NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rekrut orang Islam strategi licik gerakan Evangelis tambah ahli?


Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Tindakan merekrut orang Islam adalah antara strategi licik yang digunakan gerakan Evangelis untuk mengimbangi hujah semata-mata untuk menarik lebih ramai ahli menyertai mereka.

Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Muhammad Rusdi Alias berkata, golongan berkenaan akan kalah jika berlawan hujah atau berhadapan dengan cendiakawan Islam seperti Dr Zakir Naik serta mereka yang seangkatan dengannya.

"Jadi jalan yang paling selamat dan paling boleh mempengaruhi ialah meletakkan orang Islam sendiri mewakili kehendak-kehendak mereka. Apatah lagi yang mewakili mereka adalah dari kalangan mereka yang menghafaz al-Quran, pernah belajar di sekolah-sekolah agama dan di tempat pengajian pondok.

"Ini adalah satu malapetaka baharu yang masuk ke dalam ummah. Antara dakyah mereka ialah pemikiran humanisme yang semakin mendapat tempat kepada manusia sehingga sekarang ini.

"Pemikiran ini mengajak manusia bertuhankan kehendak diri dan tidak mahu terikat dengan syariat. Semua ideologi-ideologi baharu dilahirkan dari prinsip ini termasuklah liberalisme, pluralisme agama, hedonisme, ethisme dan lain-lain lagi," katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Bagi menangani keadaan ini, Ustaz Rusdi menggesa umat Islam merasakan peri pentingnya kefahaman Islam itu sendiri, bahkan ibu bapa dan para pendidik perlu mengembalikan generasi kita kepada kefahaman dan ajaran Islam yang sebenar sehingga terlahirnya generasi yang berakhlak dan berakidah.

"Orang Islam mesti menjadi umat yang bermaruah. Perlu diingat bahawa maruah paling utama bagi seorang muslim ialah dengan memahami agama dengan betul. Kita tidak akan boleh berbangga sebagai muslim jika tidak dapat memahami kehendak agama dan tujuan agama ini diturunkan Allah SWT.

"Umat Islam juga tidak boleh dibuai dengan arus semasa, menghabiskan masa di alam maya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kita mesti peruntukkan masa untuk membaca dan berfikir kerana itu akan membantu untuk mengubah diri kita.

"Kita sangat perlu menggunakan akal untuk berfikir supaya dapat keluar dari kebodohan dan kemunduran. Umat Islam tidak akan boleh berubah jika penganutnya tidak mahu berfikir dan tidak suka membaca, apatah lagi menjadi pak turut sahaja," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Gerakan Kristian Evangelis didakwa sedang mempersiapkan golongan pelapis yang terdiri dalam kalangan pelajar agama Islam.

Seorang penceramah yang dikenali sebagai Tuan Nizam mendakwa, gerakan itu bertindak sedemikian kerana mengetahui pada masa hadapan golongan berpendidikan agama semakin ramai dan hanya boleh ditumbangkan oleh mereka yang datang dari aliran sama seperti mereka.

Dakwanya, golongan pelapis ini akan menjadi agen penggerak kepada perjuangan gerakan berkenaan antaranya dalam isu murtad dan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Tuan Nizam turut mendakwa, golongan yang mengambil keputusan untuk murtad di negara ini bukan sedikit namun melibatkan jumlah yang ramai.

Dakwanya, cuma undang-undang di negara ini telah menghalang mereka untuk mengisytiharkan kedudukan murtad secara rasmi.

Sumber: https://ismaweb.net/2020/05/04/rekrut-orang-islam-strategi-licik-gerakan-evangelis-tambah-ahli/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo