NOTIS:
PKPB : Pengadaptasian Kepada Norma Baharu Dan Pembentukan Disiplin Dalam Kalangan Masyarakat
Oleh : Syamil Saufee
1. Merujuk pada ucapan YAB Perdana Menteri, keputusan untuk melaksanakan PKPB ini diputuskan setelah dibawa dalam perbincangan bersama dengan Majlis Tindakan Ekonomi dan Majlis Keselamatan Negara serta mendapat nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
2. PKPB ini bertujuan bagi memulakan aktiviti penjanaan semula ekonomi dalam keadaan yang terkawal. Perkara ini akan melibatkan sebahagian besar sektor ekonomi yang diberi kebenaran untuk beroperasi, tetapi haruslah mematuhi SOP ketat yang disediakan oleh pihak kerajaan.
3. Sebagai rakyat, pengumuman ini sudah pastinya meletakkan kita dalam keadaan dilema. Ada sebahagian rakyat yang berpendapat bahawa PKPB ini perlu dilaksanakan selepas PKP 4 berakhir iaitu selepas 12 Mei 2020. Namun begitu, kita harus sedar bahawa PKPB ini dilaksanakan tanpa menafikan hak PKP 4 atau tidak memberi makna yang PKP 4 telah ditamatkan.
4. Dalam ucapan Menteri Kanan Kluster Keselamatan semasa sidang media harian 2 Mei 2020, beliau ada menyebut bahawa segala aktiviti dan pematuhan sepanjang PKPB dilaksanakan adalah masih tertakluk di bawah peraturan PKP. Dalam sidang media itu juga, Menteri telah memberi jaminan bahawa persediaan rapi telah dilakukan terhadap sebarang perkara yang tidak diingini sekiranya berlaku. Sebagai maklumat tambahan, Menteri juga ada memaklumkan bahawa pintu sempadan negara Malaysia masib ditutup kepada warga asing. Ini bertujuan untuk mengelakkan dari berlakunya pertambahan kes import. Di sini kita dapat lihat juga komitmen dari kerajaan untuk melaksanakan PKPB.
5. Di samping itu, PKPB yang akan bermula pada 4 Mei 2020 ini tidak bermaksud yang semua syarikat dari sektor ekonomi ini wajib untuk beroperasi pada tarikh tersebut. Bagi majikan-majikan yang terlibat dengan sektor sektor ekonomi ini, mereka juga harus bijak dalam menilai keperluan untuk bekerja di pejabat atau pun terus memberi ruang kepada pekerja untuk bekerja dari rumah.
6. Sepatutnya, sepanjang PKP 1 hingga PKP 3 dilaksanakan, tempoh masa ini cukup untuk para majikan menilai tahap produktiviti pekerja dan keperluan untuk bekerja di pejabat. Sepertimana yang disarankan dalam ucapan Perdana Menteri, majikan dinasihatkan untuk memberi waktu bekerja yang anjal kepada pekerja. Perkara ini boleh dilaksanakan berdasarkan penilaian yang telah dibuat semasa PKP 1 hingga PKP 3 dijalankan.
7. Selain itu, kita harus faham dan sedar bahawa pelaksanaan PKPB ini sebenarnya adalah satu proses kepada rakyat dan masyarakat untuk mengadaptasikan diri kepada norma baharu. Hal ini kerana, meskipun PKPB ini dilihat seakan memberi ‘kelonggaran’ kepada kita untuk beraktiviti, pada masa yang sama kita perlu mematuhi segala SOP yang telah dikeluarkan. Ini bermaksud segala aktiviti yang kita lakukan adalah masih di bawah kawalan.
8. Perkara inilah yang menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat iaitu memastikan setiap aktiviti yang dilakukan tidak melanggar SOP. Ini lah norma baharu yang perlu kita adaptasikan dalam diri. Sebagai contoh, jika sebelum ini kita biasa bersalaman dengan rakan di tempat kerja, dengan norma baharu ini, kita perlu menghentikan sementara aktiviti tersebut bagi mencegah dari tersebarnya virus Covid 19 ini.
9. Kita juga perlu mengerti bahawa PKPB ini adalah medan terbaik untuk kita meningkatkan tahap disiplin dalam kalangan masyarakat. Jika kita perhalusi dengan lebih dalam akan pelaksanaan PKPB ini, ia sebenarnya memberi peluang kepada rakyat dan masyarakat untuk membuktikan bahawa tahap disiplin yang ada dalam diri kita adalah sama atau lebih baik dari negara negara maju yang lain.
10. Jika sebelum ini kita berjaya membuktikan bidang perubatan dan kesihatan di negara ini adalah yang terbaik melalui pengiktirafan yang diberi kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, mengapa tidak kita buktikan juga bahawa rakyat di negara ini juga telah benar benar bersedia dan komited dalam memerangi wabak Covid 19?
11. PKPB juga merupakan masa terbaik untuk kita melonjakkan tahap pemikiran, mentaliti dan disiplin diri dalam kalangan masyarakat negara ini ke satu tahap yang lebih baik. Jika sebelum ini negara Jepun yang sering menjadi negara contoh itupun boleh kembali dengan gelombang kedua Covid 19 setelah PKP mereka dilonggarkan, inilah masanya untuk kita membuktikan bahawa perkara sama tidak akan terjadi di negara ini.
12. Sebagai konklusi, rakyat berhak untuk berasa gusar dan risau akan pelaksanaan PKPB ini. Namun begitu, kita juga harus melihat perkara ini dari pelbagai sudut. Selain dari membuka ruang kepada aktiviti penjanaan ekonomi melalui sektor sektor yang terlibat, PKPB juga adalah masa terbaik untuk kita menjadikan rakyat dinegara ini sebagai rakyat contoh kepada negara lain dalam mendepani wabak pandemik Covid 19 ini. Jangan kita takut dan gentar untuk melakukan perubahan. Perang ini masih belum tamat. Dengan membiasakan diri dengan norma baharu, Insyaa Allah kita mampu memerangi perang ini. Kita perlu percaya bahawa dalam setiap kesulitan ada bersamanya kesenangan.
Penulis adalah aktivis PAS Kawasan Tangga Batu Melaka Dan Wartawan Rakyat Melaka
Sumber: https://berita.pas.org.my/pendapat-pkpb-pengadaptasian-kepada-norma-baharu-dan-pembentukan-disiplin-dalam-kalangan-masyarakat/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment