NOTIS:
Pelajar UMS dakwa tertekan kena kuarantin wajib
KOTA KINABALU: Arahan kuarantin wajib 14 hari sebelum dibenarkan balik ke Semenanjung menyebabkan kalangan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) tertanya-tanya kewajaran arahan itu terutama selepas 45 hari mereka terperangkap di kampus.
Arahan itu dikatakan menyebabkan ramai pelajar universiti itu tertekan, malah ada ibu bapa menghubungi media mendakwa anak mereka murung dan berubah sikap termasuk tidak lagi menjawab panggilan telefon.
Beberapa pelajar UMS yang dihubungi turut berharap pihak berkuasa Sabah mengkaji semula arahan itu.
Bagi Muhammad Fakhrul Hakimin Mokhtar, 23, pelajar ijazah Sosiologi dan Antropologi Sosial, dia berharap arahan itu dipertimbangkan semula. Jika dikatakan pelajar dikhuatiri positif COVID-19 dan menjangkiti orang lain ketika dalam perjalanan, kerajaan sudah membuat SOP yang jelas bagi melindungi keselamatan pelajar.
"Kerajaan pusat juga sudah pun memberi kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan kepada pelajar untuk dihantar pulang," kata anak kelahiran Terengganu itu.
Muhammad Fakhrul berkata, keluarganya di kampung turut berasa kecewa kerana ramai pelajar di Semenanjung sudah pulang ke rumah masing-masing tanpa perlu kuarantin terlebih dulu.
Bagi pelajar jurusan Geologi, Wan Muhammad Bazlan Baharudin, 22, pula dia masih tidak dapat memahami rasional pelajar UMS dikehendaki untuk kuarantin sebelum dibenarkan balik.
"Berdasarkan memo yang dikeluarkan pihak pengurusan, saya kurang jelas mengenai arahan kuarantin yang perlu dilalui pelajar yang berada di kampus.
"Persoalannya adakah selama 45 hari kami berada di kolej tidak dibenarkan keluar dari universiti tidak dikira sebagai kuarantin?" katanya yang berasal dari Perak.
Bagaimanapun, katanya, keluarga memahami dan memberi semangat untuknya mematuhi arahan universiti.
"Saya dengar khabar bahawa ramai ibu bapa pelajar yang marah pihak pengurusan," katanya.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ( JKNS ), Datuk Dr Christina Rundi dalam satu kenyataan sebelum ini berkata bilangan pelajar di Sabah yang akan pulang ke Semenanjung agak ramai dan pihaknya bimbang akan berlaku jangkitan.
"Ada sekitar 2,000 pelajar di Sabah dijangka bergerak keluar ke negeri lain dan pergerakan ini membabitkan jumlah yang besar dalam masa singkat dan berpotensi untuk penularan jangkitan COVID-19 pada skala besar.
"Terdapat banyak persoalan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan ibu bapa berhubung keputusan itu namun JKNS berharap agar ibu bapa memahami situasi ini dan memberikan kerjasama," katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata, semua penuntut IPT Sabah dari Sarawak dan Semenanjung hanya perlu menjalani kuarantin di rumah selama tempoh 14 hari dan tidak perlu ke pusat kuarantin wajib.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment