NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PKPB: Maksimum empat orang dibenar dalam kenderaan persendirian- Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 3 Mei -- Kerajaan memutuskan untuk membenarkan kenderaan persendirian membawa empat penumpang dengan syarat mestilah dari rumah dan keluarga yang sama, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu diberikan berikutan isu jarak sosial tidak timbul dalam kalangan keluarga dan mereka yang tinggal serumah.

“Kerajaan memutuskan membenarkan untuk kenderaan persendirian maksimum empat orang tetapi mesti daripada keluarga yang sama dan rumah yang sama.

“Namun saya percaya ada yang cuba membawa kawan dan jika didapati ingkar, prosedur operasi standard mesti dipatuhi, sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengenai operasi perkhidmatan pengangkutan awam yang akan kembali beroperasi esok, Ismail Sabri berkata semua pengguna dan pengendali perkhidmatan pengangkutan awam perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Tegasnya, ini penting bagi memudahkan perjalanan orang ramai ke tempat kerja sewaktu PKPB dilaksanakan.

“Ini termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri perlu dipatuhi. Bagi pengangkutan awam, jumlah penumpang dihadkan separuh daripada keseluruhan kapasiti sebenar,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu anggota penguat kuasa akan ditugaskan untuk membantu memantau pematuhan garis panduan itu dalam usaha kerajaan memutuskan penularan rantaian COVID-19 demi keselamatan masyarakat.

Ismail Sabri juga mengingatkan pihak yang telah membuat keputusan untuk beroperasi esok susulan pelaksanaan PKPB, perlu mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kerajaan mengambil maklum mengenai kebimbangan orang ramai terhadap pembukaan semula sektor perniagaan dan industri apabila berlakunya pergerakan secara besar-besaran.

“Malah, ramai turut melahirkan kerisauan kemungkinan PKPB ini boleh menyebabkan penularan semula jangkitan COVID-19,” katanya.

Justeru, katanya rakyat disaran terus mengamalkan kawalan kendiri untuk memastikan dapat menghindarkan diri daripada wabak itu dan memutus rantaian jangkitan COVID-19

Ismail Sabri berkata rakyat juga diseru supaya memainkan peranan dan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan komuniti, serta mengelakkan berada di tempat awam jika tiada keperluan.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo