk membuktikan dia mendapat lebih daripada cukup sokongan dan satu daripada kaedahnya adalah memecah belahkan PH. Itulah yang dilakukan oleh Mahathir dan Warisan.

12. Seperkara lagi, Mahathir tentu tahu usul undi tidak percaya itu berkemungkinan besar tidak dibahaskan dan diundi pada Sidang Parlimen 18 Mei ini kerana urusan kerajaan akan didahulukan mengatasi semua usul lain atau rang undang-undang persendirian. Terdekat, usul itu akan dibentangkan pada sidang yang bakal berlangsung pada Julai nanti. Pada waktu itu Muhyiddin telah mempunyai lebih daripada cukup masa untuk mengukuhkan kedudukannya.

13. Soal pemilihan Bersatu, yang masih belum ditetapkan tarikhnya selepas ditangguhkan berikutan Covid-19 tidak akan menjadi elemen besar yang boleh mempengaruhi situasi ini. Ia mungkin sekadar skrip untuk memperkuatkan lakonan. Akan ada orang terpengaruh dengannya, terheret sama dan seterusnya menjadi korban. Tetapi majoriti mereka yang berhadapan kemungkinan itu tidak berada di kem Muhyiddin sebaliknya di pihak Mahathir.

14. Mengorbankan orang lain, dan kadangkala dirinya sendiri adalah cara Mahathir berpolitik. Jika cara itu boleh meyakinkan PH bahawa itulah bukti dia tidak mengkhianati mereka, maka itulah yang akan dilakukannya. Mahathir tahu biar apa pun keadaan yang mendatang, dia akan mampu menguasainya. Dia boleh mengumpulkan debu-debu kemusnahan itu, menghidupkannya semula dan menatangnya untuk diserahkan kepada Muhyiddin dan PN. Itu kelebihannya.

14. Tidak logik? Apabila bercakap tentang politik, sila letakkan soal logik ke tepi. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan manusia bernama Mahathir bin Mohamad. Sejarah politiknya menunjukkan dia telah melakukan begitu banyak perkara tidak logik, yang kemudiannya ditukarkan menjadi logik. Jika dia boleh membiarkan UMNO diharamkan pada 1988, jika dia boleh berbaik dengan Lim Kit Siang, jika dia sanggup ke mahkamah untuk berjumpa Anwar Ibrahim dan kemudian kembali bertepuk tampar dengan bekas timbalannya itu, jika dia sanggup dihina dan dicerca oleh sebahagian besar orang Melayu kerana berbaik-baik dengan DAP, apalah sangat untuknya - dengan membawa Warisan bersama - berbaik-baik dengan PN. Malah tidak ada peliknya jika dia mengisi borang UMNO sekali lagi.

15. Politik bagi Mahathir bukanlah soal air muka jangka pendek, bukan soal cara tetapi soal matlamat. Sebab itu ada orang berkata, jika Machiavelli masih hidup, dia juga akan berguru dengan Mahathir..

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo