COVID-19 bukan musibah singkat. Namun, kerajaan terus komited memerangi pandemik ini secara bersepadu dengan kerjasama serta sokongan semua pihak, bagi memastikan misi sifar COVID-19 segera tercapai.
Namun, bagi usahawan penting untuk melihat COVID-19 sebagai pencetus perubahan. Untuk itu, mereka harus peka dan melihat wabak ini dari sudut positif, lebih fleksibel dan kritikal tetapi penuh kreatif serta inovatif.
Hampir semua sektor terjejas atau ditutup akibat penularan COVID-19. Antara yang teruk terkesan komuniti lebih 900,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.
Perniagaan, perkhidmatan dan perusahaan mereka tidak beroperasi. Modal dan aliran tunai mereka rata-rata tidak ada lagi, malah menanggung komitmen membayar balik pelbagai pinjaman.
Bagaimanapun kehidupan perlu diteruskan. Justeru, komuniti PKS perlu cepat menerima kenyataan ini daripada terus berdiam diri atau buntu. Mereka perlu mengatur semula langkah dan strategi sambil menyesuaikan diri dengan realiti baharu.
Rancang perniagaan baharu dan cepat-cepat bertapak untuk menguasai pasaran. PKS perlu segera menjana aliran tunai yang mampan.
Apa yang ingin disarankan ialah melihat ke dalam (inward). Maknanya, mereka perlu mengenal pasti potensi perniagaan baharu yang bakal mendapat sambutan di pasaran.
Tidak dinafikan, beberapa jenis perniagaan tiba-tiba muncul, popular dan laris. Contohnya, perniagaan dalam talian untuk pelbagai produk jualan dan khidmat seperti penghantaran.
PKS boleh meninjau potensi perniagaan membabitkan penghantaran produk atau khidmat terus ke pintu rumah seperti makanan, dobi dan cucian kering, barang runcit dan produk segar, servis barang elektrik, rawatan kesihatan, perapian badan dan dandanan serta pembersihan.
Kelompok PKS lain perlu meninjau sektor sekuriti makanan. Justeru, kerajaan harus ada pelan induk mengenai pembabitan mereka dalam sektor strategik ini.
Penularan COVID-19 menyaksikan produk tertentu dan penting tidak dapat dikeluarkan atau diimport. Ini menyebabkan bekalan menjadi terhad dan kritikal dengan harga jualan melambung.
Sebenarnya, saiz 'kek' keperluan bekalan makanan sangat besar. Jumlah import makanan dianggarkan RM54 bilion setahun dan merupakan satu perempat daripada nilai sebenar industri makanan yang dianggarkan RM216 bilion setahun.
Selain termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang menyasarkan pengurangan import makanan sebanyak 30 peratus, negara sebenarnya menuntut satu kesungguhan politik, kesedaran nasionalisme, pelan induk dan pembiayaan untuk mempercepatkan kita mencapai status negara yang mencapai tahap keberdikarian dalam bekalan makanan.
Usahawan mikro dan PKS boleh membantu merealisasikan sasaran ini dengan syarat ada kesungguhan institusi kewangan dan agensi untuk meluluskan pelbagai bentuk geran mahupun pinjaman yang ditawarkan.
Oleh itu, kerajaan mesti menggembleng sebahagian 900,000 PKS untuk menceburi sektor sekuriti makanan yang ternyata lumayan dan strategik, sama ada di pasaran domestik mahupun eksport yang bernilai RM35 bilion pada 2018.
Dengan itu, negara perlu ada pelan induk, geran, input, kepakaran, pembiayaan atau peruntukan. Negara juga menagih satu kesepaduan kuasa politik dengan komitmen padu agensi kerajaan berkaitan.
Maka, yakinlah kita mampu menjadi sebuah negara yang berdikari dan melalui krisis seumpama COVID-19 pada masa akan datang dengan lebih tenang serta berupaya.
Inilah potensi dan produk yang boleh PKS teroka apabila melihat ke dalam. Perkara ini hampir pasti terjadi apabila kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Jaminan Makanan, tidak lama lagi.
Dicadangkan struktur jawatankuasa ini bukan satu badan tunggal peringkat Kabinet, tetapi ada sub-struktur yang lebih ke akar umbi untuk penyaluran input dan pelaksanaan dua hala antara kerajaan dengan rakyat.
Kita juga harus memperincikan maksud terma, norma dan kebiasaan baharu yang muncul akibat COVID-19 yang kemudian diterjemah kepada peluang perniagaan baharu.
Kita disogok pemencilan atau pemenjaraan sosial dan penetapan jarak sosial, tuntutan urusan perniagaan dan perbankan dalam talian, kelulusan dokumen rasmi dalam talian, serta kepesatan aktiviti dalam talian.
Ini antara kebiasaan baharu yang mula diterima. PKS perlu melihat bidang perniagaan teknologi yang sangat luas khususnya digital.
Akibat COVID-19, banyak perkara perlu diubah khususnya dari segi operasi. Kilang berintensifkan buruh selepas ini mungkin perlu mengurangkan pekerja untuk mengurangkan kos, malah bagi mematuhi jarak sosial satu meter.
Kekosongan tenaga kerja ini akan diganti automasi, robotik dan integrasi sistem yang jelas semakin ketara berlaku. Justeru, sebahagian PKS boleh terjun ke bidang ini untuk membantu industri PKS lain atau pemodal besar melaksanakan transformasi dalam operasi syarikat masing-masing.
Kerajaan juga wajar menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perubatan. Antaranya, menubuhkan Makmal Nasional untuk kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D), menyatukan hasil dari serata institusi pendidikan serta penyelidikan berkaitan perubatan dan peralatan berkaitan selain farmaseutikal dan pemakanan tambahan kesihatan.
Dengan menjadikan ini sebagai inisiatif nasional yang berkepentingan massa, hasil R&D terbaik boleh dikomersialkan segera oleh syarikat yang menjadi rakan strategik.
Antaranya, konsortium PKS berkaitan industri perubatan untuk menjayakan aspirasi Kabinet ini.
Percayalah, tempoh satu atau dua tahun pasca COVID-19 ini akan menyaksikan banyak perubahan berlaku dan persaingan dijangka bermula di garisan permulaan.
Selepas ada usahawan PKS serta sektor dan sub-sektor yang gulung tikar akibat COVID-19, maka akan muncul pula peluang baharu hasil permintaan daripada keperluan dan kebiasaan yang baharu ini.
Peluang ini mesti diisi PKS dan kerajaan wajar membantu untuk membolehkan mereka mempersiapkan diri seterusnya memanfaatkan peluang keemasan yang muncul dan akhirnya menjadi peneraju PKS yang berjaya di pasaran.
***Penulis adalah Setiausaha Agung Persatuan Institut-Institut Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM)
PARLIMEN | Putrajaya sedang berusaha membuat pindaan undang-undang yang akan memaksa penyedia platform media sosial mendedahkan data penggu...
HIJAU.FM...
UMNO telah dijangkiti virus DAP
Zahid demi nyawa sanggup gadai Melayu..
1 MEDIA.TV
Penganalisis Politik Tidak Berada Dalam ‘Padang’ – Ahmad Samsuri Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menepis dakwaan penganalisis politik bahawa kerajaan negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan parlimen bakal berdepan kekalahan.
No comments
Post a Comment