NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pajak Gadai lambang kemiskinan?


Mohd Nasir Abdullah
6 Mei 2020

Alhamdulillah segala puji bagi Allah dengan keizinanNya, kita semakin dibukakan kembali kepada kehidupan biasa kita dahulu. Walaupun tidak seratus peratus, tetapi sedikit demi sedikit kelonggaran yang diberikan kepada rakyat oleh pemerintah, pastinya kerana keadaan wabak Covid 19 ini semakin pulih. Ekonomi mesti dirangsangkan disamping menjaga kesihatan rakyat. Ia memerlukan keputusan yang bijak.

Namun disebalik usaha keras kerajaan dalam menangani masalah rakyat, pembangkang tiba-tiba bersuara melaungkan bahawa rakyat negara ini sebenarnya adalah miskin. Antara tanda aras utama yang mereka guna pakai ialah keadaan rakyat yang berpusu-pusu menyerbu kedai pajak gadai samada bagi membayar upah atau faedah yang dikenakan syarikat pajak atau mahu menggadaikan sesuatu kerana keputusan wang, sebaik sahaja kelonggaran PKP diluluskan.

Bila disebut pajak atau gadai ini, bagi orang melayu, ia adalah satu lambang keaiban. Cerita P. Ramlee sering menyebut perkataan pajak gantung, bagi menggambarkan keadaan orang melayu yang suka bergadai dizamannya dahulu. Sehinggakan si bakhil Kasim Baba yang kaya dan kononnya banyak harta itu juga pergi ke pajak gantung kerana ‘sesak’ dan merasa amat malu apabila Ali Baba mengetahuinya.

Dahulu, saya ada belajar sedikit cara-cara menyimpan wang, walaupun tak pernah berjaya mempraktikkannya. Tetapi ilmu tetap ilmu. Dalam menyimpan, nasihat sang pakar ekonomi, tidak semestinya hanya menyimpan di dalam satu cara sahaja seperti simpanan tunai biasa. Banyak kaedah menyimpan yang boleh diamalkan bergantung keadaan dan juga mungkin perangai kita sendiri.

Jika kita ini kaki boros, maka menyimpan tunai tidaklah sesuai dengan perangai kita itu. Jadi kaedah seperti membeli tanah adalah salah satu cara yang paling menguntungkan, apatah lagi jika tanah itu terletak di kawasan yang maju atau yang akan dimajukan. Membeli saham juga adalah antara cara yang baik. Tetapi kedua ini tertakluk kepada keadaan ekonomi, politik semasa dan masa yang lama untuk dijual. Jika berlaku perang contohnya, tanah dan saham itu akan hanya tinggal sijilnya sahaja, tiada laku untuk dijual beli.

Menyimpan emas adalah antara cara terbaik. Ia tidaklah memberikan keuntungan yang melampau jika kita bukan ahlinya. Tetapi ia memberikan suatu yang pasti, jaminan kestabilan nilai semasa. Sebab itu ketika rakyat Kemboja lari dari perang, datang ke Malaysia dahulu, mereka dalam masa yang singkat boleh berniaga kerana mereka membawa bersama mereka emas perak.

Rakyat Kelantan, pada kebiasaannya mempunyai barang kemas yang banyak. Samada dipakai atau disimpan. Sebenarnya ia juga adalah salah satu cara menyimpan. Sering didengari ayat-ayat seperti ‘Kalau susah takde duit nanti, kita gadailah barang kemas ni’ ‘Kalau anak nak sambung belajar, boleh guna barang kemas ni untuk bayar yuran’. Ternyata emas dan perak adalah aset untuk masa hadapan.

Apabila rakyat Malaysia memasuki kedai-kedai pajak, bermakna mereka masih mempunyai harta yang sah milik mereka. Mereka menggunakan emas perak mereka itu bagi ditukarkan kepada wang tunai segera. Nanti apabila mereka dapat kembali wang, akan ditebuslah harta mereka itu semula. Mereka mungkin mahu membuat modal pusingan atau menunggu gaji masuk dan mereka ada jaminan untuk mengambil wang gadaian itu dan boleh menuntut kembali barang mereka kemudian.

Jauh berbeza dengan hutang. Belum tentu hutang itu akan dibayar semula oleh peminjam, terutamanya pinjaman wang. Paling kuat kalau peminjam tidak mampu bayar, dia diisytihar muflis. Apatah lagi dipinjam dari kawan-kawan, banyak wang yang diberi pinjam itu, menjadi harta si peminjam, kekal selama-lamanya. Jumpa buat-buat tak kenal. Kalau minta juga, buat-buat berkelahi, putus kawan, duit hilang.

Hampir sama perangai dengan PH yang buat hutang tak perlu tu, seperti kata Menteri Kewangan kut? Dan bila PH berhutang dengan Terengganu, tak nak bayar lagi, tapi hutang Terengganu dengan Pusat, sampai 25 peratus dia minta bayar segera.

Dalam hadis diberitahu akan beratnya nasib orang yang berhutang, jika mereka tidak mahu membayarnya, ruh mereka akan tergantung, walaupun mereka adalah syuhada. Dalam hadis lain pula diceritakan rasulullah wafat dalam keadaan baju perang baginda digadaikan kepada seorang yahudi. Maaf mungkin saya tidak jumpa hadis lain, tetapi tiada kecaman dari agama ke atas orang yang bergadai secara sah.

Hanya ada beberapa perkara yang amat penting untuk diperbaiki iaitu rakyat perlulah pergi ke kedai gadaian Islam seperti ar-Rahnu walaupun jika nilainya lebih rendah. Janganlah ke kedai pajak konvensional yang secara terangan mengamalkan riba. Ianya haram, mencabar Allah dan rasul berperang, akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan seperti dirasuk syaitan.

Kemudiannya janganlah pula bergadai semata-mata mahu bergaya, berlagak walaupun hidup susah atau mengabaikan kewajipan. Ia juga haram. Dan juga ditakuti menjadi seperti PH dahulu ketika menjadi kerajaan, yang dikatakan suka menggadaikan aset negara sewenang-wenangnya. Bergadai cara itulah yang tak betul, bukan seperti rakyat lakukan sekarang.

Selain dari itu, insyaAllah bergadai itu adalah jauh lebih mulia daripada meminta-minta. Tangan mereka tidak berada di bawah. Adakala peminta bantuan itu mempunyai sesuatu yang bernilai untuk digadaikan tetapi berbohong mengaku mereka miskin, perlukan bantuan, kononnya tiada apa yang mereka miliki. Mereka juga mungkin merampas hak orang lain yang benar-benar miskin. Mereka menjadi hina atas penipuan itu.

Orang yang bergadai tidak menipu, mereka gunakan harta mereka sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Dan inilah cara sebenar mereka menyimpan. Simpanan bukan untuk disimpan selama-lamanya, ia memang untuk digunakan ketika perlu. Habis, kenapa kita kata dia miskin bila mereka menggadaikan harta yang mereka ada? Asalkan bukan emas celup, boleh sahaja digadai.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo