NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perketat jualan alkohol, sampai bila nak jadi mangsa pemandu mabuk


BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mahu semua jenayah yang membabitkan penggunaan alkohol, dikenakan hukuman maksimum sebagai pengajaran.
Ketua Pemudanya, Arifin Manan berkata, kerajaan perlu melihat isu ini secara bersungguh-sungguh berikutan ramai yang cedera dan mati akibat sikap tidak bertanggungjawab pemabuk.

"Sampai bila lagi rakyat perlu dihidangkan dengan kisah kisah sedih, korban jalan raya akibat pemandu mabuk?

"Pemuda ISMA juga mencadangkan agar penjualan alkohol hendaklah lebih ketat dan terkawal. Dimulakan dengan larangan jualan alkohol di kedai serbaneka dan pasaraya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Pemuda ISMA menyokong tuntutan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador supaya mengenakan hukuman maksimum ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Hamid menuntut hukuman maksimum terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan nahas mengorbankan seorang anggota polis di sekatan jalan raya Op COVID-19 dekat Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan itu berpunca daripada tindakan pemandu terbabit yang cuai dan dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemandu berkenaan. Saya berharap, dia akan dikenakan hukuman maksimum atas perbuatannya sebagai pengajaran supaya tidak berulang lagi," katanya.

Dalam kejadian jam 3 pagi tadi, mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Selangor.

Kemalangan menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak maut serta merta di lokasi kejadian.

Sebelum ini, empat beranak cedera termasuk bayi perempuan bersama ibunya parah, apabila mereka dirempuh sebuah kereta Kejadian berlaku jam 11.30 malam selepas sebuah kereta jenis BMW terbabas melanggar bahagian belakang sebuah van persiaran.

Dua sahabat juga maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Butterworth.

Sebelum itu, seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera juga disebabkan pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau.

Sementara Jun tahun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, di ibu negara.

Sumber: https://ismaweb.net/2020/05/03/perketat-jualan-alkohol-sampai-bila-nak-jadi-mangsa-pemandu-mabuk/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo