oleh:Ahmad Murad Merican
Persejarahan Barat, dalam Bahasa Inggeris biasa menggunakan istilah 'discover,' 'founded,' landed.'
Ini lazim dalam budaya dan pemikiran Eropah.Mereka seperti Columbus dikatakan 'discovered' America, Cook 'founded' Australia dan New Zealand, dan sama juga Raffles dan Light 'founded' Singapore dan Penang (bukan Singapura dan Pulau Pinang).
Ini disebut sebagai 'European Exceptionalism'.
Sejarawan dan penulis kita tidak kritikal dalam hal ini.
Apabila disebut 'founded', Barat mengandaikan - secara sengaja atau tidak, sesuatu tempat/kawasan itu tidak berpenghuni - konsep terra nullius - unhinhabited.
Apabila kita menggunakan istilah itu terjemahan Bahasa Melayu, kita juga mengandaikan konsep tidak berpenghuni.
Bagi Pulau Pinang, adalah kurang tepat menyuatakan seseorang itu 'membuka' Pulau Pinang, atau Batu Uban, atau Dato' Keramat. Tidak ada sesiapa yang membuka Pulau Pinang.
Tidak ada sesiapa yang menemui Pulau negeri Kedah itu.
Pulau itu telah diduduki sejak berzaman dan berkurun dahulu.
Pulau Pinang adalah sebahagian dari pulau-pulau negeri dan Sultan Kedah di pesisir pantai apa yang sekarang ini Seberang Perai Selatan ke Kepulauan Mergui di Myanmar sekarang.
Biasanya dikatakan Nakhoda Nan Intan membuka Pulau Pinang dan membina masjid di Batu Uban.
Betul, Batu Uban ialah antara tempat yang terawal diketahui didiami - sebuah peraturan dan masyarakat wujud di situ awal dari tahun 1730an.
Terlebih awal ialah Dato' Keramat, sepanjang Sungai Pinang (1710/20an).
Dan awal lagi. Siapa yang beri nama Batu Feringghi jika tidak orang Melayu di Pulau Pinang abad ke 16.
Nama Pulau Pinang/Pulau Pinaom (Portugis) dan Bin Lang (China) telah tercatat lebih awal lagi.
Masyarakat Melayu/Islam - Peranakan Arab dan Tamil di Pulau Pinang bermastautin dari Tanjong Penaga ke Batu Uban ke Sungai Dua.
Ini zaman pra-kolonial sebelum 1786. Telah wujud sistem - undang-undang dan peraturan - bukan 'band of fisherman and pirates' dalam naratif Inggeris yang menghinakan Melayu.
Dari mana undang-undang itu datang? itu undang-undang Kedah kerana Pulau Pinang adalah Kedah.
Jadi dalam naratif kita mengenai Pulau Pinang, tidak perlu menyatakan siapa yang pertama di kalangan orang Melayu.
Ceritanya bukan begitu.
Kita mesti mengetahui sekurang-kurangnya lima nama/tokoh yang bermastautin di Pulau Pinang sebelum Light 1786.
Mereka adalah Dato' Keramat, Nakhoda nan Intan bin Tuanku Patis Nan Sabatang@Haji Muhammad Salleh; Dato' Jenaton@Jenan; Nakhoda Kechil@Ismail, Nakhoda Setia dan Nakhoda Bayan.
Kisah-kisah ini telah diluruskan dari sumber tempat dan kawasan.
Kita juga tidak boleh kata mereka itu 'datang' - ini juga kurang tepat.
Mereka - dari kepulau Melayu dan dari tanah besar, bukan 'datang' ke Pulau Pinang, tetapi merantau dan bermastautin.
Cerita mereka bukanlah terpisah.
Mereka bukanlah tiba-tiba ada di Pulau Pinang tanpa mengenai satu sama lain.
Hanya cerita Dato' Keramat tidak dapat dipastikan, Tetapi beliau mempunyai kira-kira 2000 pengikut. Beliau di katakana berasal dari pelbagai tempat -termasuk kedah, Aceh atau India.
Kita tidak tahu sebab tidak diketahui keturunan dan salasilahnya.
Yang kita tahu dan dapat mengumpul kisah dan cerita, serta senarai jurai dan salasilah lengkap (seperti Dato' Jenaton) ialah dari Nakhoda nan Intan, Dato' Jenaton, Nakhoda Kecil dan Dato' Setia.
Mereka ini bukan merantau berasingan tetapi merantau pada masa yang sama. Dato' Jenaton berasal dari Pagaruyung dan mengikut bapa beliau Raja Labuh ke Kampong Bodi, Payakumbuh, Sumatara.
Dari Payakumbuh (di mana Dato' Jenaton berkahwin dengan isteri perrtama), beliau dan adik ipar, Dato' Setia, Nakhoda nan Intan dan Nakhoda Kecil, menyusuri Sungai Kampar Kanan ke Batu Bara/Bahara di Pantai Timur Sumatera.
Dari situ mereka berulang alik berniaga, berdakwah dan berperang dari Batu Bara, ke Kedah dan tempat-tempat lain di Selat Melaka seperti di Melaka.
Kita kena lihat ini satu proses yang melalui perjalanan dan kekeluargaan.
Dicatatkan Nakhoda nan Intan membina masjid di Batu Uban 1734.
Beliau diberi tanah seluas 50 ekar di apa yang sekarang dikenali sebagai Batu Uban.
Ingat bahawa Batu Uban bukan kampung seperti sekarang tetapi pekan dan pelabuhan berpuluh tahun sebelum Francis Light.
Dicatat pada tahun 1749 (ada yang kata lebih awal), Dato' Jenaton setelah bermastautin di Batu Bara Bersama Nakhoda nan Intan, diberi tanah sebanyak 100 ekar yang kini merangkumi Minden (sebahagian kampus USM), Minden Heights, Sungai Gelugor dan Bukit Gelugor.
Malah kawasan yang mana muzium, rumah naib canselor dan rumah rehat di USM itu adalah kawasan Dato'Jenaton.
Beliau, Bersama anak-anaknya Abdullah, Fatimah dan Halimah akan turun ke pantai di Batu Uban mencari siput. Dato' Jenaton menanam tebu dan lada - tahun 1750an/60an.
Lebih awal dari yang tercatat dalam rekod Inggeris.
Pada masa yang sama Nakhoda kecil bermastautin di Jelutong.
Di katakana bahawa sebelum Batu Uban dikenali dengan nama itu, ia bernama Batu Bara - menunjukkan betapa akrabnya di antara dua pelabuhan tersebut sejak berabad lamanya.
Makam Dato Jenaton, isteri ketiganya, anak, dato' Setia serta tidak orang keturunan al-Makawi, yang berkahwin dengan generasi cucu Nakhoda nan Intan, kini teletak di Persiaran Minden Satu, di Belakang kampus USM.
Rujuk buku Ahmad Murad Merican (2015) Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang. Dewan Bahasa dan Pustaka. Naratif sejarah awal Pulau Pinang ini perlu diulangi dan diperbetulkan secara berterusan.
Sumber: https://www.facebook.com/ahmadmurad.merican/posts/3033169636706151
Sumber: https://www.facebook.com/ahmadmurad.merican/posts/3033169636706151
No comments
Post a Comment